PDRM Terima data 40,000 individu dalam rangkaian penularan Covid-19 – KPN

0
376
fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima data rangkaian penularan COVID-19 melibatkan kira-kira 40,000 individu yang termasuk individu dikaitkan dengan kluster ahli tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata data berkenaan diperincikan secara satu persatu oleh pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed bagi mengesan mereka yang berkemungkinan terlibat dengan jangkitan wabak itu.

Beliau berkata hasil daripada data KKM itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa daerah yang terdapat individu dan kumpulan yang seharusnya perlu tampil membuat saringan pemeriksaan COVID-19.

“Kami membuat analisis daripada data-data itu dengan membantu KKM mengenal pasti sehingga lebih kurang 11,000 ahli tabligh yang menyertai majlis ijtimak di Masjid Sri Petaling, di sini, baru-baru ini.

“Daripada data ini, pasukan berkenaan telah memperhalusi dan menggunakan kaedah tertentu untuk mengenal pasti rangkaian kontak rapat, perjalanan dan siapa yang mungkin dijangkiti mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

“Kami kenal pasti individu itu termasuklah mendapatkan maklumat lengkap seperti alamat rumah, nombor telefon dan kad pengenalan yang diperoleh daripada pasukan itu untuk kami beri pada KKM untuk hadir membuat saringan pemeriksaan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan ahli tabligh itu telah disaring dan pihak polis menyeru  orang ramai agar tidak mengecam dan mendiskriminasi ahli tabligh.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan berkenaan juga sedang berusaha memperoleh maklumat ahli tabligh yang berada di luar negara dan akan menyampaikannya kepada pihak Jabatan Imigresen atau pihak pelabuhan untuk menunggu kepulangan mereka di lapangan terbang dan pelabuhan

“Ini bertujuan untuk sahkan kumpulan ahli tabligh yang tiba dan polis akan terus ambil tindakan mengiringi mereka menaiki bas serta dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pihak penganjur ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini mendakwa sebanyak 95 peratus daripada kira-kira 11,000 peserta perhimpunan tabligh telah tampil membuat saringan kesihatan bagi COVID-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dari 28 Feb hingga 1 Mac lepas yang kini menjadi kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here