Singapura akhirnya buat perintah berkurung ‘terhad’ selama sebulan

0
1403

TEGAS… Setelah teruk dikritik rakyatnya dan didakwa dolak-dalik urus isu Covid-19, Singapura akhirnya mula melaksanakan perintah pergerakan terhad ala jirannya, Malaysia selama sebulan.

Pengumuman yang agak mengejutkan itu dimaklumkan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong menerusi perutusan khas dalam bahasa Melayu disiarkan siaran televisyen tempatan semalam, lapor CNA.

“Kami sudah buat keputusan dan langkah tegas sekarang ekoran jangkakan jangkitan yang naik, berbanding hanya ketatkan secara berperingkat dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Maka itu, kami melaksanakan langkah jelas dan lebih ketat. Ini ibarat pemutus litar,” jelas Hsien Loong merujuk penutupan semua tempat kerja serta sekolah mulai 7 April hingga 5 Mei depan.

Namun ujarnya, beberapa perkhidmatan dan sektor ekonomi penting seperti pasar raya, tempat makan dan pengangkutan awam masih dibuka dengan pelaksanaan jarak sosial yang selamat.

“Anda masih boleh dapat barang dapur dan beli makanan di pusat penjaja,” terang beliau yang mungkin rujuk senario serupa di Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac.

Singapura setakat ini merekodkan 1,114 kes positif dengan lima kematian manakala 266 pesakit wabak maut tersebut pulih sepenuhnya tetapi 23 lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Susulan pengumuman Hsien Loong itu, orang ramai dilapor segera menyerbu banyak premis perniagaan runcit untuk melakukan pembelian barangan harian sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, kesemua sekolah dan institusi pengajian tinggi di Singapura diarah oleh pihak Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran atas talian sepenuhnya mulai 8 April.

Begitu juga pekerjaan tidak penting boleh dibuat terus dari rumah dan majikan yang dikesan gagal patuhi peraturan itu akan dihukum penjara atau denda di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

“Ia berkisar tiga perkara iaitu duduk di rumah sebanyak mungkin. hindarkan bersosial dengan mereka di luar lingkungan rumah anda dan keluar hanya untuk urusan penting sahaja,” katanya.

Hsien Loong juga menyentuh mengenai pengorbanan komuniti Melayu Islam di Singapura yang memahami isu masjid ditutup dan tunda majlis keramaian penting seperti majlis perkahwinan.

“Seperti diterangkan Mufti, masyarakat Islam perlu buat penyesuaian bagi Ramadan dan Syawal bakal tiba. Saya sendiri kecewa tiada bazar Geylang Serai tetapi ini tidak boleh dielak.” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang “kerja tanpa lelah sejak dua bulan lalu” termasuk pasukan jururawat dan doktor, sertya kakitangan penjagaan kesihatan awam.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka atas usaha dan pengorbanan. Ia merupakan perjuangan yang panjang. Namun jika ada negara yang dapat harungi, ia adalah Singapura.

“Kami mempunyai sumber (malah) kami turut mempunyai sifat tidak putus asa. Kami bersatu. Dengan bantu satu sama lain, kami (Singapura) akan berjaya dan muncul lebih kuat lagi.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here