Rezeki Ramadan masih terbuka

0
530
FOTO: Aziz A. Shariff.

Oleh HASSAN MOHD NOOR

“SAYA sendiri kecewa kita tidak akan ada bazar di Geylang Serai tahun ini, tetapi ini tidak boleh dielakkan,” begitu luahan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika berucap kepada rakyat republik itu mengenai keputusan kerajaan mengambil langkah ‘pemutus litar’ bagi membendung wabak Covid-19.

Penganjur bazar di Singapura mengambil keputusan lebih awal iaitu pada 18 Mac lalu bagi membatalkan bazar yang sudah sebati dengan warganegara republik itu.

Sambil memuji pengorbanan dan penyesuaian yang dilakukan masyarakat Melayu/Islam Singapura di tengah-tengah wabak Covid-19, Perdana Menteri berharap masyarakat Islam dapat membuat penyesuaian bagi menyambut Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang.

Setiap kali Ramadan dan menjelang Syawal, sama seperti di Jalan Raja Alang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Singapura juga popular dengan destinasi bazar Ramadan dan Hari Raya di beberapa lokasi termasuk Wisma Geylang Serai, Our Tampines Hub dan Woodlands.

Persatuan Rakyat (PA) yang menjadi penganjur telah membuat persediaan awal untuk bazar berkenaan termasuk melihat semula tender yang perlu mengambil kira langkah keselamatan peniaga dan pengunjung. Begitu juga mewujudkan suasana penjarakan sosial.

Sebelum pembatalan itu dibuat, dokumen tender terkini selepas wabak bermula mensyaratkan peruntukan mencegah penularan koronavirus, termasuk penjarakan sosial dan program pembersihan. Pemilik gerai juga perlu memeriksa suhu pekerja mereka setiap hari. Jumlah gerai di Bazar Ramadan Geylang Serai dikurangkan daripada 800 ke 500, dan mengumpulkannya dalam kelompok berempat dengan setiap gerai mempunyai jarak 10 meter antara satu sama lain.

Bagaimanapun, PA akhirnya membatalkan terus bazar pada 18 Mac dan dalam kenyataan pembatalan itu, PA berkata, keputusan itu bagi memelihara kesejahteraan dan keselamatan penduduk.

“Oleh kerana bazar perayaan menyumbang kepada suasana perayaan, kami faham sesetengah penduduk mungkin kecewa. Namun, disebabkan bazar kami menarik pengunjung berjumlah besar, kami telah mengambil keputusan sukar untuk tidak meneruskan kegiatan ini,” kata PA

Dalam respon terhadap keputusan itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menyifatkannya sebagai suatu keputusan sukar tetapi bertanggungjawab demi keselamatan masyarakat.

“Ramadan ini tentu sekali terasa berlainan. Begitulah yang kita harus mempersiap diri dalam menghadapi masalah virus ini yang tiada pernah dunia mengalaminya. Namun, saya yakin kita mampu usahakan cara-cara yang lebih selamat tetapi kreatif untuk menghidupkan semangat Ramadan dan Hari Raya. Jangan patah semangat!” tulisnya dalam facebook.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman pula menulis di Facebook, bahawa kesihatan masyarakat harus diutamakan.

“Sudah tentu sekali keputusan ini akan mengecewakan ramai, lebih-lebih lagi peniaga kita yang ghairah untuk menjual produk-produk Hari Raya mereka. Namun dalam kita mengharungi masa-masa sukar kini, penyesuaian perlu dilakukan.
“Saya harap masyarakat faham dengan keputusan yang dibuat dan sama-sama dapat kita membendung penularan Covid-19 ini,” tulisnya.

Pemerintah Singapura telah memberi isyarat awal pada 13 Mac lalu supaya semua acara hiburan, sukan dan kebudayaan yang mempunyai 250 peserta atau lebih perlu ditangguh atau dibatalkan. Nasihat juga dikeluarkan mengenai amalan penjarakan sosial – menjauhkan diri dari orang lain – di tempat awam, dan untuk menangguh atau membatalkan semua acara dan perhimpunan yang tidak penting.

Justeru pembatalan bazar seumpama ini termasuk keputusan kerajaan Malaysia kelmarin harus disambut secara terbuka oleh peniaga dengan mencari ikhtiar atau alternatif baharu meneruskan perniagaan. Memang ia memberi kesan besar kepada peniaga atau penjaja yang mengharapkan ‘durian runtuh’ pada bulan Ramadan ini.

Ketika ini termasuk di kawasan saya Bandar Seri Putra, dalam kalangan penjaja di sekitar kawasan itu sudah menyediakan platform untuk mereka meneruskan perniagaan. Sambil mencari semula pendapatan yang hilang dapat juga penduduk terus menikmati pelbagai kuih muih serta makanan lain seperti biasa ketika PKP ini.

Pastinya menjelang Ramadan ini akan ada ruang lain untuk meneruskan perniagaan lebih-lebih lagi yang sudah lama menyusun rancangan termasuk penyediaan stok bahan-bahan mentah. Ketika ini pun sudah ada grup WhatsApp berkaitan perniagaan makanan yang melibatkan penjaja tepi jalan atau foodtruck.

Justeru lupakan bazar Ramadan tahun ini. Kita diminta mengelakkan perhimpunan ramai untuk tempoh enam bulan hingga setahun selepas tempoh PKP tamat. Terimalah kenyataan. Cari alternatif baharu. Rezeki bulan Ramadan tetap ada.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here