FAM, MFL akur sindiran Shebby

0
288
AB. Ghani Hassan (kiri) dan Stuart Ramalingam (kanan). - Foto FAM

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

TERKESAN dengan sindiran tajam Serbegeth Singh supaya menerapkan kepemimpinan melalui teladan dan tidak hanya jadi seperti ‘ketam yang mengajar anak berjalan’, dua organisasi besar bola sepak akur untuk mula memotong gaji kakitangan mereka.

Jika semalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak drastik memotong 10 hingga 20 peratus gaji kakitangan pentadbiran dan teknikalnya, badan pengurus liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula hari ini mengumumkan langkah dan kadar serupa.

Pemotongan ini ekoran penularan pandemik maut Covid-19 yang menangguhkan semua pertandingan anjuran FAM dan MFL sejak 16 Mac lalu dan sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini oleh kerajaan di seluruh negara.

Antaranya ialah Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Presiden dan Belia selain Liga Futsal Perdana Malaysia di samping Liga M3 dan M4 yang dikelolakan bersama FAM dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Serbegeth, bekas bek tengah negara era 80-an hingga 90-an pada Rabu lalu, menggesa pengurusan FAM dan MFL memulakan langkah drastik itu sebelum menyarankan atau menasihati para pemain berkompromi mengenai pemotongan tersebut dengan persatuan-persatuan negeri (FA) mereka.

“Apa kata pengurusan FAM dan MFL mulakan, seterusnya FA negeri kemudian barulah pemain akan ikut. Tak guna suruh pemain berbincang tetapi mereka pula yang tidak tunjukkan contoh.

“Jangan hanya jadikan pemain mangsa dan berkorban sendirian sedangkan pihak pengurusan boleh relaks di atas,” katanya kepada sebuah akhbar harian tempatan,1 April lalu.

Shebby (nama timangannya) juga merupakan pengulas sukan sebuah stesen TV antarabangsa selain pernah membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan menjuarai Pestabola Merdeka 1986.

Siaran media MFL menyebut, pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan mulai bulan ini sehingga PKP ditarik balik dan menerusi perbincangan bersama, kakitangan sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak walaupun berat diambil.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab. Ghani Hassan.

Namun tegasnya, langkah itu dijamin tidak akan memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga Malaysia berdasarkan keadaan semasa Covid-19 jika perintah PKP ditarik balik oleh kerajaan.

Semalam Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata, pemotongan gaji kakitangan hanyalah bersifat sementara jika PKP yang bermula pada 18 Mac lalu dijadualkan berakhir 14 April ini, dilanjutkan kerajaan.

“Urus Setia FAM telah membuat penilaian dengan hati-hati dan teliti terhadap impak wabak Covid-19 kepada seluruh negara malah industri bola sepak tempatan sejak PKP.

“Pengurangan gaji ini ialah antara langkah penjimatan yang dipersetujui kakitangan sebagai memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh masa-masa sukar ini.
“Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada memotong gaji tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini demi kepentingan FAM selaku sebuah organisasi,” jelasnya.

Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang memotong gaji pemain-pemainnya malah mereka menunjukkan keprihatinan dengan mendermakan beberapa peratus pendapatan itu kepada Tabung Bencana Negeri Johor, 27 Mac lalu bagi membantu rakyat negeri itu yang terjejas dek Covid-19.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here