A.Aida keluar duit poket sendiri

0
733
SETIAP Sabtu, cef Zam, Fazli Zainal dan anggota APM akan menyediakan masakan untuk petugas APM.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SUDAH dua minggu penerbit, Datuk A.Aida melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM). Setiap hari, beliau akan keluar rumah pada pukul 12 tengah hari dan hanya kembali ke kediamannya pada sebelah petang selepas selesai segala urusan.

“Seminggu tiga kali saya akan pergi ke ibu pejabat APM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. Saya keluar rumah pukul 12 tengah hari sebab pagi uruskan memasak untuk anak-anak dulu. Biasanya habis bertugas, sebelah petang.

“Sudah dua minggu saya lakukan tugasan tersebut. Sebagai Leftenan Kolonel (Bersekutu), saya rasa malu dengan diri sendiri kalau asyik duduk kat rumah goyang kaki. Itu yang buatkan saya turut serta anggota APM yang lain membantu kerajaan untuk mendepani wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang sudah lima tahun menyertai APM berkata, niat untuk menghulur bantuan itu timbul apabila melihat anggota APM lain bertungkus lumus dan dari situ timbul rasa kesedaran pada dirinya.

“Saya tak dapat nak rungkaikan dengan kata-kata. Ini adalah ibadat dan amal jariah yang termampu saya bagi pada masyarakt. Satu dunia alami, jadi kita sama-sama nak membantu, rasanya sekali dalam seumur hidup alami peristiwa begini.

A.Aida( dua dari kanan, barisan depan) mahu berbakti kepada masyarakat dalam tempoh negara berhadapan dengan Covid-19.

“Macam yang saya cakap kat anak-anak, kalau mati pun mama reda sebab mama mati ketika berbakti kepada nusa dan bangsa. Ajal maut adalah di tangan Allah. Soal mati, saya pejam mata sebab itu adalah aturan-NYA. Saya tak nak fikir hal negatif, kalau boleh nak fikir positif saja sebab objektif saya adalah untuk membantu barisan hadapan ini,” katanya penuh semangat.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 49, berkata, setiap Sabtu, sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) beliau dan rakan selebriti seperti Cef Zam, Fazli Zainal dan anggota APM yang lain akan memasak untuk anggota APM yang bertugas.

“Hari ini (4 April) kita akan masak rendang ayam, ketupat, bubur pulut hitam untuk diberikan kepada petugas APM di pusat kuarantin MSN, yang menempatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara. Kita ke sana untuk memberi sokongan moral kepada anggota APM yang bertugas.

“Kerja memasak dilakukan di ibu pejabat APM. Saya akan keluarkan wang poket sendiri untuk kos menyediakan masakan kepada 100 hingga 150 petugas. Kos yang diuntukkan adalah RM500 dan esok adalah kali ketiga kami menyediakan makanan untuk APM,” katanya yang terkenal dengan sifat pemurah hati.

Bukan setakat mengeluarkan wang sendiri untuk menyantuni anggota APM, A.Aida juga tidak lokek untuk berbahagi rezeki dengan anggota pertahanan awam yang lain.

Katanya, setiap kali keluar rumah, beliau akan pastikan dalam bonet keretanya penuh dengan makanan seperti kuih tart, kuih bawang dan mineral. Barangan dalam keretanya itu bernilai kira-kira RM500 hingga RM1,000.

“Selain tugas APM, sekarang ini dalam bonet kereta saya ada banyak kuih tat atau kuih bawang. Setiap kali lalu pusat kawalan roadblock polis, saya akan berhenti. Bila tengok atas meja mereka kosong saja, saya akan hulurkan. Itulah sumbangan peribadi,” katanya.

Sementara itu, seperti penerbit lain, A.Aida Production Sdn. Bhd., juga terkesan dengan wabak Covid-19 dan PKP yang diumumkan oleh kerajaan.
Menurut A.Aida, sewaktu diumumkan PKP, beliau terpaksa menghentikan tiga penerbitan yang sudah dirancang dan telahpun menjalani penggambaran.

“Masa kejadian Covid-19 ni saya hentikan tiga penerbitan, satu kat Sarawak. Bila kru produksi sampai kat Sarawak sebelah pagi, petang kerajaan umum perintah berkurung. Malam tu juga saya terus cari tiket untuk sembilan kru supaya balik ke Kuala Lumpur.

“Mereka tak sempat buat penggambaran pun lagi. Sebab esoknya Sarawak dah umum tak bagi orang keluar dan masuk Sarawak. Saya takut kru terkandas di sana, itu yang saya usaha cari tiket untuk mereka pulang. Mereka adalah kru untuk program travelog, 13 negeri di Malaysia yang memaparkan adat resam setiap negeri,” katanya.

Tambah A.Aida,  hos untuk program itu adalah Feeya Julia sebab setiap episod seorang penyanyi diberi tugas untuk bercerita tentang negeri kelahiran mereka.
Drama yang terpaksa ditangguh penggambarannya adalah telefilem, Air Mata Papan Catur, lakonan Datuk Fizz Fairuz yang sempat menjalani penggambaran sehari.

“Sebenarnya, saya ada lapan judul yang tak boleh buat penggambaran, termasuklah drama, majalah dan telefilem. Ikut jadual, penggambaran bermula pada 1, 5, 8 April.

“Kerugian saya masa kat Sarawak saja iaitu kira-kira RM10,000 untuk tiket penerbangan dan hotel. Bila kerajaan dah umum PKP ini berakhir,  saya akan kembali mulakan penggambaran sebab ada lagi 150 jam yang belum dibuat penggambaran,” katanya yang sentiasa bersikap positif itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here