‘Lebih baik menangis dulu dari menangis kemudian’

    0
    1202
    FOTO: NST.

    KUALA LUMPUR – Anggota polis yang bertindak keras pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  tidak patut dipersoalkan, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

    Dalam keadaan genting di mana kerajaan perlu memastikan rantaian Covid-19  diputuskan polis bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada orang awam memandangkan tempoh PKP dijangka berakhir 10 hari sahaja lagi.

    “Ini keadaan genting (jadi) tindakan kena drastik. Ada pepatah mengatakan lebih baik menangis dulu dari menangis kemudian.

    “Polis ingin menyelamatkan orang pasal apa (kenapa) nak dikenakan tindakan pula? Ini untuk jaga kesihatan dan keselamatan orang juga,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kritikan sesetengah pihak di negara ini yang mempertikaikan tindakan tegas polis pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

    Mengulas mengenai tindakan anggota polis merotan remaja yang berkumpul ketika PKP baru-baru ini, Musa berkata, ia bukanlah berniat mencederakan sebaliknya hanya peringatan kepada segelintir yang masih berdegil.

    Bahkan beliau berkata, ibu bapa boleh didakwa di mahkamah sekiranya didapati membiarkan anak di bawah umur terdedah dengan risiko jangkitan wabak Covid-19 apabila berada di luar rumah semasa tempoh PKP.

    Apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa, kata Musa masih disifatkan bertoleransi jika dibandingkan kekerasan yang digunakan oleh negara lain seperti Filipina yang baru-baru ini memberi amaran rakyatnya yang ingkar perintah berkurung akan ditembak mati.

    “Bagi remaja (baru-baru ini) dirotan sedikit bukan nak cederakan, nak ajar suruh balik lagipun kalau remaja bawah umur, ibu bapa mereka masih bertanggungjawab. Polis boleh tangkap ibu bapa mereka sebab dedahkan anak kepada bahaya. Itu perlu tahu bahawa polis nak menyelamatkan orang ramai. Kalau tidak, ibu bapa boleh didakwa di mahkamah kerana membiarkan anak bawah umur terdedah.

    “Polis jalankan tugas, kerajaan sudah buat PKP jadi untuk elak wabak supaya berjangkit. Anggota (polis) buat kerja (dengan) baik,”tambahnya.

    Untuk rekod, pada 2 April yang lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan pihak polis kini memasuki fasa ‘keras’ dalam usaha memastikan masyarakat patuh kepada pelaksanaan PKP, kerana masih ramai yang yang berdegil.

    Namun ada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan sikap keras polis.

    Musa kemudiannya menempelak pihak yang mempersoalkan tugas polis dan mencabar mereka mendedahkan diri mereka dengan risiko dijangkiti Covid-19 seperti barisan hadapan polis demi memberi kesedaran kepada masyarakat.

    “NGO yang cakap macam itu, berani tak keluar, bantu polis pastikan orang patuh PKP? Suruh dia (dedahkan diri dia berada di luar) pula untuk pastikan orang patuh PKP.

    “Dia sendiri pun takut kena penyakit wabak ini, dia sendiri tidak mahu keluar. Bila orang keluar dia cakap banyak. NGO yang cakap banyak suruh dia keluar sendiri buat kerja polis, jangan pandai cakap sahaja,” ujar Musa.

    Beliau akhirnya membuat kesimpulan, pegawai atasan polis juga memainkan peranan penting dalam waktu ini kerana anggota bawahan telah bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab.

    “Orang atasan pun perlu sokong anggota mereka, pegawai atasan perlu lindungi anggota bawahan buat kerja. Kalau tidak orang luar akan serang anggota mereka,” kata Musa.

    Baca lagi: https://malaysiagazette.com/2020/04/04/lebih-baik-menangis-dulu-dari-menangis-kemudian/

     

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here