PKP: Ahli majlis MBSA dan tiga rakan ditahan main badminton

0
545

SHAH ALAM —  Seorang Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tiga orang rakannya ditahan polis, kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain badminton, di sebuah dewan orang ramai di Seksyen 25 di sini awal pagi semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ACP Ismail Muslim berkata, keempat-empat individu berkenaan yang ditahan pagi tadi akan disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), 2020.

“Keempat-empat mereka ditahan pagi tadi kerana melanggar arahan PKP, polis akan memohon mereka direman di mahkamah dalam masa terdekat ini, dan saya juga ingin saya maklumkan sepanjang PKP ini sebarang aktiviti bersukan di kawasan awam, adalah dilarang.

“Saya juga difahamkan pihak MBSA juga telah melakukan siasatan dalaman mereka sendiri, dan akan mengambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu tular beberapa gambar di laman sosial mendakwa ahli majlis bersama tiga orang rakannya, hanya diberikan amaran kerana melanggar arahan PKP dengan bermain badminton di dewan berkenaan, dan ia telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sementara itu MBSA dalam kenyataan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pihak polis, untuk diambil tindakan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata, pihaknya juga telah menyerahkan surat tunjuk sebab kepada ahli majlis berkenaan, dan satu laporan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Sepanjang tempoh PKP, dewan-dewan adalah ditutup dan sebarang aktiviti sukan dan riadah tidak dibenarkan, oleh itu MBSA tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan pencerobohan oleh mana-mana individu, organisasi, kumpulan atau penjawat awam,”katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here