Oleh AHMAD ABD HAMID

SEKURANG-kurangnya sudah dua kali Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan segera sidang Parlimen dengan fokus utama membincang dan membahaskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020.

Pakej berjumlah RM250 bilion itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin pada 27 Mac untuk membantu golongan yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.

Dewan Rakyat hanya dijadualkan bersidang pada 18 Mei 2020 setelah persidangan yang sepatutnya bermula 9 Mac ditangguhkan.

Tidak pasti bila Anwar menuntut persidangan diadakan, tetapi kemungkinannya ialah sebelum tarikh ditetapkan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berulang kali menegaskan tujuannya untuk membahaskan mengenai pakej rangsangan semata-mata, seperti dari mana sumber kewangan diperoleh selain membincangkan untuk menambah baik pakej berkenaan.

Beliau memberi jaminan tiada isu utama lain akan dibincangkan, khususunya isu yang mungkin menjadi perhatian ramai iaitu undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Soalnya, dalam keadaan negara melaksanakan PKP atau ‘lockdown’, bagaimanakah persidangan hendak diadakan, apatah lagi dalam tempoh terdekat?

Institusi Parlimen dan semua ahli parlimen adalah tertakluk kepada PKP, seperti juga rakyat lain.
Malah ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai mematuhi PKP.

Justeru wajarkah diberi keistimewaan dan pengecualian kepada ahli-ahli Parlimen ini dilepaskan daripada PKP untuk menghadiri persidangan?

Ini langkah yang tidak bijak dan boleh memberi mesej yang salah kepada rakyat. Mereka akan bertanya bagaimakah institusi yang menggubal dan meluluskan undang-undang dibenarkan mengatasi undang-undang?

Jika rakyat disuruh duduk di rumah, kenapa pula benarkan ahli parlimen berbondong-bondong menghadiri sidang Parlimen?

Perlu diingat PKP akan hanya berakhir pada 14 April. Jangan lupa antara tujuan utama PKP ialah mengekang kontak sosial dan menghalang perhimpuan ramai bagi mencegah penularan wabak.

Dalam hubungan ini, saranan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, yang mahu diadakan persidangan ‘kecemasan’ parlimen secara maya mungkin lebih relevan dan sesuai untuk difikirkan.

Walau pun persidangan seperti ini belum pernah dilakukan sebelum ini, ia dianggap alternatif terbaik jika persidangan hendak segera diadakan tanpa kehadiran secara fizikal ahli Parlimen di dewan rakyat. Jadi isu PKP tidak timbul.

Terpulanglah kepada kerajaan memutuskan menerima cadangan ini atau tidak. Jika diterima, perlulah pula menentukan kaedah bagaimana persidangan maya itu hendak dilaksanakan.

Persidangan seperti biasa memang tidak harus diadakan. Tiada siapa yang tahu atau pasti jika ada di antara 222 ahli Parlimen ini yang mungkin dijangkiti COVID-19. Haruskah dibiarkan sahaja mereka bersidang dan kesemuanya menghadapi risiko jangkitan, termasuk speaker dan para petugas dewan?

Oleh itu secara logiknya jika pun hendak diadakan sidang parlimen segera ialah selepas PKP berakhir pada 14 April, atau melalui persidangan maya jika sebelum tarikh itu. Atau jika PKP disambung, tunggu sahaja18 Mei.

Untuk masa ini Anwar dan ahli-ahli Parlimen boleh berpegang kepada perincian yang disebutkan oleh Muhyiddin ketika membentangkan pakej ransangan berkenaan.

Apa jua penjelasan lanjut yang diperlukan atau cadangan menambah baik yang hendak dikemukakan boleh tunggu sehingga Parlimen bersidang, secara maya atau biasa.
Buat masa ini duduk di rumah!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here