Bayi kembar baru lahir di India diberi nama Corona dan Covid

0
325
FOTO: Wikimedia Commons/Petty Officer 2nd Class Justin Stumberg, USN / Public domain

UNIK… Sepasang bayi kembar di India dinamakan sebagai Corona dan Covid ekoran penularan wabak Covid-19 dan perintah berkurung di seluruh negara bagi sekat penularan pandemik itu.

Bayi lelaki dan perempuan itu dilahirkan di sebuah hospital awam di ibu negeri Chhattisgarh, Raipur pada 27 Mac lalu, dua hari selepas perintah tersebut mula dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Mereka lahir selepas hadapi beberapa kesukaran, justeru saya dan suami ingin jadikan hari itu sesuatu tidak dapat dilupakan,” kata Preeti Verma yang dipetik stesen penyiaran Al-Jazeera.

Pasangan itu berharap nama unik berkenaan sentiasa mengingatkan mereka perihal kesusahan yang dialami rakyat ketika perintah berkurung dan sebelum dua bayi tersebut berjaya dilahirkan.

Preeti yang berusia 27 tahun berkata, dia tidak dapat dibantu sesiapa pun apabila kesemua ahli keluarga mereka sendiri gagal masuk ke Raipur susulan semua jalan di hospital itu telah disekat polis.

“Banyak kenderaan tidak dapat bergerak, namun kami berdua masih sempat sampai di hospital kerajaan ini sekitar larut malam selepas harungi pelbagai kesukaran,” tambah wanita tersebut.

Secara kebetulan, beberapa petugas turut mencadangkan nama berkenaan dan berharap usaha itu beri kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya jaga kebersihan serta kesihatan.

“Selain itu, nama ini juga agak cantik dengan perkataan Corona dalam bahasa Latin sebenarnya bawa maksud sebagai mahkota,” jelas Vinay Verma, bapa bayi tersebut ketika ditemui media.

Bagaimanapun, pasangan itu berkata, nama berkenaan pula kurang dipersetujui ramai anggota keluarga dan saudara tetapi mereka boleh menukarnya kemudian kerana belum lagi muktamad.

Dalam pada itu, jurucakap Hospital Memorial B.R Ambedkar, Shubgra Singh berkata bahawa kembar tidak seiras tersebut dilahirkan melalui proses pembedahan sejurus 45 minit tiba di situ.

India ketika ini berada di bawah perintah berkurung hingga 14 April yang menyaksikan lebih 1.3 bilion penduduk di negara Asia Selatan itu terpaksa tinggal dalam rumah selama tiga minggu.

Terdapat peningkatan dalam kes Covid-19 disahkan di seluruh India dengan jumlah penghidap kini sudah cecah 3,072 orang termasuk 75 kematian manakala 213 pesakit berjaya sembuh.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here