Apakah menteri sendiri tidak sedar polis boleh sebat si ingkar PKP?

0
833

Oleh AMREE AHMAD

UMUM tentu maklum bahawa penduduk Sabah sebenarnya sudah pun biasa dengan perintah berkurung yang dilaksanakan sejak 2013 ekoran pencerobohan pengganas Sulu ke negeri ini.

Walaupun kawasan itu hanya meliputi Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) seluas 1,400 kilometer persegi, ia jauh lebih ketat lagi berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Individu ingkar bukan sahaja boleh ditahan, malahan ditembak mati oleh pasukan keselamatan berbanding PKP yang baru diwujudkan pada 18 Mac lalu ekoran penularan wabak Covid-19.

Namun, baru-baru ini kita gempar apabila seorang pegawai polis di Sabah berpangkat Asisten Supritendan atau ASP bakal disiasat hanya kerana sebat sekumpulan lima remaja ingkar PKP.

Ironi, insiden aneh itu berlaku pula di Kunak, sebuah daerah di Bahagian Tawau termasuk dalam kawasan ESSZONE dan penduduknya sendiri sudah biasa dengan senario perintah berkurung!

Lucunya, akibat tekanan netizen di alam siber (bukan kerana ada laporan polis dibuat), pegawai itu akan jalani siasatan dalaman oleh pihak ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kota Kinabalu.

Begitulah hebat kuasa tular segelintir pengguna media sosial di negara kita lebih ‘bela’ nasib hak asasi pesalah di Kampung Panji itu biadab ketawa pegawai bertugas demi jaga kesihatan rakyat.

Malangnya, Menteri Dalam Negeri baharu pula kelihatan tidak begitu tegas pertahankan pegawai itu yang juga merupakan antara calon untuk kenaikan pangkat dan sudah berkhidmat 15 tahun.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebaliknya tampak lebih ‘main selamat’ seolah-olah beri isyarat salah kepada rakyat bahawa polis tidak boleh guna kekerasan sepanjang tempoh PKP fasa kedua ini.

Walhal jika diteliti Perkara 11 (4) pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di bawah perintah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, tindakan kekerasan boleh digunakan pegawai.

Apakah menteri ini terlupa ada klausa tersebut yang jelas beri kuasa penggunaan kekerasan dan individu yang enggan patuhi arahan sebenarnya melakukan kesalahan di bawah subseksyen 3.

Hakikatnya, sepanjang PKP fasa pertama berakhir 31 Mac lalu, kita sudah ‘dihidangkan’ dengan banyak kes pelanggaran dengan ada yang kurang ajar hina pegawai polis macam sampah jijik.

Jika nasib baik, mereka cuma diberi amaran keras tetapi langkah lemah lembut kelihatan tidak dihargai padahal matlamat PKP mahu putuskan rantaian pembawa Covid-19 dalam masyarakat.

Lihatlah apa berlaku di Itali sendiri yang rakyatnya bebas ke sana sini waima kes wabak itu telah teruk sehingga tentera terpaksa dikerah bagi mendisiplinkan perangai jelik tidak boleh diajar lagi.

Begitu juga Amerika Syarikat yang menyaksikan jumlah penghidapnya tertinggi di dunia dengan atasi China, negara asal Covid-19; akibat berdolak-dalik lewat dikenakan perintah berkurung.

Apakah ini yang hendak kita saksikan di Malaysia pula? Itu pun mujur kes remaja di Kunak itu sekadar disebat kemudian dibebaskan tanpa didakwa di mahkamah atas budi bicara polis terbabit.

Bak kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri, lebih baik menangis sekarang daripada menangis kemudian dan beliau juga bersetuju kekerasan digunakan sebagai teladan.

Hatta bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubat dan setakat ini, syukurlah Malaysia belum lagi sampai tahap patut mencontohi jiran kita, Filipina yang tembak mati si ingkar PKP!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here