Bersederhana, bermuhasabah dan saling membantulah – Zul Yahya

0
314

Oleh NURULANUAR MANSOR

KUALA LUMPUR — Sebagaimana manusia lain, ada dalam kalangan artis, terutamanya yang tidak mempunyai kontrak lakonan dengan mana-mana pihak, hidup dalam kesulitan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Kesulitan yang dialami mengajar mereka untuk hidup bersederhana dan bermuhasabah diri agar kesulitan hidup yang dialami tidak menjadi terlalu membebankan.

Menurut artis veteran, Zul Yahya, pengalaman beliau dan rakan-rakan seangkatan sejak terjun ke bidang perfileman pada tahun 1992, mengajar mereka untuk sentiasa bersyukur atas setiap rezeki yang dikurniakan.

Pada waktu itu, dia dan rakan-rakan artis yang lain tidak terlalu bermewah-mewahan dalam menjalani kehidupan yang mana cara hidup demikian banyak membantu mereka ketika menghadapi kesulitan terutamanya dalam soal kewangan.

Artis yang pernah membintangi filem Leftenan Adnan dan MX3 itu juga berkata, kehidupan mereka pada ketika itu berbeza dengan artis-artis baharu zaman kini yang hidup serba mewah.

“Kehidupan serba mewah yang sering ditayangkan oleh sekelompok artis zaman inilah yang mendatangkan kemudaratan kepada mereka terutamanya pada waktu yang mencabar (seperti ketika penularan wabak Covid19 ini).

“Tidak salah untuk kita mempunyai kekayaan tetapi in janganlah harta itu menjadikan kita riak dan lalai,” nasihat Zul Yahya dalam videonya yang tular di media-media sosial baru-baru ini.

Zul Yahya turut memberikan analogi untuk difikirkan oleh para peminat dan rakan-rakan artis yang lain.

Katanya, hidup ini umpama sebuah kapal yang memerlukan air laut untuk belayar.

Jika air laut itu dibiarkan masuk dan memenuhi kapal, akibatnya kenderaan itu akan karam di lautan.

Justeru, tambah beliau, wajar bagi kita untuk sentiasa bermuhasabah dan tidak membiarkan diri dipengaruhi oleh kemewahan agar kita tidak tenggelam seperti kapal yang dipenuhi air laut.

Zul Yahya juga menasihati rakan-rakan artis untuk saling bantu membantu agar setiap cabaran kehidupan mereka yang memerlukan terutamanya dalam kalangan rakan seperjuangan mereka dapat diringankan.

–BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here