Sunway prihatin nasib komuniti B40 di projek hartanahnya

    0
    201

    KUALA LUMPUR — Komitmen Sunway Group dalam membantu rakyat Malaysia berdepan dengan krisis penularan wabak COVID-19 dibuat secara menyeluruh kerana ia turut ditumpukan kepada komuniti B40 yang tinggal di beberapa bandar yang dimajukan kumpulan berkenaan di seluruh negara.

    Ia dibuat melalui program #SunwayForGood Aid Now yang dilancarkan baru-baru ini ditumpukan khusus kepada komunitinya yang tinggal di projek perumahan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

    Menurut Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Razman M. Hashim, dana sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi program berkenaan.

    TIMBALAN Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Razman M. Hashim

    Sumbangan berkenaan terdiri daripada barang makanan ringan yang boleh disimpan lama antara dua hingga tiga minggu untuk sebuah keluarga seperti sardin, bihun, tepung, beras, susu, biskut dan minyak memasak.

    Dana tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Sunway Group bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi wabak berbahaya tersebut.

    Pengasas dan Pengerusi ìSunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dalam satu kenyataan di sini turut menyumbang sebanyak RM34 juta bagi tujuan berkenaan.

    PENGASAS dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah

    Daripada dana tersebut,  sebanyak RM1 juta akan disumbangkan kepada Tabung COVID-19, sebanyak RM12 juta untuk menanggung subsidi kos rawatan para pesakit dari hospital  milik Kementerian Kesihatan dan juga dari Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala RM20 juta adalah tawaran sewa secara percuma kepada peruncit perdagangan bukan utama di Sunway Malls.

    Meneruskan usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh PKP ini, kakitangan kumpulan juga turut bersemangat untuk turun padang menjayakan misi berkenaan.

    Mereka turut turun padang mengutip derma dengan kerjasama Yayasan Jeffrey Cheah serta mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan kanan kumpulan.

    Kutipan derma bagi dana #SunwayForGood itu telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan para pekerja kumpulan.

    Razman menjelaskan, sumbangan derma yang berjaya dikutip  ialah sebanyak RM800,000.

    Menurut beliau, ini merupakan hasil usaha daripada sokongan sebuah keluarga daripada Sunway Group dalam menghadapi cabaran luar biasa ekoran pandemik penyakit berbahaya ini.

    “Ketika berdepan dengan kesulitan, selalunya keluarga akan bergabung membantu satu sama lain untuk menghadapi krisis. Inilah yang kami lakukan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.

    “Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan yang memerlukan dan terkesan daripada penularan penyakit berkenaan termasuk juga kepada kakitangan dalam kumpulan juga,” katanya.

    Sumbangan daripada dana #SunwayForGood itu akan diserahkan bagi membantu penjagaan kesihatan kakitangan barisan hadapan yang telah bertungkus lumus bekerja sepenuh masa sejak COVID-19 mula merebak di negara ini.

    Dana itu juga akan diagihkan kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan utama dan kritikal ketika berkhidmat, kumpulan komuniti B40 yang tinggal dalam kawasan perbandaran yang dimajukan oleh Sunway di seluruh negara yang memerlukan bantuan.

    Daripada dana #SunwayforGood itu juga, pek StaySafe yang meliputi topeng muka, suplimen Vitamin C dan sanitizer telah diagihkan kepada pekerja barisan hadapan termasuk yang terlibat dalam perkhidmatan utama serta kritikal dalam Sunway Group.

    Kumpulan barisan hadapan Sunway termasuklah para pekerja yang terlibat dalam penjagaan kesihatan di Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur dan Sunway Medical Centre di Velocity di Cheras.

    Ia juga melibatkan penjaga zoo yang sentiasa mengawasi binatang yang terdapat di Sunway Lagoon dan juga Sunway Lost World of Tambun, pekerja yang berkhidmat di bahagian hotel di seluruh hartanah perhotelan kumpulan termasuk kakitangan daripada bahagian penyelenggaraan, pengawal keselamatan dan polis bantuan bagi memantau dan mengawasi tahap keselamatan di semua komuniti dan bandar milik Sunway.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here