Angkat berat Malaysia digantung IWF

0
312

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SELURUH aktiviti sukan angkat berat Malaysia ‘lumpuh’ di arena antarabangsa apabila Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung setahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) gara-gara kekerapan ujian antidoping yang positif melibatkan empat atlet negara, beberapa tahun lalu.

IWF turut melarang semua pengangkat berat Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan dan program kelolaannya selama lima bulan sehingga 1 September ini, kata Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.

Mereka juga tidak dibenarkan IWF daripada menyertai Sukan Olimpik 2020 yang telah pun ditunda ke 23 Julai 2021 akibat penularan Covid-19, hasil keputusan Jawatankuasa Bebas Pendengaran dan Siasatan Dalaman IWF yang bersidang 6 Mac lalu.

“Malaysia telah menjalani sesi pendengaran jawatankuasa bebas yang dilantik oleh IWF ini melalui Skype dengan antara enam ahlinya ialah Richard Young dari Amerika Syarikat.

“Kami telah menerima keputusan oleh IWF itu (Rabu lalu). Penggantungan PABM daripada sebarang aktiviti IWF bermula tarikh itu sehingga 1 April 2021,” katanya dalam siaran media PABM semalam.

KENYATAAN MEDIA PABM 1

Jelasnya, penggantungan lima bulan buat atlet-atlet Malaysia disebabkan PABM telah menggantung mereka daripada menyertai sebarang kejohanan anjuran IWF selama setahun dari 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019 yang antaranya meliputi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Namun katanya, tempoh itu masih bergantung kepada IWF sekiranya badan induk itu berpuas hati terhadap program pendidikan dan pencegahan doping yang diadakan oleh PABM.

“PABM juga telah didenda sebanyak AS$25,600 (RM111,564) pada tahun lalu berkaitan isu doping empat atlet negara. Malaysia telah menjelaskan denda tersebut pada September lalu,” katanya.

PABM jelasnya, turut akan mengkaji sama ada mahu membuat rayuan atau tidak terhadap penggantungan itu berdasarkan implikasi terhadap keputusan, kewangan dan masa.

Selain itu katanya, PABM terus bertekad untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan terutamanya berkaitan doping sejak Mei 2018 malah akan menggandakannya agar semua pencinta sukan ini terutama atlet dan jurulatih memahami betapa buruknya impak pengambilan bahan larangan itu.

Namun berdasarkan keputusan IWF ini yang hanya tertakluk di arena antarabangsa, kejohanan dalaman, kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia 2020 di Johor yang turut ditunda akibat Covid-19, tetap akan mempertandingkan angkat berat seperti yang dirancang.

“PABM dan semua persatuan ahli gabungannya juga bersetuju untuk meletakkan tanggungjawab kepada negeri-negeri sekiranya berlakunya doping. Denda dan pengantunggan atlet dan negeri juga akan dikenakan sekiranya isu doping ini masih berlaku seperti mana yang dipersertujui mesyuarat agung PABM, tahun lalu,” katanya.

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN KEPUTUSAN PERSEKUTUAN ANGKAT BERAT MALAYSIA KP MSN 5 APRIL 2020

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here