Kampung Baru terus kekal di takuk lama?

Apabila kerajaan sudah bertukar, pihak yang membuat dakyah ini bolehlah sekarang membeli tanah dengan harga yang mereka gembar gemburkan dahulu.

0
291

Oleh AHMAD ABD HAMID

MALANG sungguh nasib penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur. Harapan untuk melihat kawasan kediaman mereka dibangunkan agar setanding dengan kawasan elit di sekitarnya terus hampa.

Sudah beberapa dekad usaha dibuat untuk membangunkan ‘kampung’ di tengah bandar raya itu tetapi masih menemui jalan buntu.

Pukulan terbaharu ialah apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memgumumkan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan pembangunan Kampung Baru ketika ini kerana kosnya terlalu tinggi sehingga mencecah RM7 bilion.

Selain itu dianggarkan hanya 60 peratus penduduk sahaja yang bersetuju dengan pelan pembangunan sementara bakinya belum memberi kata putus. Kelompok ini dikatakan tidak bersetuju dengan harga pembelian tanah mereka.

Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bersetuju membeli tanah penduduk dengan kadar RM1,000 sekaki persegi untuk dimajukan.

Sejumlah RM850 akan diberi secara tunai dan RM150 diletakkan sebagai pegangan atau saham dalam sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang bakal dibentuk bagi memudahkan projek pembangunan Kampung Baru itu.

Pada ketika itu dikatakan 90 peratus pemilik tanah di Kampung Baru bersetuju dengan tawaran pembelian oleh kerajaan. Keputusan muktamad pembelian ini dijangka diumumkan pada bulan Jun.

Namun sebelum sampai tarikh ini kerajaan pusat bertukar pula. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan.

Dengan perubahan ini apa yang dirancang oleh kerajaan PH terhenti. Pendirian kerajaan PN pula tidak akan meneruskan apa yang dirancang oleh kerajaan PH seperti apa yang diumumkan oleh Annuar.

Yang terus terkebil-kebil ialah penduduk Kampung Baru yang kempunan menyaksikan pembangunan kediaman mereka menjadi kenyataan. Impian mereka bagai bayang-bayang, semakin dikejar semakin jauh.

Bayangkan idea membangunkan Kampung Baru tercetus sejak tahun 70-an agar ia sama hebat dengan kepesatan pembangunan sekeliling.

Bangunan-bangunan moden dan pencakar langit bagai menenggelam dan meminggirkan Kampung Baru. Malah diandaikan jika dicabut semua bangunan mewah dan berprestij ini, yang tinggal hanyalah Kampung Baru yang serba ketinggalan.

Kerana itulah usaha pembangunan dirancang bagi memertabatkan kedudukannya. Namun sedih sekali selepas lima dekad, selepas menteri bersilih ganti dengan pelbagai janji dan retorik, Kampung Baru tetap tidak berubah.

Banyak rumah semakin tua, rebeh atau menyembah bumi. Ramai pula yang mengimpikan melihat Kampung Baru moden pergi menemui Ilahi dengan membawa harapan hampa.

Kehampaan ini akan berterusan. Ketika kerajaan dahulu mengumumkan pembelian tanah RM1,000 satu kaki persegi, ramai penduduk menganggap ia rendah, ditambah dengan dakyah pihak tertentu kononnya tanah boleh laku sehingga lebih RM3,000 sekaki persegi.

Oleh itu apabila kerajaan sudah bertukar, pihak yang membuat dakyah ini bolehlah sekarang membeli tanah dengan harga yang mereka gembar gemburkan dahulu.

Isu Kampung Baru sudah terlalu lama tanpa penyelesaian. Seolah-olah usaha untuk membangunkannya tidak bersungguh-sungguh. Jika tidak masakan selepas lima dekad tiada apa-apa tindakan konkrit dicapai.

Membangunkan Kampung Baru memerlukan ‘political will’ tetapi jangan dipolitikkan. Janganlah berganti kerajaan atau berganti menteri maka pembangunan menjadi mangsa.

Penduduk pula janganlah mengharapkan harga terlalu tinggi untuk tanah mereka. Jangan terlalu melabuhkan harapan pada kata-kata manis yang menjanjikan harga tinggi tetapi sebenarnya hanya godaan ‘tin kosong’. Harga yang berteraskan perkiraan Jabatan Penilaian sepatutnya dipercayai.

Entah berapa lama lagi sebelum kita dapat menyaksikan Kampung Baru yang ‘baharu’ menjadi kenyataan. Atau mungkinkah ia akan terus wujud seperti apa yang ada sekarang selama-lamanya?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here