Duka lara Salahuddin Ayub di Kementerian Pertanian (Mei 2018- Februari 2020)

MOA dan Malaysia kehilangan seorang menteri yang bukan sahaja berjiwa rakyat tetapi berwawasan realistik. Beliau akan dikenang antara Menteri Pertanian  terbaik negara ini.

0
727
SALAHUDDIN (tengah) sebak ketika membaca warkah yang dibawa oleh Wak Ibas (kiri) pada majlis pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian di MAEPS, Serdang, Selangor pada 14 Februari 2019. Turut kelihatan, Fatimah Taha, isteri Salahuddin

Oleh GHULAM SARVER MOBARAK ALI

PUTRAJAYA – BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub, 58, menggemparkan hadirin pada majlis hala tuju kementerian apabila menitiskan air mata di pentas semasa membaca warkah Wak Ibas, 77, petani dari Sungai Besar, Selangor.

Majlis gimik penyampaian warkah  pada 14 Februari 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Serdang  (MAEPS), Selangor oleh Wak Ibas kepada Salahuddin pada mulanya dirancang sekadar membawa kelainan   daripada kebiasaan tetapi sebaliknya menggambarkan realiti   kegelisahan dan kesusahan yang dialami oleh golongan petani, penternak dan nelayan  dalam kelangsungan hidup mereka.

Hadir sama isteri Salahuddin, Fatimah Taha.

Warkah Wak Ibas antara lain melahirkan kebimbangan  dengan pemotongan subsidi baja dan  elaun sara diri oleh kerajaan.

Tangisan  Salahuddin itu bukan dibuat-buat; itulah perasaan mendalam di  lubuk hatinya yang dizahirkan terhadap kemiskinan yang tidak berkesudahan golongan petani.

Salahuddin yang terkenal dengan ketinggian  budi bahasa mudah terkesan dengan golongan petani yang dilihatnya tidak terbela sungguhpun terdapat banyak jabatan dan agensi di bawah MOA.

Beliau menyedari kementeriannya turut bertanggungjawab atas kemiskinan, cabaran dan kemelut orang tengah yang dihadapi oleh golongan itu.

“Selagi nyawa di kandung badan dan saya diberikan amanah menerajui kementerian ini, saya akan membela nasib warga petani, nelayan dan penternak,” tegas Salahuddin pada majlis tersebut.

Salahuddin yang ketika itu  baru kira-kira sembilan  bulan  dilantik menteri tetapi berjaya membentangkan  secara terperinci Hala Tuju MOA 2019-2020. Sungguhpun rancangan tersebut usaha jangka pendek  tetapi cukup mantap sebagai panduan menggerakkan warga kerja di MOA membela nasib rakyat yang bernaung di bawah kementeriannya.

Salahuddin berpendapat MOA bertanggungjawab memastikan pengeluarkan makanan berkualiti dengan harga patut untuk rakyat Malaysia dan menjamin kecukupan makanan negara dalam sebarang situasi.

Ahli Parlimen Pulai, Johor itu amat teruja ditawarkan berkhidmat sebagai menteri  MOA padai 21 Mei 2018 sebab bidang pertanian tidak asing baginya.

Walau bagaimanapun, selepas kira-kira 20 bulan menjadi menteri kekecewaannya terhadap prestasi pegawai-pegawai MOA tidak dapat dibendung.

Semasa menyampaikan ucapan tahun baharu pada 6 Januari 2020 kepada warga MOA  di  Putrajaya,  beliau  dengan tegas menyatakan, “Tetapi 2020 saya bukan lagi Salahuddin Ayub 2019.

“Saya tidak takut dan tidak teragak-agak lagi untuk memastikan pegawai-pegawai kita dapat melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Masa untuk saya belajar telah tamat. Masa untuk saya mencuba-cuba telah selesai. Saya berdiri pada pagi ini untuk memimpin pasukan kementerian dengan langkah-langkah yang telah kita susun melalui hala tuju yang dilancarkan dengan jelas dan menuntut kepada pelaksanaan yang lebih tuntas.

“Tidak perlu iring saya, beri bunga, nyanyi lagu hari jadi untuk saya.

“Saya tidak minta itu semua. Yang saya pohon ialah kebersamaan kita menerajui kementerian untuk rakyat di luar sana yang selayaknya mendapat banyak manfaat daripada kementerian yang besar ini,” kata  Salahuddin dalam nada serius.

Beliau hairan bagaimana negara kecil seperti Taiwan dan Belanda tetapi mengeksport barang pertanian hampir ke seluruh dunia.

Malaysia, katanya mempunyai institusi pertanian  seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), MARDI, 600 saintis, tokoh seperti Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Arshad iaitu Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan dan  pemikir Profesor Dr  Jomo  Kwami Sundaram yang melahirkan banyak idea besar untuk mengubah landskap pertanian negara.

Sungguhpun begitu, katanya Malaysia masih gagal memastikan pendapatan petani ditingkatkan.

“Saya mengharapkan Ketua Setiausaha (MOA) akan memastikan kerenah birokrasi yang mungkin menebal lagi dalam agensi dapat dimusnahkan. Kalau tidak dapat musnah 100 peratus, kita pendekkan rantaian birokrasi itu,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan kehampaannya terhadap kerenah birokrasi apabila beliau ke Perlis  pada 2 Januari lalu meninjau keadaan sawah.

“Sawah kering kontang. Masih ada jawapan (pegawai) mengatakan ‘ini bukan kuasa saya’, ‘ini mesti dirunding dengan jabatan’. Petani hari-hari menangis tengok padi rosak. Peraturan apa ini?

“Tuduh menuduh antara satu sama lain. Saya mahu perkara ini selesai once for all. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada kepada mana-mana pegawai yang cuba bermain-main dengan tanggungjawab dan cuba melakukan sesuatu yang tidak menepati ikrar yang anda janjikan.”

Salahuddin juga tidak dapat melindungi perasaan kecewanya setelah mendapati lebih 50 peratus belanja mengurus MOA terpaksa dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.

“Apa maknanya ini? Salah ibu yang mengandung? Salah menteri yang memimpin? Salah KSU (Ketua Setiausaha) yang menjalankan urus tadbir?

“Duit kita banyak tidak habis belanja, kenapa?” soalnya dalam nada kesal.

Salahuddin seterusnya menegaskan, “Tahun ini (2020) saya mewajibkan apabila saya minit sesuatu surat, bila YBTM (YB Timbalan Menteri) minit sesuatu surat, wajib untuk laksanakan dengan cepat dan akan saya tuntut berapa masa perkara itu mesti ditunaikan.”

Beliau  memberi amaran kepada staf MOA, “Jangan main-main lagi dan saya tidak akan teragak-agak memastikan pegawai buat kerja dengan baik dan akan mengambil tindakan ke atas pegawai yang tidak mahu bekerja dengan saya”.

“MOA payung rakyat, tempat berteduh dan kita  mesti memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” jelas  Salahuddin.

Kini, beliau meninggalkan MOA setelah  Pakatan Harapan tidak lagi menjadi kerajaan apabila Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak  jawatan pada 24 Februari lalu.

Staf  MOA akan mengenang Salahuddin sebagai menteri yang menghormati pegawai,  komited, telus dan berhemah.  Beliau teliti dan cepat  mempelajari selok- belok serta rentak  jabatan dan agensi di bawah kementeriannya.

Dalam masa  21 bulan keberadaannya di MOA, Salahuddin menyedari halangan besar di kementeriannya ialah budaya kerja warganya.

Dalam masa yang singkat beliau tidak dapat mewujudkan Budaya Kerja Kelas Pertama (BKKP)  iaitu amalan terbaik dan terpuji yang melebihi daripada kebiasaan.

BKKP merangkumi aspek pemikiran, pengurusan emosi dan dimanifestasikan melalui perlakuan, tindakan dan cara bekerja yang penuh integriti serta dapat memuaskan kehendak pelanggan.

MOA dan Malaysia kehilangan seorang menteri yang bukan sahaja berjiwa rakyat tetapi berwawasan realistik. Beliau akan dikenang antara Menteri Pertanian  terbaik negara ini.

Tempatnya  digantikan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee daripada Perikatan Nasional pada 8 Mac lalu.

________________________________________________________________________
Ghulam Sarver Mobarak Ali ialah bekas pegawai kanan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia. Sejak 2003 beliau terlibat dalam pelbagai usaha meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here