Keluh-kesah dan rayuan pengusaha stesen minyak

0
939
FOTO: Aziz A. Shariff

Oleh WARTAWAN BEBASNEWS

KEJATUHAN harga minyak sepatutnya mengembirakan pengusaha-pengusaha stesen minyak kerana volume pengguna akan bertambah.

Tetapi malangnya serangan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan atau lockdown yang berlaku bukan sahaja menjejaskan jualan minyak, tetapi juga pendapatan daripada kedai serbaneka mereka turut jatuh teruk.

Keadaan mereka bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga. Jika keadaan ini berlanjutan, mungkin ramai yang akan gulung tikar dan pekerja-pekerja terpaksa dihentikan.

Ikuti keluhan dan cadangan penyelamatan daripada salah seorang ahli persatuan stesen minyak (PDAM), yang namanya tidak disebut tetapi sudah berlegar di media sosial dan di kalangan ahli-ahli persatuan itu.

HARI ini adalah hari ke-20 kita berkurung dalam perintah sekatan perjalanan.

Semakin hari semakin banyak jalan-jalan dan susur masuk menghala ke stesen ditutup dan jualan makin berkurangan. Kebanyakan sekarang di bawah 20%.

Selain kita rugi/susut nilai stok yang ada sejak empat minggu yang lepas, ditambah pula double/triple susut nilai kerana stok tiga minggu yang lepas pun masih tidak terjual.

Dalam masa yang sama setiap hari operasi stesen rugi di antara RM600 ke RM1,200 sehari.

Setiap stesen ada pekerja di antara 8 ke 25 orang, mengikut besar dan volume stesen.

Volume yang ada tidak dapat menampung kos operasi stesen. Setiap hari kita dengar bantuan itu ini dari kerajaan, malangnya satu bantuan pun kita sebagai pengusaha atau staf layak menerima.

Cuma pinjaman COVID-19 dari bank. Itu pun belum ada yang berjaya dan bermacam syarat dan dokumen sokongan diperlukan.

Mungkin minggu hadapan ataupun minggu kedua kita akan dikejutkan dengan kenaikan harga pam kerana harga minyak dunia meningkat 42%.

Peningkatan harga pam ini akan membuat pengusaha lintang-pukang, dengan jualan yang kecil, value produk/ringgit yang kecil untuk menampung load baru yang mungkin 42% tinggi harganya.

Kita PDAM harus memikirkan beban ini, di mana mungkin ramai kawan-kawan kita tidak mampu untuk membayar load/bekalan yang baru ini.

Ini sebahagian dari cadangan/pandangan saya untuk membolehkan bisnes kita mampu kekal:

1. Satu pendekatan bantuan khas berbentuk dana dari kerajaan diperlukan (di antara RM100,000 dan RM200,000).

2. Pegangan stok mengikut keperluan dipastikan ada oleh kerajaan apabila berlaku kenaikan harga.

3. Menghad jumlah stesen yang dibuka bagi membolehkan stesen yang beroperasi melepasi kos operasi mereka.

4. Semua staf yang dicarum Perkeso majikan layak mendapat bantuan, walaupun tiada EIS (difahamkan boleh dikatakan semua stesen tiada EIS).

5. Mendapatkan komisyen tambahan sebanyak 10 sen setiap produk dari sekarang sehingga 12 bulan selepas tamat COVID-19 untuk memperkukuhkan modal pusingan.

6. Mohon 50% penurunan pendapatan untuk melayakkan bantuan dikira dari Mac dan bukannya Januari.

Cadangan dan pandangan untuk dimajukan kepada Kementerian Kewangan, KPDNHEP dan PM.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here