‘Ola Bola 2’ wajar imbas Bencana Kuwait ‘81

0
421
KARL Heinz Weigang (berdiri kanan) bersama skuad juara Kelayakan Olimpik 1980, akur melepaskan jawatan selepas Bencana Kuwait 1981.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

CHOW Kok Keong, Muthu Kumar, Ali, Abu, Eric Yong dan Harry Mountain.
Dalam sejarah bola sepak negara, nama-nama ini memang tidak wujud mahupun tidak dikenali langsung oleh para peminat tanah air.

Lain pula halnya apabila watak-watak ini muncul dalam filem pecah panggung ‘Ola Bola’ pada 2016 yang mengambil inspirasi daripada kejayaan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 menerusi saingan Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur.

Skuad pimpinan Datuk Soh Chin Aun ini turut mengandungi mendiang Datuk R. Arumugam, Khalid Ali, Datuk Shukor Saleh, Datuk James Wong dan mendiang Karl Heinz Weigang serta lain-lain yang mencatat sejarah kemaraan kedua ke Olimpik pada 6 April 1980.

Banyak fakta dan nama dalam peristiwa ini diubah yang menurut Chin Aun, “bagi mengelak kemungkinan tuduhan atau saman pihak-pihak tertentu. Bagi saya jika filem ini mahu para peminat bola sepak mengenang semula kejayaan pasukan kita, OK sahaja.

BAKRI Ibni (tengah) menjaringkan gol pertama Malaysia yang menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam final Kelayakan Olimpik 1980

“Saya pun bukanlah seorang bintang filem atau tahu berlakon,” katanya yang membuat penampilan cameo sebagai ‘Chow Kok Keong waktu tua’ pada penghujung ‘Ola Bola’ untuk ditemu bual seorang wartawan wanita.

Antara yang ketara demi memenuhi kehendak skrip supaya lebih berunsur cereka ialah keputusan perlawanan akhir kelayakan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka itu yang sebenarnya dimenangi Malaysia 2-1, diubah kepada 3-2.

Beberapa pemain pasukan itu turut mempersoalkan berita pemulauan Olimpik Moscow 1980 yang tersebar beberapa minggu kemudian dan bukannya seperti yang digambarkan ‘Ola Bola’ – diketahui pasukan pada masa rehat perlawanan akhir.

Sempena ulang tahun episod kejayaan yang sudah berusia 40 tahun dan belum mampu diakhiri kemaraunya sehingga hari ini, Chin Aun pernah ditanya, “wajarkah jika Ola Bola mempunyai sequelnya (sambungan) menjadi ‘Ola Bola 2’?”

“Saya fikir cukuplah,” kata Tauke yang meraih lebih 200 penampilan antarabangsa termasuk beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972 dengan koleksi kejayaan lainnya meliputi pingat gangsa Sukan Asia 1974, dua pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979, empat gelaran Pestabola Merdeka dan pusingan akhir Piala Asia.

Jika filem cereka bercorak drama sukan pecah panggung Hollywood seperti Rocky boleh disambung kepada ‘Rocky II, III, IV, V dan Rocky Balboa’ malah ‘dispin-off’ kepada Creed dan Creed II, tentu ada tarikannya untuk menampilkan kesinambungan ‘Ola Bola’ dengan terus mengambil inspirasi skuad Harimau Malaya 1980 itu.

Pernahkah anda menonton ‘Escape To Victory’ (kisah pasukan bola sepak tahanan Perang Dunia Kedua melawan tentera Nazi) yang juga dibintangi Si Rocky, Sylvester Stallone dan Raja Bola Dunia, Pele (juga biografinya difilemkan yang berjudul namanya pada 2016).

Alangkah menariknya jika seorang lagi bintang cameo ‘Ola Bola’, Datuk Rahim Razali yang juga bekas pengulas sukan TV terkenal, diberi peluang mengarahkan ‘Ola Bola 2’ seperti naskhah hebatnya, ‘Pemburu’, ‘Matinya Seorang Patriot’, ‘Abang’ dan ‘Anak Sarawak’.

Banyak suka-duka skuad Harimau Malaya 1980 ini yang mampu dikembangkan jalan cerita atau asas skripnya dalam ‘Ola Bola 2’ dengan watak-wataknya yang turut berdasarkan tonggak lain pasukan seperti Kamarudin Abdullah, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Hassan Sani dan Abdullah Ali.

ADEGAN filem ‘Ola Bola’ yang berinspirasikan kejayaan skuad juara Kelayakan Olimpik 1980.

Selepas kempunan Olimpik Moscow kerana dasar kerajaan yang membantah pencerobohan rejim komunis Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan, skuad saki-baki tonggak kelayakan itu hampir sahaja ke separuh akhir Piala Asia di Kuwait pada September 1980 di bawah kendalian Allahyarham Mohamad Che Su.

Masih dipimpin Chin Aun, barisan pilihan kedua seperti Allahyarham Hanis Devandran Abdullah, Allahyarham Yahya Jusoh, S. Pushpanathan, Rameli Junit, Allahyarham Tukamin Bahari dan Zulkifli Hamzah ini cuma dipisahkan satu mata dalam saingan Kumpulan B dengan tuan rumah yang muncul juara kemudiannya.

Sebulan kemudian, majoriti anak buah Mat Cesu ini termasuk kembalinya Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang bergandingan dengan Hassan, menewaskan Maghribi 2-0 dalam liga kumpulan namun ditewaskan jaguh Afrika itu 2-1 pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka Ke-24 di Stadium Merdeka.

Jika kesudahan ‘Ola Bola’ ada suka berbaur duka kerana kejayaan menewaskan Korea Selatan dan hampa sebab melepaskan tiket Olimpik, bagaimana kalau penghujung ‘Ola Bola 2’ pula didasarkan kepada peristiwa ‘Bencana Kuwait 1981’?

Skuad ini kembali kepada tangan Weigang yang baru pulih daripada masalah jantung untuk mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia dengan negara Asia Barat itu selain musuh tradisi Korea Selatan dan Thailand dari 21 hingga 27 April 1981.

Anehnya, skuad yang diperkuatkan semula Supermokh, James, Hassan, Chin Aun dan majoriti anggota juara Kelayakan Olimpik 1980 malah dua pemain kelab profesional Hong Kong seperti mendiang Chow Chee Keong dan Yip Chee Keong ini dijinakkan Korea Selatan 2-1, dibelasah Kuwait 4-0 dan hanya mengikat Thailand 2-2 menerusi gol penyerang yang kurang dikenali, Allahyarham Ibrahim Din.

Hampir 10 tonggak skuad ini kemudian digugurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala sebuah panel khas yang diketuai Allahyarham Tan Sri Jamil Rais, ditubuhkan bagi menyiasat ‘Bencana Kuwait’ itu yang turut dikaitkan dengan tuduhan segelintir pemain mengatur keputusan perlawanan.

Sekadar untuk melegakan sedikit kepahitan skuad negara itu ialah betapa Kuwait yang dilatih bekas pemenang Piala Dunia 1994 Brazil, Carlos Alberto Parreira memang bukan calang-calang pasukan.

Juara Piala Asia 1980 ini mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Sepanyol dengan mengikat Czechoslovakia 1-1, hanya dikalahkan England 1-0 dan tewas 3-1 kepada pemenang tempat keempat kemudiannya, Perancis dalam saingan Kumpulan 4 Espana ‘82.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here