Angkat berat dalam Sukma 2020 hak Jawatankuasa Tertinggi

0
321

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

HANYA Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang berhak memutuskan sama ada angkat berat akan tetap dipertandingkan dalam temasya ke-20 di Johor itu atau tidak.

Sekalipun penggantungan setahun terhadap Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dikatakan hanya membabitkan kejohanan antarabangsa, statusnya dalam Sukma masih perlu dirujuk dalam mesyuarat jawatankuasa itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, “kami mengambil maklum akan keputusan tersebut daripada aspek penganjuran angkat berat pada Sukma Johor 2020 dan akan merujuk kepada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, akan datang.

“Sehingga kini angkat berat masih (dianggap) dipertandingkan apatah lagi tarikh
Sukma Johor 2020 yang tertangguh (dari jadual asal, 11 hingga 19 Julai ini akibat penularan pandemik Covid-19), masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam siaran media MSN, semalam.

Semalam Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, “berdasarkan keputusan IWF yang hanya tertakluk kepada kejohanan antarabangsa, segala kejohanan dalaman dan kejohanan kebangsaan termasuk Sukma 2020, tetap akan mempertandingkan angkat berat seperti yang dirancang.”

Penggantungan IWF terhadap PABM itu berkuat kuasa Rabu lalu hingga 1 April 2021 gara-gara empat ujian antidoping yang positif melibatkan atlet negara, beberapa tahun lalu.

IWF juga menggantung penyertaan semua pengangkat berat Malaysia daripada kejohanan dan program kelolaannya selama lima bulan sehingga 1 September ini serta Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang telah ditunda ke 23 Julai 2021.

Dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Jawatankuasa Tertinggi Sukma terdiri daripada 14 Exco atau Menteri Belia dan Sukan negeri, Ketua Setiausaha Kementerian, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara serta Sekretariat Sukma Johor.

Mesyuarat berikutnya jawatankuasa itu yang dijangka diadakan pada awal Mei ini, turut akan memutuskan tarikh baharu Sukma Ke-20 sama ada pada Disember 2020 atau dianjakkan langsung ke tahun depan.

Namun jelas Shapawi, MSN akan terus bekerjasama dengan PABM dalam menghadapi isu penggantungan IWF itu malah program latihan atlet pada peringkat kebangsaan dan pelapis, tetap dijalankan secara dalaman.

“MSN juga menasihati pegawai, jurulatih dan atlet angkat berat bagi semua peringkat untuk meneruskan latihan masing-masing sambil mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang berkaitan doping.

“Mereka juga diingatkan agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan
yang sedang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini (akibat Covid-19 sejak 18 Mac hingga 14 April ini). Sentiasalah jaga kebersihan dan pergerakan masing-masing,” katanya.

Shapawi turut berharap semua penggiat angkat berat di seluruh negara bersatu hati demi menangani isu penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan angkat berat ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here