4 ketua PBT pikul usaha kekalkan Melaka bersih

0
227
FOTO: Aziz A. Shariff

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Empat Ketua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengangkat sumpah jawatan masing di hadapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali hari ini kini memikul tanggungjawab besar terutama dalam misi menjadikan Melaka kembali sebagai negeri paling bersih yang pernah diiktiraf sewaktu diterajui bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Sebelum ini ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang datang ke negeri ini mengakui Melaka adalah sebuah negeri yang sangat bersih. Ini dapat dilihat apabila mereka melepasi Plaza Tol Ayer Keroh menuju ke pusat tumpuan pelancong di Bandar Hilir.

Melaka negeri paling bersih menjadi mainan di mulut sesiapa sahaja yang datang ke negeri ini. Tiada sampah, plastik, daun-daun kering dan botol kosong berada di atas jalan raya sepanjang laluan dari Ayer Keroh hingga ke Bandar Hilir.

Malah hendak melihat rumput panjang pun susah demikian yang diluahkan oleh sesiapa sahaja yang mengunjungi Melaka ketika di bawah teraju Mohd Ali Rustam.

Bagaimanapun, Melaka sejak diambil alih pemerintahan oleh Pakatan Harapan melihat tahap kebersihan Melaka mula menjadi bualan hangat penduduk termasuk bekas pemimpin negeri yang dizahirkan melalui laman sosial.

Tahap kebersihan dikatakan merosot sehingga menjejaskan imej negeri dan ia dizahirkan melalui perkongsian gambar di laman sosial iaitu sampah seperti plastik, botol dan daun kering tidak diangkat dan rumput panjang di sepanjang jalan raya tidak dipotong pihak bertanggungjawab.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh bekas Ketua Menteri, Adly Zahari yang tidak menafikan masalah kebersihan di tepi jalan Melaka.

Lebih mengecewakan, EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri, Low Chee Leong sendiri mengakui, kes demam denggi meragut lima nyawa dan peningkatan sehingga 300 peratus dengan mencatatkan 904 kes sehingga 8 Jun lalu, berbanding hanya 225 kes bagi tempoh sama, tahun lalu, berpunca daripada kebersihan merosot di negeri ini.

Kini Melaka diperintah oleh Perikatan Nasional (PN) dan faktor kebersihan menjadi tumpuan utama buat Ketua Menteri baharu yang mahu menjadikan Melaka sebagai negeri paling bersih pernah diiktiraf sebelum ini.

Justeru pelantikan empat Ketua PBT yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan pentadbiran masing-masing bukan sekadar omong kosong.

Mereka yang mengangkat sumpah ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman.

Tiga daripada mereka cukup berpengalaman kerana pernah memegang jawatan Ketua PBT sebelum kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 hingga menyaksikan mereka melepaskan jawatan masing-masing.

Mohd Fadhil Hassan merupakan muka baharu yang dilantik sebagai Yang Dipertua MPAG. Beliau sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dan Kedah. Ini merupakan tanggungjawab besar Mohd Fadhil yang berasal dari Kelantan.

Begitupun tanggungjawab paling besar digalas oleh Zainal Abu kerana kawasan pentadbiran beliau adalah lokasi tumpuan pelancong iaitu di Bandar Hilir.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here