Masih ada yang senyum bila ingkar, PKP Fasa Kedua – Polis

0
459

KOTA BHARU — Polis Kelantan mendapati walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa kedua namun masih ada golongan yang ingkar dengan arahan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sehingga tengah hari ini, sebanyak 111 tangkapan telah dilakukan, menjadikan keseluruhannya 375 orang ditangkap sejak pelaksanaan fasa pertama PKP pada 18 hingga 31 Mac lalu.

“Kali ini polis tidak akan berlembut lagi dengan golongan yang sengaja ingkar arahan. Mana-mana individu sengaja keluar tanpa sebarang alasan kukuh akan terus ditahan.

“Dalam kebanyakan kes, individu yang ditahan hanya tersenyum dan apabila ditanya mengenai PKP mereka mengetahuinya. Dalam soal ini polis terpaksa menahan mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata PKP yang memasuki hari ke-20 menyaksikan tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap arahan itu kini 95 hingga 96 peratus.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata pihaknya tidak berdepan masalah kesesakan di lokap sepanjang tempoh PKP dilaksanakan kerana lokap yang ada mencukupi.

“Ada juga kita bagi jamin terus. Kita tengok keadaan seseorang, sebelum dimasukkan ke lokap, kita akan memeriksa suhu badan terlebih dahulu.

“Jika kita mendapati suhu mereka agak tinggi, kita akan beri jamin terus supaya mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata sehingga kini tujuh anggota polis sedang menjalani kuarantin di rumah dan empat daripadanya telah disahkan negatif COVID-19.

Sementara tiga lagi anggota termasuk seorang wanita, masih menjalani kuarantin di rumah kerana masih demam, katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here