Tiada penangguhan bayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan sektor awam — LPPSA

0
396

KUALA LUMPUR, 8 April — Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan memandangkan kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi memastikan kelangsungan serta sumber kewangannya kekal.

LPPSA berkata, hal ini dimaklumkan selepas menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak kemungkinan penangguhan boleh diberikan susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“LPPSA telah memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan kerana masih yakin kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan buat masa ini,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA telah disubsidikan pada kadar faedah 4.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.

Tambahnya lagi, kadar faedah pembiayaan tersebut juga jauh lebih rendah berbanding kos dana yang diperoleh LPPSA melalui terbitan sukuk iaitu pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5 peratus.

“Sebarang penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran wang tunai pihak LPPSA dan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 billion.

“LPPSA bertanggungjawab memastikan kelangsungan dan sumber kewangannya kekal utuh demi memastikan manfaat pembiayaan perumahan dapat terus disediakan kepada penjawat awam yang sedia ada dan yang akan datang,” jelas lembaga itu.

LPPSA turut menekankan bahawa penjawat awam dan pesara Kerajaan masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan masing-masing.

Selain itu, kebajikan mereka di bawah pakej rangsangan PRIHATIN tetap menjadi keutamaan melalui bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off (sekali) kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara Kerajaan bermula April.

Manakala, mereka yang berada di bawah kategori B40 dan M40 menerima Bantuan Prihatin Nasional di antara RM500 sehingga RM1,600 yang akan dibayar pada bulan April dan Mei.

Baki bayaran Bantuan Sara Hidup pula akan dibayar pada bulan Julai.

LPPSA merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam.

Penubuhan LPPSA yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan Malaysia telah berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2016.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here