Cukupkah agihan topeng nanti?

0
352
FOTO: Wikimedia Commons/Artur Bergman / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)

ADAKAH setiap orang akan mendapat penutup hidung dan mulut atau topeng (mask) secara percuma? Ikut perancangan, 24.62 juta keping akan diagihkan dan setiap isi rumah akan mendapat empat keping. Cukup?

Diharapkan agihan itu berjalan lancar. Cuma mungkin tidak semua akan memperolehnya dan akan kedengaran suara-suara yang mendakwa mereka tercicir.

Sama ada dapat atau tidak, golongan yang mampu mungkin tidak terlalu mengharapkan sumbangan ini sebaliknya bahagian mereka boleh disalurkan kepada orang yang ‘lebih memerlukan’ sama seperti orang yang mengharapkan makanan disebabkan pendapatan terjejas.

Penutup hidung dan mulut serta pembasmi kuman menjadi barang keperluan ketika ini. Ramai yang mampu membeli tetapi masalahnya stok terlalu cepat habis. Sama seperti roti Gardenia. Bezanya mask untuk keselamatan, roti untuk dimakan. Mask harga berubah, Gardenia tidak.

Justeru kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk memenuhi keperluan ini. Sementara kerajaan mengagihkan bantuan, eloklah bekalan dipertingkatkan di farmasi atau kedai berkaitan. Ramai yang sedia membelinya demi untuk perlindungan diri sendiri dan keluarga.

Bagi sesetengah orang, mereka amat menanti sumbangan percuma itu kerana tidak ada pilihan. Tidak ada di pasaran. Pada masa yang sama, ada juga yang mengambil kesempatan menjual pada harga tidak munasabah atau penipuan jualan di atas talian..

Jika ada dijual sekalipun, bekalan itu cepat habis sama ada kekurangan stok atau ada pihak yang membeli secara ‘borong’. Mungkin keluarganya ramai atau tidak mahu ulang-alik ke kedai dalam tempoh PKP ini.

Seperti kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Iskandar Halim Sulaiman, bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran kini meningkat kepada 25 peratus berbanding antara tiga hingga empat peratus sebelum ini.

“Ini bermakna daripada 100 kedai yang kita periksa, 25 kedai ada bekalan (penutup mulut dan hidung),” katanya sambil mengakui peningkatan bekalan itu masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Memang tidak mencukupi apabila permintaan atau keperluan mengatasi bekalan.

Menurut Iskandar Halim, permintaan di seluruh negara ketika ini termasuk untuk hospital dianggarkan lima juta keping sehari, sedangkan pengeluaran oleh pengilang tempatan hanya 1.1 juta keping sehari dan selebihnya diimport.

Begitulah situasinya. Lebih parah apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menyorok bekalan. Contohnya tiga lelaki yang dikenakan kompaun berjumlah RM250,000 kerana menyorok bekalan penutup mulut dan hidung di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac lepas.

Sebanyak 223,000 unit penutup dengan tiga lapis bernilai RM446,000 turut dirampas dalam serbuan berkenaan. Hasil siasatan mendapati penutup mulut dan hidung berkenaan disorok untuk dijual melalui media sosial dengan harga yang tinggi iaitu RM3.50 sekeping. Sepatutnya paling mahal RM1.50.

Diharapkan tidak ada pihak yang terus mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas kesusahan atau kesulitan orang ramai. Apatah lagi ia melibatkan soal kesihatan orang awam. Sepatutnya ketika ini, kita sama-sama berusaha mencari jalan untuk ‘menyelamatkan’ orang.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here