FDAM mahu FINAS batal lesen penerbit engkar PKP

0
2170
AHMAD IBRAHIM atau lebih dikenali Mat London.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memohon FINAS membatalkan lesen penerbitan filem dan drama
syarikat yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali Mat London berkata tindakan itu perlu sebagai ‘hukuman’ kerana tidak mematuhi arahan yang ditetapkan dalam situasi negara menghadapi ancaman pandemik Covid-19.

“Saya faham apa yang dialami oleh penerbit dan juga kru, tetapi saya berharap penerbit jangan terlalu memikirkan tentang duit dan keuntungan.

“Tidak dinafikan kita perlukan duit untuk kelangsungan hidup tetapi apabila penyakit ini menyerang kru dan pelakon, duit bukanlah segalanya kerana ia tidak akan memberi makna lagi,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan PKP peringkat ketiga dilanjutkan dua minggu lagi bermula 15 April dan berakhir pada 28 April ini.

PKP mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac hingga 31 Mac kemudian disambung pada 1 April sehingga 14 April bagi membendung penularan Covid-19.

Berikutan itu, sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan Penerbit Zeel Production Sdn. Bhd., Fadzil Teh memohon kerajaan membenarkan syarikat penerbitan menjalani penggambaran dengan bersyarat dalam tempuh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Beliau mendakwa berikutan PKP yang berlanjutan ianya telah menjejaskan kehidupan kru dan juga artis tempatan.

Pendapat beliau disokong oleh Penerbit Tanah Beris Filem Production Sdn. Bhd., yang juga pengarah, Shuhaimi Lua memohon Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi kelonggaran kepada pihak produksi untuk kembali bekerja.

Beliau berjanji akan mematuhi syarat agar mereka sentiasa bertopeng, menyediakan sanitizer, penjarakan sosial dalam jumlah kru yang tidak boleh melebihi 30 orang.

Menurut Mat London, pihak penerbit boleh berjanji untuk mematuhi syarat PKP tetapi adalah mustahil mereka boleh memastikan seratus peratus pekerja tidak dijangkiti kerana penjarakan sosial sukar dilakukan apabila cara kerja mereka berkumpulan dan melibatkan ramai orang dalam jangka waktu yang panjang.

“FDAM memahami akan masalah dan kesusahan terutama mereka yang di belakang tabir tetapi saya berharap apa yang kita alami dijadikan semangat dan kekuatan untuk kita bangun semula dari bawah.

“Kita harus sedar bukan para penerbit, tenaga di belakang tabir dan pelakon sahaja yang mengalami masalah malah syarikat korporat juga harus berusaha dari pelbagai sudut dalam menghadapi masalah ekonomi apabila Covid-19 berakhir,” kata Mat London.

Beliau berharap dengan apa yang terjadi mereka yang terlibat di belakang tabir muhasabah diri dan fikirkan tentang kasih sayang dan tanggungjawab kepada keluarga.

“Tidak salah sekali dalam seumur hidup kita mematuhi arahan yang ditetapkan demi kebaikan bersama.

“Inilah masa yang sesuai
seluruh penggiat seni memikirkan strategi untuk bangun dan membina industri kreatif dari bawah,” kata Mat London.

Ditanya jika pengarah meneruskan tugas ketika PKP, beliau menegaskan FDAM akan senarai hitamkan mereka
dan memboikot syarikat penerbitan dengan tidak menyokong Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Sebelum memulakan penggambaran drama atau
filem, syarikat penerbitan perlu memohon SPP dari FINAS dengan mengemukakan tenaga kerja yang diwajibkan menganggotai persatuan masing-masing.

Di samping itu bagi pihak FDAM, Mat London berterima kasih kepada Astro Shaw, Persatuan Penerbit Filem dan FINAS kerana menangguhkan semua tayangan filem di pawagam sepanjang PKP.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here