Lunas gaji, sepakat janji – Safee

0
565
ANTARA pegawai PFAM yang mengadakan mesyuarat secara online malam tadi. - Foto Facebook PFAM

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) tetap berpendirian tegas dalam menggesa majikan persatuan negeri dan kelab menghormati kontrak para pemain dan segala keputusan yang dicapai berhubung kedudukan gaji gara-gara Covid-19 sekarang, perlu dicapai atas persetujuan kedua-dua pihak.

Presiden PFAM, Mohd. Safee Mohd. Sali berkata, yang terpentingnya ialah majikan tidak boleh lepas tangan daripada menjelaskan segala tunggakan gaji para pemain sebelum pandemik maut itu melanda seluruh dunia sehingga kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Liga Malaysia tertangguh.

“Pendirian kami tetap sama. Kontrak perlulah dihormati tetapi kami tidak pernah melarang mana-mana pihak pemain yang mahu mengadakan perbincangan.

“Walaupun mewakili semua pemain, terma dalam kontrak mereka masih berlainan mengikut hak individu. Contoh pemain yang bergaji RM10,000 sebulan, kalau dia diminta pasukan supaya potong 10% tetapi pemain tidak setuju pun, tidak jalan juga (boleh dilaksanakan).

SAFEE Sali (kiri) bersama-sama Farizal Marlias dan Izham Ismail / Foto Facebook PFAM

“Perkara ini kena ada persetujuan kedua-dua pihak, jangan sebelah pihak sahaja (boleh berbuat begitu),” kata bekas penyerang negara yang kini mewakili PJ City FC ini dalam Liga M yang telah tertangguh sejak 16 Mac lalu gara-gara Covid-19 selepas tirainya disingkap 28 Februari lalu.

PFAM malam tadi mengadakan mesyuarat secara atas talian menerusi aplikasi Zoom dengan pucuk pimpinannya seperti Timbalan Presiden – Shahrom Kalam, Setiausaha – Razman Roslan, Bendahari – Farizal Marlias dan tiga Ahli Exco (Khairul Fahmi Che Mat, S. Subramaniam, Shahrul Saad dan Zaquan Adha Radzak).

Turut menyertai ialah Ketua Pegawai Eksekutif – Izham Ismail dan Eksekutif Undang-undang, Muhammad Azzairi Rosle.

Akui Safee, 36, PFAM masih tidak boleh menetapkan peratusan tertentu jika kedua-dua pihak majikan dan pemain bersetuju atau bagaimana kaedahnya namun pihaknya bersedia untuk mewakili pemain dalam perbincangan mereka.

“(Pemotongan gaji) terpulang kepada individu (pemain). Kami di PFAM tidak boleh tetapkan berapa potongannya atau macam mana caranya (tetapi) boleh bantu jika pemain (berkenaan) mahukan kami sebagai wakil mereka dalam perbincangan,” katanya.

Penjaring Terbanyak Piala AFF 2010 dengan Harimau Malaya dan pernah berkelana ke Liga Indonesia ini menambah, tanggungjawab melunaskan gaji pemain-pemain mahupun tunggakan mereka tidak sesekali boleh diabaikan pasukan atas alasan Covid-19 apatah lagi semua pasukan sudah kurang berbelanja bagi pembiayaan perlawanan.

“Sekarang pasukan-pasukan sudah begitu kurang berbelanja. (Sepanjang penangguhan Liga M dan PKP ini), mereka tidak perlu lagi bayar sewa stadium, petugas perlawanan dan keselamatan, kos hotel, makan minum dan tiket pengangkutan,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here