Covid-19: KKM kenal pasti empat sub-kluster baharu di madrasah – KP Kesihatan

0
633
OPERASI Disinfeksi (Nyahkuman) di Masjid Sri Petaling baru-baru ini.

PUTRAJAYA — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat sub-kluster baharu jangkitan COVID-19 di beberapa madrasah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sub-kluster berkenaan ialah sub-kluster madrasah di Jerantut (Pahang), sub-kluster madrasah di Penanti (Pulau Pinang), sub-kluster madrasah di Sungai Lui (Selangor) dan sub-kluster madrasah di Jasin (Melaka).

“Hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Sri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes-kes indeks perhimpunan di Sri Petaling,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut berkata kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan serta KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam  kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

Masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Beliau berkata tempoh dua minggu yang akan datang adalah amat penting dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

–BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here