UAE izin nikah secara ‘online’ bagi elak Covid-19

0
963

SENANG… Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan perkhidmatan pernikahan dalam talian yang membolehkan pasangan Muslim mudah berkahwin tanpa kehadiran secara fizikal.

Langkah inovatif ini dilaksanakan ekoran perintah sekatan ke atas pergerakan dan jarak interaksi sosial yang dikenakan oleh pihak kerajaan itu dalam usaha untuk bendung penularan Covid-19.

Pihak berkuasa UAE sebelum itu telah ambil banyak langkah ketat bagi kekang jangkitan wabak berkenaan yang setakat ini merekodkan 4,123 kes termasuk 22 kematian di seluruh negara.

Angka ini tinggi berbanding jirannya, Qatar dengan 2,979 kes termasuk tujuh maut serta Bahrain hanya catat 1,136 kes termasuk enam maut dan Oman pula cuma 599 kes termasuk tiga maut.

Namun, jumlah kes di UAE dianggap rendah daripada dua lagi jirannya, Arab Saudi yang sudah ada 4,462 pesakit termasuk 59 maut malahan Iran dengan 71,686 kes termasuk 4,474 kematian.

Menurut laporan agensi berita rasmi UAE, WAM, Kementerian Keadilan mula benarkan rakyat dan penduduk asing untuk menetapkan sendiri tarikh majlis pernikahan mereka dalam talian.

Urusan tersebut kemudian bakal dikendalikan menerusi pautan video bersama dengan seorang jurunikah berdaftar selepas segala dokumen mereka dihantar dan diluluskan, juga dalam talian.

Prosedur itu akan menyaksikan seorang jurunikah bertindak mengesahkan identiti pasangan dan dua saksi, sebelum sijil perkahwinan dihantar kepada pihak mahkamah khas untuk disahkan.

Pasangan tersebut akan dapat menerima pengesahan sijil perkahwinan mereka menerusi mesej teks dan perkhidmatan itu dilancarkan untuk menjamin baik tahap kesihatan orang awam sendiri.

Ia juga bagi melindungi pegawai yang bekerja di mahkamah dan mengehadkan kehadiran ramai pekerja dalam bangunan sama, lapor WAM dipetik oleh akhbar tempatan, Khaleej Times hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Dubai, satu daripada tujuh buah emiriah yang membentuk UAE; minggu lalu menggantung ‘hingga notis lanjut’ perkahwinan dan perceraian di wilayah tersebut.

Bagaimanapun, tiada pengumuman mengenai prosiding perceraian, sekali gus menggambarkan pasangan yang mahu talak mungkin perlu sabar tunggu sehingga wabak Covid-19 reda dikawal.

Dubai telah mengehadkan pergerakan penduduk dan kenderaan di luar rumah buat sementara waktu ini, kecuali mereka yang bekerja dalam sektor penting seperti makanan dan kesihatan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here