Nyawa dan keselamatan rakyat lebih utama – Saifuddin Abdullah

    0
    454

    Oleh MUZLINA ABU BAKAR

     

    WALAUPUN menerima banyak permohonan dan cadangan untuk membenarkan sesi penggambaran dilakukan agar karyawan seni boleh berkerja namun masih belum ada keputusan lagi.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataannya semalam berkata meskipun ada perkembangan positif dalam usaha memerangi Covid-19 tetapi ia belum pulih seratus peratus.

    “Nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia harus diberi keutamaan.
    Saya akan membincangkan perkara ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

    “Saya juga mengalu-alukan cadangan dan pandangan yang bernas daripada semua pihak untuk membantu industri seni tempatan,” kata Saifuddin.

    Saifuddin Abdullah menyatakan demikian berikutan sebuah akhbar pada 10 April melaporkan Penerbit Zeel Production, Haji Fadzil Teh memohon kerajaan membenarkan syarikat penerbitan menjalankan penggambaran dengan bersyarat dalam tempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

    Beliau mendakwa berikutan PKP yang berlanjutan ianya telah menjejaskan kehidupan kru dan artis tempatan.

    Pendapat beliau itu turut disokong oleh penerbit dan pengarah Tanan Beris Filem Production Sdn. Bhd., Shuhaimi Lua yang memohon Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) memberi kelonggaran kepada pihak produksi kembali bekerja dengan bersyarat.

    Kedua penerbit berkenaan memohon kebenaran melakukan penggambaran apabila pada 10 April, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP peringkat ketiga bermula dari 15 April sehingga 28 April.

    Bagaimanapun pada 11 April BebasNews melaporkan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan mereka dan memohon FINAS membatalkan lesen penerbitan syarikat berkenaan yang melanggar arahan PKP.

    Saifuddin memberitahu kementeriannya sentiasa meneliti pelaksanaan dasar dan program kerajaan untuk membantu sektor industri kreatif supaya terus berkembang dan membangun.

    Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil berat terhadap nasib mereka yang terkesan dari segi ekonomi berikutan pandemik Covid-19 dan pelbagai usaha dilakukan agar karyawan seni kreatif mampu menjana pendapatan disamping menjaga kebajikan mereka.

    “Sebagai langkah awal pada 26 Mac lalu saya telah bertemu dengan wakil persatuan karyawan seni dan kreatif tempatan melalui sidang video untuk mendengar dan memahami masalah mereka serta cadangan mengatasinya.

    “Saya juga telah membawa suara mereka ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah mereka,” kata Saifuddin.

    Menurut beliau, bagi merengankan beban mereka suntikan dana tambahan telah disalurkan kepada persatuan-persatuan yang dikenalpasti untuk membantu penggiat seni kelainan upaya, warga emas dan mereka yang sakit.

    Di samping itu katanya, KKMM akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKN) melalui FINAS dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

    Menurut beliau bagi mencapai matlamat tersebut dan menggalakan lebih banyak permohonan, FINAS dan MDEC telah melanjutkan tarikh tutup permohonan DKD kepada 25 Mei ini.

    Di samping itu, KKMM juga akan menetapkan semula tarikh tayangan filem yang terjejas kutipannya akibat Covid-19.

    “Saya akan mengarahkan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS mengadakan perbincangan dengan pihak pawagam dan mengumumkan mekanisma penentuan cadangan tayangan semula dengan segera,” katanya.

    Menurut beliau, untuk memacu semula pelaburan dalam sektor perfileman, Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) telah ditambah baik.

    Katanya, bagi tujuan itu kerajaan telah menurunkan kadar Kelayakan Perbelanjaan Produksi dalam Malaysia (Qualifying Malaysian Production Expenditure) bagi penerbit tempatan kepada RM1.5juta.

    Di samping itu katanya, RTM dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program ‘Nyanyi dari Rumah’ dan ‘Muzik dari Rumah’ bagi membantu para penyanyi dan buskers menjana pendapatan akibat program-program yang dibatalkan.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here