Jangan salahkan FAM, Kedah yang berhutang gaji – Stuart

0
568
ASMIRUL Anuar Aris (berkot) berselfie dengan para pemain Kedah.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

“KUMAN di seberang laut cuba dibesar-besarkan sedangkan gajah di depan mata tidak dihirau.”

Apa lagi peribahasa selain di atas yang layak ditujukan kepada orang yang cuba menyalahkan orang lain demi menutup kesalahan sendiri yang sudah begitu jelas?

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) didapati lewat membayar gaji para pemainnya tetapi mengaitkan alasannya dengan kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan tarikh untuk menyambung semula Liga Malaysia yang tertangguh sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan oleh Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris itu dalam laman Facebooknya hari ini sehingga memberikan persepsi buruk umum kepada FAM.

STUART RAMALINGAM

“Apa yang dinyatakannya tidak benar sama sekali. Dia seolah-olah mahu menyalahkan FAM dan MFL mengenai tunggakan gaji pemain kerana pihaknya belum dapat berbincang dengan para pemain Kedah selagi FAM dan MFL tidak putuskan bilakah liga akan kembali.

“Kenyataannya hanya bertujuan menutup kesalahan pihaknya berkaitan kelewatan pembayaran gaji pemain Kedah sambil mahu menyalahkan pula pihak-pihak lain termasuk FAM,” kata Stuart dalam siaran media FAM hari ini.

Beliau turut menggesa Asmirul merujuk semula empat surat pemakluman penangguhan Liga Malaysia 2020 yang bertarikh 17 Mac, 25 Mac, 5 dan 10 April lalu yang die-mel kepada semua setiausaha persatuan negeri (FA), ahli gabungan dan kelab yang bertanding.

“Jika dia tidak pasti, surat pertama mengenai arahan PKP antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan, surat kedua lanjutan PKP ke 14 April dan surat ketiga mengenai perancangan MFL mengenai alternatif kalendar pertandingan sekiranya PKP ditamatkan dan saranan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Surat ketiga juga menyebut gesaan pasukan dan pemain membincangkan status kontrak mereka manakala yang keempat, memaklumkan lanjutan PKP ke fasa ketiga sehingga 28 April ini,” katanya sambil mempersoalkan asas dakwaan Asmirul yang turut mungkin tidak meneliti atau memahami kandungannya.

KEDAH (jersi hijau) kali terakhir beraksi 16 Mac lalu menentang Selangor di Stadium Darul Aman, Alor Setar tanpa penonton sebelum Liga M ditangguhkan kerana Covid-19 dan PKP. – Foto MFL

Kata Stuart, sebagai Setiausaha Kehormat KFA Asmirul sepatutnya mempunyai saluran lebih tepat untuk meluahkan apa yang terbuku pada hatinya malah terdapat sebuah Kumpulan WhatsApp yang menghubungkan para setiausaha setiap ahli gabungan FAM untuk berbincang dan bertanyakan sesuatu perkara.

“Saya tidak pasti sama ada beliau terlalu sibuk atau menganggap WhatsApp berkenaan tidak penting. (Sebaliknya) FAM sentiasa berpegang bahawa kebajikan pemain merupakan perkara pertama dipertahankan. Setiap pasukan perlu terlebih dahulu menyelesaikan tunggakan gaji setakat Mac 2020 sebelum dibenarkan membuat sebarang pemotongan gaji ekoran Covid-19 dan PKP.

“Pasukan-pasukan memang menghadapi masalah kewangan masing-masing tetapi pada peringkat domestik ini, mereka harus bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah mengaitkan FAM di dalamnya. FAM dan MFL pasti bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan tempoh PKP berakhir dengan mengumumkan tarikh-tarikh baharu pertandingan liga,” katanya.

FAM jelas Stuart, tidak sesekali mahu dilihat sebagai badan induk kebangsaan yang terburu-buru memutuskan sesuatu kerana masih memerlukan perancangan teliti dan perbincangan menyeluruh bersama banyak pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya dipinda kemudian hari sehingga kewibawaan FAM pula yang cuba dipersoalkan Asmirul nanti.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here