Dari Bank Negara beralih arah ke bakeri

0
783

SIAPA sangka seorang pegawai bank yang pernah berkhidmat di Bank Negara selama 27 tahun, beralih arah menghasilkan kek perkahwinan.

Zulkiflee Mawan, 56, meninggalkan kerjayanya sebagai Pengurus di Jabatan Pengurusan Risiko selepas hilang motivasi untuk terus bekerja dan meneruskan perjuangan hidup dengan membuat kek.

Setelah lima tahun berkecimpung dalam bidang bakeri, kini beliau berjaya meraih jualan kek di antara RM40,000 dan RM60,000 sebulan.

“Sewaktu bekerja, saya telah mengambil cuti selama empat tahun untuk menemani isteri saya belajar di United Kingdom dan selepas kembali bekerja, saya tidak mempunyai semangat atau motivasi untuk terus bekerja.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk bersara awal dan menjalankan perniagaan bakeri walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman mahupun kepakaran dalam membuat kek,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Zulkiflee berkata beliau telah terbang ke Tokyo untuk mempelajari teknik penghasilan kek dan bunga gula daripada artis kek tersohor Naomi Yamamoto selain dekorasi bunga di Singapura dan Paris.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga pernah menganjurkan ‘The Cake Walk 2019’ iaitu pertunjukan 30 biji kek pelbagai jenis rekaan dan perhiasaan yang julung kali diadakan di Malaysia pada April tahun lepas.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan bahawa meskipun pada awalnya agak sukar untuk menjana pendapatan daripada penghasilan kek biasa, namun kesungguhan beliau mempelajari teknik kek perkahwinan telah membuahkan hasil sehingga berjaya membuka Kafe Banker2Baker di Wangsa Maju di sini.

“Saya menerima tempahan sebanyak enam hingga 15 kek seminggu dan telah menghasilkan 2,000 kek sehingga hari ini. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini tiada tempahan kek perkahwinan tetapi masih menerima tempahan kek biasa,” katanya.

Zulkiflee juga pernah menerima tempahan untuk majlis berprestij daripada ahli politik terkemuka tanah air termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ulang tahun kelahiran beliau yang ke-92.

Beliau mendapat perhatian netizen apabila anaknya Aiman Zulkiflee berkongsi kisah dan beberapa foto hiasan kek bapanya di laman Twitter. Ketika berita ini ditulis, kiriman itu telah menerima lebih 23,200 tanda suka serta diulang kicau lebih 12,200 pengguna.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here