Apa masalah dengan Pesuruhjaya Sukan?

0
1002

Oleh TL ANG

BAGI pertubuhan sukan di Malaysia, terbatas pergerakan cukuplah menyeksa. Segala kegiatan lumpuh dengan Sukan Olimpik Musim Panas tahun ini di Jepun pun terpaksa ditangguhkan ke 2021.

Macam-macam masalah lagi wujud. Bayaran elaun, penggajian atlet mula dibincang. Kerana Malaysia bukanlah sebuah negara yang menjadikan sukan sebagai industri utama, segala-gala kemudahan seperti itu sudah mula dikurangkan.

Terkesan hebat adalah sukan popular seperti bola sepak. Aksi di stadium direhatkan langsung apa lagi dengan sesi latihan yang turut sama menyediakan peruntukan kepada ahli sukan.

Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob  pula telah mengumumkan bahawa pertubuhan sukan tidak dibenarkan mengadakan mesyuarat sehingga Jun tahun ini; samalah dengan arahan bulan Mac menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Buat masa ini, semua kegiatan sukan tidak dapat dilaksanakan. Perancangan jabatan berkaitan sukan dilakukan mungkin secara senyap-senyap atau dalam kebingungan. Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) lagilah pening.

Pesuruhjaya Sukan Dr. Wirdati Mohd. Radzi perlu mengeluarkan ketetapan terhadap sebarang perancangan jika mesyuarat agung tidak dapat diadakan tahun ini.

Presiden MOM, Norza Zakaria ada mencadangkan persidangan seperti itu boleh berlangsung pada separuh kedua 2020 tetapi ini hanyalah cakap kosong. Jika masalah Covid-19 berterusan, pelan tindakan susulan mesti digerakkan Wirdati.

Bolehkah Pejabat Pesuruhjaya Sukan membenarkan semua persatuan di bawah naungannya meneruskan pentadbiran tanpa menukar anggota jawatankuasa sehingga tahun depan. Contohnya jika musim kepemimpinan 2018 hingga 2020; ia diteruskan ke 2021 asalnya laporan tahunan dan kewangan lengkap untuk diluluskan kemudian.

Macam-macam boleh dilaksanakan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan tetapi janganlah masih menyepi selepas satu bulan pergerakan terhad seperti sekarang. Semua persatuan atau kelab sukan menunggu pandangan kerana majoriti daripadanya terpaksa mengharungi mesyuarat agung tahunan dalam separuh pertama setiap tahun.

Wirdati orang baharu sebagai Pesuruhjaya Sukan (sejak Oktober 2019) dan perlu membuktikan keberkesanannya. Apakah orang-orang kanan di pejabat berkenaan tidak ada upaya menasihatinya?

Difahamkan beberapa lagi masalah belum selesai di pejabat berkenaan antaranya hal Persekutuan Karate Malaysia dan Professional Golf of Malaysia (PGM).

Wirdati perlu bertindak bijak, cepat dan paling penting berani tanpa berselindung dengan mana-mana pihak.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here