PKP: Ramai ambil kesempatan asah bakat memasak

0
741
AHLI Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tsngku, Datuk Mustapa Long, menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) di rumah sebagai tempat untuk mengasah bakat lama memasak kueh tradisional, kueh Melaka kukus untuk mengisi masa lapang FOTO: STR/ ROSELAN AB MALEK

GARA-GARA tidak cukup bahan, kuih kaswi buatan Nurulnabila Zaidi, 30, hanya menggunakan tepung gandum tanpa dicampur dengan tepung ubi, yang mengakibatkan kuih tradisional itu menjadi ‘keras’ dan akhirnya dibuang begitu sahaja.

Beliau juga pernah cuba membuat karipap, namun terlebih marjerin pula dan akhirnya kuihnya itu sukar diuli dan menjadi mudah rapuh.

Pun begitu, berkat gigih untuk terus mencuba bersungguh-sungguh berulang kali, kerani akaun di sebuah syarikat swasta itu akhirnya berjaya mencabar diri dengan belajar memasak pelbagai jenis kuih-muih.

Lebih menarik, ilmu masakan itu digali sewaktu Nurulnabila, 30, mengisi waktu senggangnya kerana terpaksa berkurung di dalam rumah lantaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Sehingga hari ini, Nurulnabila seakan-akan tidak mempercayai dirinya apabila berjaya menghasilkan beberapa jenis kuih-muih dan pemanis mulut seperti ketayap, donat, onde-onde, pau, puding karamel dan sebagainya.

”Sejak PKP dilaksanakan, saya lebih banyak bekerja dari rumah. Selain menguruskan anak dan suami, masa saya banyak dihabiskan di dapur berbanding sebelum ini…jadi, saya ambil kesempatan itu untuk mencabar diri membuat sesuatu yang saya tidak pernah lakukan,” katanya kepada Bernama.

Malah katanya, usahanya itu berbaloi apabila hasil masakannya digemari suami dan anaknya.

“Semua hidangan yang saya buat, tidak pernah menjadi dengan hanya sekali cuba. Ada yang berkali-kali, tapi saya tetap buat sampai menjadi…biasanya saya akan rujuk resipi dan teknik pembuatan melalui rakan atau You Tube. Mungkin lepas ini saya nak belajar buat kek pula,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Syaidatul Shima Saayah, 24, pula menyifatkan aktiviti memasak sebagai satu terapi buat dirinya bagi menghilangkan rasa bosan duduk di rumah dan secara tidak langsung menunaikan tanggungjawab memenuhi selera ibu bapanya.

“Daripada saya tidak buat apa-apa, lebih baik saya asah kemahiran saya dalam memasak. Sekurang-kurangnya, masa saya terisi dengan perkara yang saya suka. Saya banyak cuba pelbagai resipi baharu sepanjang PKP ini,” kata penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

Sementara itu, pemilik Ct Ayuz Sweet Bakery, Siti Mahayu Razali, 45, mengakui kelas memasak secara dalam talian yang ditawarkannya menerima penyertaan luar biasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Beliau yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam pembuatan bakeri, biskut, kek, kuih-muih dan pencuci mulut, berkata peningkatan permintaan itu dilihat semakin meningkat lantaran hampir semua masyarakat menghabiskan masa terluang dengan duduk di rumah sambil melayari Internet.

“Pada hari biasa, saya boleh menerima 10 hingga 15 penyertaan setiap hari, namun pada waktu PKP ini penyertaan itu meningkat sehingga dua kali ganda. Ini kerana, ada aktiviti di luar rumah yang tidak dapat dilakukan, selain ada yang lebih gemar memasak sendiri berbanding membeli pada waktu PKP ini.

“Biasanya, saya akan wujudkan satu grup tertutup di Facebook dan meletakkan video serta langkah demi langkah pembuatan sesuatu hidangan. Jika ada yang tidak faham atau ingin bertanya, mereka sendiri akan menghubungi saya,” katanya.

Turut mempunyai pandangan sama ialah pemilik SF Kek Enterprise, Shafawati Mohd Nor, 34, yang berpengalaman dalam pembuatan kek dan pencuci mulut sejak 2008.

Beliau yang menggunakan laman sosial Facebook dan WhatsApp berkata, penyertaan juga dilihat semakin memberangsangkan jika pihaknya menawarkan promosi dalam setiap kelas masakan secara dalam talian.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here