Sudip Pusing Dunia program baharu sempena Ramadan

0
2936
HOS Sudip Pusing Dunia, Jaa Suzuran dalam episod satu esok bersama tetamu Dr. Elliessmaziah berbincang sebelum rakaman dimulakan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SUDIP Pusing Dunia, sebuah program masakan dengan menu-menu menarik untuk juadah berbuka puasa akan mula bersiaran di RTM TV2 pukul 5 petang esok.

Program setengah jam ini, selain menghidangkan masakan dan resipi istimewa ia juga bagaikan sebuah program travelog yang turut merakamkan keindahan tempat-tempat menarik di United Kingdom (UK) dan Sepanyol ketika rakaman dilakukan.

Antara tempat-tempat menarik di UK yang menjadi lokasi program ini ialah Manchester, North Wales, Birmingham, Oxford, Cambridge dan London.

Sementara di Sepanyol pula rakaman telah dilakukan di Seville, Granada, Cardoba, Malaga dan Madrid.

Program terbitan R2A Network Sdn. Bhd., sebanyak 30 episod yang menjalani penggambaran selama dua bulan mulai September tahun lalu menghidangkan 45 resipi dari Sepanyol dan 45 resipi lagi dari UK.

Sudip Pusing Dunia yang menggantikan Ketuk-Ketuk Ramadan yang telah bersiaran selama 15 tahun, selain menghidangkan 90 resipi berbuka puasa ia juga akan menghidangkan resipi istimewa sempena Hari Raya dalam satu slot khas selama sejam.

PENGGAMBARAN memasak bersama tetamu untuk episod Granada, Munira Mendonca, berlatar belakangkan Alhambra, monumen peninggalan Islam paling popular di Sepanyol.

Pengurus Besarnya, Sham Abdullah ketika dihubungi memberitahu Sepanyol menjadi pilihan kerana ia adalah sebuah negara penting di Eropah yang merakamkan banyak sejarah Islam dan tempat-tempat peninggalan pemerintahan Islam.

Bukan itu sahaja, malah terdapat ramai orang Malaysia menetap di sana dan masakan Mediterranean yang banyak menggunakan herba dan rempah untuk masakan ikan, daging dan ayam amat sesuai dengan selera orang Melayu.

Menurut Sham walaupun Sudip Pusing Dunia sebuah program baru beliau yakin ia dapat menarik minat penonton kerana konsepnya berlainan dan unik.

Konsep program ini hos bukan sebagai ‘penyeri’ sahaja, sebaliknya setiap episod hos akan memasak dua resipi istimewa dari lokasi berkenaan dan tetamu menyediakan satu resipi.

“Saya yakin kehadiran Jaa Suzuran, seorang penyampai radio, pelakon dan youtubers sebagai hos dengan gaya penyampaian yang bersahaja dan menghiburkan pasti akan memukau para peminat program masakan ini,” kata Sham dan berharap akan ada musim seterusnya untuk program berkenaan.

Menurut Sham, walaupun kos penerbitan ini amat tinggi tetapi R2A mementingkan kualiti dan kelainan di samping berterima kasih kepada Europcar dan Turkish Airlines yang turut menaja program berkenaan.

Selain menghidangkan resipi yang lazat dengan pemandangan yang menarik, program dengan idea asal oleh pengarahnya Rahila Ali dan skrip oleh Amy Aimi dan Wira Hijau, juga mengundang tetamu yang dikenali masyarakat di sana.

Salah seorang tetamu istimewa ialah Dr. Elliessmaziah yang berasal dari Malaysia dan kini menetap di UK. Saintis ini mencatat sejarah tersendiri apabila tudung rekaannya menjadi kegunaan polis wanita Muslim di sana.

Dr. Elliessmaziah akan muncul dalam episod pertama program ini petang esok dan akan memasak tiga resipi berasaskan makanan sihat.

Selain beliau turut menjadi tetamu Sudip Pusing Dunia di UK ialah Dr. Rasidah Abdul Aziz dan Mohamad Fuad, Penaung Komuniti Malaysia Coventry, Dr. Lutfi dan Ruby Radwan, bekas Profesor di Universiti Oxford yang kini mengusahakan ladang organik dan daging ayam halal di Oxford.

PENGURUS Besar R2A, Sham Abdullah.

Sementara antara tetamu di Sepanyol pula ialah Munira Mendonca, artisan barangan kulit yang berasal dari Amerika Syarikat tetapi telah 41 tahun berhijran ke Sepanyol dan telah 40 tahun memeluk Islam. Ridwan Isa Vento Crespo, Ketua Pegawai Eksekutif L’ Andalusi, pengeluar roti halal di Seville dan Hashim Cabrera, pelukis terkenal Sepanyol beragama Islam.

Bagi episod khas Sudip Pusing Dunia Hari Raya pula tetamunyan adalah keluarga Azhar Kamarudin, pemilik restoran Makan Cafe yang menghidangkan makanan Malaysia terkenal di Portobello Road, London.

Di Sepanyol pula warga dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Madrid dan warga Sepanyol yang juga para petugas Halal Institute of Cordoba dan Junta Islamica.

Selain Sudip Pusing Dunia, R2A sebelum ini telah menerbitkan program travelog Hola Spain Bersama Keith Foo (musim pertama dan kedua) dan Helo Switzerland yang dihoskan oleh pelakon Ben Amir.

JAA Suzuran sedang memasak bersama tetamu, Amelia Datuk Mustafa yang sudah berbelas tahun menetap di Birmingham.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here