Covid-19: DFP tangguh konsert S. Atan raya tahun hadapan?

0
415

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

KONSERT Senandung Lebaran – A Tribute to S. Atan yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) ditangguhkan kerana Covid-19 yang menyerang negara sejak Mac.

Walaupun DFP belum mengumumkan tarikh baharu konsert berkenaan namun mengetahui latar belakang konsert tersebut yang akan diserikan dengan lagu-lagu raya ciptaan S.Atan, tidak mustahil ianya akan diadakan pada Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

Konsert tersebut dikatakan adalah pertama kali akan diadakan sempena hari raya sejak DFP beroperasi pada tahun 1998.

Selain konsert berkenaan enam lagi konsert yang sepatutnya berlangsung di DFP sepanjang Mei dan Jun akan ditangguh pada satu tarikh yang belum ditentukan.

Konsert tersebut ialah Crowning Organ Masterpieces (9 Mei), Organ Recital (10 Mei), Virtuosic Expression ( 5 dan 6 Jun), Chamber Concert ( 9 Jun), Ballet Festival: The Nutcracker (19-21 Jun) dan Ballet Festival: Cinderella (26 – 28 Jun).

Bagaimanapun The World of Penderecki yang sepatutnya berlangsung pada 3 Mei ini dibatalkan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan DFP, pihaknya menangguhkan tujuh konsert berkenaan kerana keutamaan mereka adalah kesihatan tetamu (penonton), pemuzik dan kakitangan yang terlibat dalam konsert berkenaan.

Bagaimanapun DFP belum menetapkan tarikh penjadualan semula bagi kesemua konsert berkenaan.

Berikutan penangguhan tujuh konsert dan satu dibatalkan, DFP memberi pilihan kepada mereka yang telah membeli tiket untuk menonton konsert berkenaan.

Pertama pemegang tiket boleh menonton konsert lain yang akan diadakan pada tahun ini, kedua mereka simpan tiket konsert asal yang akan diberitahu tarikh baharu atau mendermakan tiket tersebut yang mana pihak DFP akan mengeluarkan resit sumbangan mereka.

Komposer, penulis lagu dan konduktor, S. Atan, 71, yang telah enam dekad dalam industri dan mencipta 1,000 lagu ketika ditanya mengenai penangguhan konsert berkenaan berkata;

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Meskipun saya rasa terkilan sikit tetapi apabila memikirkan keselamatan dan kesihatan semua yang terlibat adalah keutamaan, saya terima semua ini.

“Harapan saya cuma satu. Semoga Allah memberi peluang saya menonton konsert yang pertama kali diadakan sebagai menghargai bakat ini.”

S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said yang akan menjadi tetamu istimewa pada konsert itu mendapat tahu mengenai penangguhan konsert berkenaan minggu lalu apabila dihubungi seorang kakitangan DFP.

“Beliau tidak beritahu pada saya tarikh baharu konsert berkenaan. Tetapi saya sedar lagu-lagu yang akan dinyanyikan oleh artis berbakat dan popular pilihan DFP adalah bertemakan hari raya,” kata S. Atan.

Pada konsert itu nanti, Orkestra Filharmonik Malaysia akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Antara lagu bertemakan hari raya ciptaan S. Atan ialah Cahaya Aidil Fitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya di Desa (Azlina Aziz), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here