Sayu lihat suasana tenang solat tarawih Ramadan pertama di Masjidil Haram

0
1359

Oleh AMREE AHMAD

MESKIPUN Makkah al-Mukarramah masih lagi dalam situasi perintah berkurung, namun solat tarawih masih diizinkan di Masjidil Haram dengan bilangan jemaah yang agak terhad.

Itupun cuma kawasan tertentu dibuka untuk solat sunat ini waima zon mataf atau ruang tawaf sekitar Kaabah masih lengang kerana ditutup rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Begitulah dapat disaksikan jutaan umat Islam di Malaysia menerusi siaran langsung solat tarawih dari Makkah di TV9 dan TV AlHijrah lewat jam 1 pagi waktu Malaysia (8 malam waktu Arab Saudi).

Ternyata malam pertama bulan Ramadan 1441 Hijrah amat jauh berbeza dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang sibuk jutaan jemaah dari seluruh dunia berebut penuhi saf solat.

Kali ini tiada panorama dataran di luar Baitullah sesak jemaah, malahan stesen TV Arab Saudi hanya paparkan visual pintu Kaabah serta bahagian dinding masjid terbesar di dunia itu.

Juga suasana kota Makkah dari udara dengan banyak bangunan tinggi bergelap dan beberapa hotel utama dilihat pasang lampu bilik bagi bentuk huruf tulisan perkataan ‘Ramadan’.

Selain itu, jemaah masjid tersebut tampak akur berdiri jarak sosial agak jauh selang antara dua garisan saf susulan langkah ketat pencegahan daripada dijangkiti wabak maut Covid-19.

Paling syahdu, saat imam pimpin doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat witir apabila dia sebak mohon Allah SWT agar lindungi umat Islam daripada belenggu ancaman virus itu.

Uniknya, inilah julung kali solat itu hanya ambil masa sejam meliputi 10 rakaat tarawih sahaja dan tiga rakaat witir berbanding kebiasaannya cecah lebih dua jam pada tahun sebelumnya.

Jumlah rakaat solat terpaksa dikurang demi kesihatan jemaah sendiri, namun apa yang pasti, bertuahlah sesiapa dipilih Allah untuk tunai ibadah itu di Tanah Suci pada bulan ini.

Semoga Allah berkati umat Islam untuk tabah harungi Ramadan pada kali ini dengan banyak buat amal ibadah di sebalik serangan ganas penularan Covid-19 ketika ini. Amin!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here