Coretan Dr MAMA: Norma Baru Ramadhan dan Raya 2020

fotoBERNAMA

Oleh Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KITA tidak pernah terfikir tahun 2020 yang sedang kita lalui ini adalah satu peristiwa luar biasa. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1) di Malaysia bermula akibat pandemik Covid-19 pada 18 Mac 2020 dan kini melalui fasa PKP4, kehidupan seharian kita semuan telah berubah. Dari kehidupan normal yang boleh keluar rumah tanpa sekatan, kita tidak lagi bebas ke sana sini, tidak boleh bekerja, berniaga, bersekolah dan lain-lain. Dalam kegiatan ibadat pula, kita tidak boleh sembahyang berjemaah di masjid dan surau serta mengikuti kuliah agama tanpa sekatan. Kini normal baru mengambil alih semua kegiatan kehidupan kita.

Norma baru kehidupan Ramadhan tahun ini mungkin merupakan satu pengalaman istimewa. Tidak ada iftar, solat taraweh dan moreh di masjid dan surau. Bahkan sepatutnya bulan inilah menyaksikan limpahan manusia bersolat jemaah hatta di waktu subuh. Tidak kedengaran bacaan tasbih dan selawat ke atas Rasul junjungan Muhammad SAW ketika taraweh, satu-satunya solat yang dikhususkan dalam bulan Ramadhan. Tidak kedengaran tadarrus Quran selepas tarawih di masjid dan suaru yang lazimnya tamat sebelum jam 12 tengah malam. Tidak pernah sepanjang hidup penulis, masjid dan surau sunyi sepi dalam bulan Ramadhan seperti yang dilalui tahun ini.

Maka semua tawaran ibadah istimewa Ramadhan masih dapat ditunaikan di rumah. Yang tidak pernah mengepelai taraweh, tahun ini tidak dapat melarikan diri. Cuma bacaannya tidak seperti imam di Masjidil Haram, Masjidil Nabawi atau masjid negeri. Tidak terbaca surah panjang-panjang tetapi sekadar al-kawthar dan al-ikhlas dengan hanya 8+ 3 rakaat yang selesai dalam 20-30 minit mengikut kederasan imam. Satu norma baru bagi kaum bapa, ibu, abang, kakak dan adik. Sejurus selesai taraweh, ada moreh mungkin lebihan iftar ataupun juadah khusus untuk moreh dengan teh tarik sendiri atau teh o atau milo. Ternyata, masih ada moreh bagi mereka yang mahu.

Ramadhan tahun ini menyaksikan tiada pasar Ramadhan di sana sini. Lazimnya selepas waktu asar, jalan-jalan menuju pasar Ramadhan penuh sesak dengan kebanjiran manusia. Tetapi Ramadhan tahun ini menyaksikan tapak pasar Ramadhan yang setiap tahun dikeremuni oleh manusia tinggal kosong, tiada asap ayam percik, ayam golek, kambing bakar, ikan bakar dan ketukan kuali char kuew tiew. Keinginan untuk menjamah lauk pauk dan kuih muih idaman hanya dapat ditempah melalui talian. Itupun menunya terhad.

Peniaga pasar Ramadhan terpaksa mengikut rentak PKP kalau mahu “hidup”. Tetapi syukur, roti John, kuih pelita, murtabak, kebab, popiah basah & goreng  dan kuih muih semuanya dihantar terus ke rumah melalui pesanan talian.Meskipun begitu, rata-rata perniaga masih belajar norma baru “pasar Ramadhan alam maya” ini. Ada yang taktih, ada yang merangkak, ada yang berjalan dan ada yang sudah berlari. Yang pasti rezeki mesti dicari tidak datang menggolek di depan mata. Apa-apa pun hasil pendapatan masih tidak seperti di pasar Ramadhan di tahun-tahun lepas, kalau tidak separuh, kurang atau lebih dari itu.

Bila tiba Ramadhan, maka hati-hati manusia terus lembut untuk bersedekah. Tetapi sejak Covid-19 melanda negara dan kuatkuasanya PKP berjuta ringgit tanpa disedari dapat dikumpul. Sumbangan keperluan terutama makanan dan wang ringgit dari kerajaan serta NGO mencurah-curah seolah-olah sudah masuk Ramadhan. Harapan besar ia berlipat dua tiga kali ganda di bulan mulia ini. Sumbangan iftar kepada anak-anak yatim dan fakir miskin masih terus dihantar kepada mereka, tidak lagi jemputan iftar seperti biasa.

Sumbangan kewangan mungkin akan terus masuk ke akaun bank atau secara manual bergantung kepada keadaan. Namun, bagi sesetengah umat Islam, di samping bulan Disember, bulan Ramadhan adalah bulan melangsaikan zakat harta, pendapatan, saham dan yang paling khususnya ialah zakat fitrah. Norma baru membawa cara baru membayar zakat fitrah. Itu pun bagi sesetengah negeri ada tiga kategori: RM7, RM14 dan RM21, semua bergantung kepada jenis beras yang dimakan. Makin berkualiti dan mahal beras yang dimakan, pilihan yang paling tinggi paling afdhal. Tetapi masih sah lagi zakat fitrahnya kalau dipilih yang paling rendah walaupun berasnya basmathi, beras Jepun dan yang setanding dengannya.

Maka mulai tahun ini, mekanisme bayaran zakat fitrah secara talian tidak lagi melalui akad berjabat tangan serta berdoa oleh amil. Semuanya niat dan akad dalam talian. Maka timbul persoalan di sana sini, sahkan bayaran zakatnya tanpa amil, berjabat tangan dan berdoa. Maka PPZ, LZS dan pentadbiran zakat negeri perlu kreatif mencipta aplikasi bayar zakat seolah-olah amil berada di hadapannya, berkomunikasi dengannya dan diakhiri dengan berdoa, semuanya secara audio dan visual. Apa-apa pun tanpa itu semua, zakat fitrahnya masih sah di sisi syarak.

Selasai berpuasa 29 atau 30 hari, umat Islam akan berhari raya. Dijangka kita akan menyambut Aidil Fitri pada hari Ahad 24 Mei 2020. Maka raya tahun ini juga akan menyaksikan norma baru. Tidak ada lagi lebuh raya dan jalan raya sesak. Tidak ada lagi kepayahan melalui 18-24 jam bertarung masa atas jalan raya demi balik kampung berhari raya. Walaupun perit, itulah norma sebelumnya, seperti perpatah “alah bisa tegal biasa”. Tetapi tahun ini, raya paling sedih. Atok, nenek dan ibubapa beraya tanpa anak-anak dan cucu-cucu. Tiada kedengaran mercun dan bunga api. Tiada bakar lemang, rebus ketupat dan kacau dodol di halaman rumah. Semuanya sunyi sepi seolah bukan hari lebaran. Jangan disebut duit raya, mungkin tidak dapat tahun ini. Tetapi norma baru memungkinkan duit raya tetap ada melalui “duit it” secara talian. Tetapi ia tidak “ummph” sebab tidak ada sampul duit raya warna hijau!

Satu lagi norma biasa ialah solat raya di masjid dan surau. Norma baru ialah solat raya di rumah masing-masing diimamkan oleh bapa atau abang. Maka akan terketar-kertar si bapa dan abang untuk mengetuai bertakbir raya dan solat raya yang mempunyai 7 takbir di rakaat pertama dan 5 takbir di rakaat kedua. Surah panjang apa yang hendak dibaca kerana kezalimannya surah-surah pendek juzuk amma. Perlu takbir raya ka? Lagi parah dibuatnya sebab seumur hidup tidak pernah membaca khutbah baik untuk Jumaat mahupun untuk hari raya. Hukum solat raya sunat, maka elok didirikan. Adapun khutbah raya, elok pihak berkuasa agama menyiapkan teks untuk dikongsi bersama dalam internet untuk dibaca oleh si bapa atau si abang di pagi raya di rumah masing-masing. Nak buat pun tak apa, tak nak buat pun tak apa.

Maka selepas solat raya, kelazimannya berkumpul di rumah untuk sesi bermaaf maafan. Orang Jawa kata “njalok ngapora”. Sesi ini masih boleh diteruskan di rumah masing-masing. Cuma tanpa atok, nenek dan ibubapa di kampung. Tetapi norma baru memungkinkan “njalok ngapora” ini diteruskan bersama-sama atok, nenek dan ibubapa secara maya, baik melalui zoom, google meet, webex, skype, whatsapp video call dan bermacam-macam lagi. Cuma, “njalok ngapora” raya kali ini tidak “touching” sebab tak ada “feeling” sebab jauh dari kampung halaman. Maka tidak boleh duduk bersimpuh lama-lama untuk “njalok ngapuro seng akeh-akeh yo”(minta maaf banyak-banyak ya). Hanya mungkin sekadar “kosong-kosong ya”.

Lagi satu norma raya ialah “baraan” atau kunjung mengunjung dari rumah ke rumah. Maka norma baru raya tahun ini tiada baraan. Kunjung mengunjung adalah amalan baik semasa raya kerana ia memupuk muhibbah dan merapatkan silaturrahim sesama saudara dan sahabat handai di samping mengambil peluang untuk “njalok ngapora”. Norma baru “baraan” raya tahun ini mungkin boleh diteruskan melalui talian zoom, googlemeet, skype dan lain-lain. Cuma “baraan” kali ini tak dapat makan ketupat, rendang, kuih raya atau laksa. Tentu kita kempunan!

Raya tahun ini tentu jimat belanja sebab tiada rumah terbuka. Kalau sebelum ini tiap-tiap hari rumah terbuka sampai satu bulan Syawal dan kadang-kadang sehingga masuk bulan Zul Qa’idah. Jemputan tak terbilang dalam satu hari. Seolah-olah membalas dendam dek puasa sebulan. Maka juadah hari raya dengan tambahan kambing bakar satu kemestian. Seolah-olah kita lupa madrasah Ramadhan mengajarkan kita mengosongkan perut dan berbuka ala kadar. Maka duit peruntukan untuk jamuan rumah terbuka tahun ini boleh disedeqahkan kepada fakir miskin dan anak yatim terutama bagi mereka yang hilang pekerjaan dan pendapatan angkara Covid-19 yang tidak bersempadan.

Mengakhiri coretan Dr MAMA, banyak pengajaran yang kita dapat insaf dari ujian Allah ini. Bagi yang ditimpa musibah dijangkiti Covid-19, kuatkan semangat dan berdoa banyak-banyak kepada Allah mohon cepat kembali sihat. Bagi yang kena kurantin, banyak bersabar. Rebutlah peluang keemasan untuk banyak membaca Quran, solat sunat taraweh, qiammullail dan bersedeqah di bulan yang mulia ini. Bagi yang diberi dugaan hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, harungilah liku-liku hidup dengan penuh tabah. Kita berdoa pandemik Covid-19 yang menyaksikan penurunan kes dinyahkan dari bumi Malaysia dan dunia dalam masa terdekat.

Akhir kalam, “anak dagang pulang dari perantauan, syahdu terasa berbaur gembira di hati, salah silap mohon diampun, moga ukhuwwah kekal abadi”.

Selamat berpuasa dan selamat hari raya. Norma baru Ramadhan dan Raya 2020.

“#Stay safe, [email protected] and take care#”.

-BebasNews 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here