Oleh Mej Dr Nor Ibrahim Sulaiman, TUDM (B) PTU

SEMENTELAH banyak masa terluang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya cuba mencungkil laporan membabitkan satu perhimpunan yang dihadiri bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang pada 1 Disember 2019. Apa yang menarik perhatian saya ialah penggunaan istilah ‘bekas’ anggota PKM. Mengapa penggunaan istilah ‘bekas’?

Apakah definisi ‘bekas’? DBP mendefinisikan ‘bekas’ sebagai ‘pernah menjadi’. Berlandaskan kepada definisi ini, mereka pernah menjadi ahli PKM. Itu sudah pasti. Pada fahaman saya,  penggunaan istilah bekas ahli bererti mereka telah keluar dari parti atas sebab-sebab yang hanya mereka sahaja yang ketahui atau mereka telah menyerah diri serta mengumumkan tidak lagi percaya kepada ideologi komunisme atau parti tersebut telah dibubarkan. Bersandarkan kepada kefahaman tersebut, persoalan yang bermain dalam fikiran saya ialah: Jika PKM telah dibubarkan,  bila ia dibubarkan?

Antara ‘bekas’ ahli PKM yang hadir di majlis memperingati ulang tahun ke-30 penandatangani persetujuan damai Hatyai

Saya bukannya seorang peguam dan mengaku jahil mengenai definisi daripada perspektif undang-undang. Daripada bacaan saya, British telah mengharamkan PKM apabila darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Ya, istilah digunakan ketika itu ialah “diharamkan” kerana parti tersebut adalah sebuah parti yang sah dan iktiraf oleh British. Semenjak pengharaman tersebut, PKM kekal diharamkan. Itu semasa era pra Merdeka. Apabila Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 disusuli dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, PKM merupakan sebuah parti haram, bukan diharamkan! Pandangan ini bersandarkan bahawa PKM tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan PTM/Malaysia!

Isu pengisytiharan PKM sebagai parti haram bukannya perkara baharu. Isu ini merupakan agenda utama semasa Pertemuan Baling antara Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan David Marshall, Ketua Menteri Singapura, dengan  Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM di Baling, Kedah pada 28-29 Disember 1955. Malahan, sebelum pertemuan tersebut, Tunku dengan tegasnya mengumumkan bahawa beliau sama sekali tidak akan mengiktiraf PKM. Semasa pertemuan tersebut, beliau menegaskan supaya PKM dibubarkan. Saranan ini ditentang oleh Chin Peng dengan alasan bahawa mereka masih percaya kepada ideologi komunis. Seperti juga Tunku dengan ketegasannya, mereka sama sekali tidak akan membenarkan orang lain memaksa mereka mengetepikan ideologi komunis, sebaliknya mahu menguar-uarkan ideologi ini kepada rakyat untuk membuat keputusan. Ketegasan Tunku dan kedegilan Chin Peng membabitkan isu ini dan keengganan mereka menyerah diri merupa punca kegagalan pertemuan tersebut.

Pejabat PKM di Kuala Lumpur sebelum pengisytiharan darurat pada Jun 1948.

Isu pengiktirafan dan menyerah diri tidak berakhir di Pertemuan Baling. Ia dibangkit semula 34 tahun kemudian semasa rundingan antara wakil kerajaan Malaysia, Thailand dan PKM di Phuket, Thailand pada 1989. Ketiga-tiga parti terbabit telah bermesyuarat sebanyak lima kali sebelum termeterainya Pengisytiharan Damai yang ditandatangani di Hat Yai pada 2 Disember 1989. Kelima-lima mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Mej Jen Kitti Ratanachaya (Panglima 4 Thai Army). Malaysia diwakili oleh CP Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Noor (Pengarah Cawangan Khas, PDRM) sementara PKM diwakili oleh Chang Ling Yang yang sempat hadir semasa mesyuarat pertama dan kedua sebelum meninggal dunia. Dia diganti oleh Wu Yit Shih. Mesyuarat-mesyuarat tersebut telah diadakan pada: (1) 2-4 Februari 1989; (2) 15-17 Mac 1989; (3) 11 Mei 1989; (4) 2-3 Oktober 1989; (5) 12-14 November 1989.

Semasa mesyuarat pertama, Chang L.Y. telah membangkitkan isu pengiktirafan PKM. Isu ini merupakan perkara pertama dalam 11 senarai yang mereka kemukakan kepada delegasi Malaysia pada 1 Februari 1989, iaitu sehari sebelum mesyuarat. Petikan siri 2: “Kerajaan Malaysia mengiktiraf dari segi undang-undang status Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM). PKM dan PKMRM diberi  kebebasan berpolitik seperti lain-lain parti politik.”  (2. The Malaysian Government recognises the legal status of the Communist Party of Malaya and the Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM). Both the CPM and PKMRM enjoy the same political rights as other lawful political parties in our country (Malaysia)). Dia menegaskan supaya parti tersebut sewajarnya diiktiraf oleh Malaysia bersandarkan bahawa mereka turut berjuang menentang British untuk mendapatkan kemerdekaan. Ekoran itu, pengiktirafan PKM sebagai sebuah parti yang sah dari segi undang-undang menjadi impian para ahli parti tersebut. Dia juga menegaskan bahawa kegagalan Pertemuan Baling disebabkan Tunku Abdul Rahman mahukan pengganas komunis menyerah diri. Sama sepertimana Chin Peng, bak kata peribahasa ‘bapa borek anak rintik’, Chang L.Y. dengan angkuhnya menegaskan bahawa istilah “…menyerah diri tidak wujud dalam kamus PKM.”

Desakan mereka ditangkis oleh Dato’ Rahim Noor. Beliau menegaskan bahawa majoriti rakyat negara yang terdiri daripada penganut agama Islam menentang keras terhadap komunis kerana ideologi komunis tidak percaya kepada sebarang agama. Di samping itu, luka yang dialami akibat kezaliman komunis terhadap rakyat masih belum sembuh. Sebaliknya, beliau menyarankan supaya PKM dibubarkan.

Bersandarkan kepada dakwaan bahawa mereka juga sebagai pejuang kemerdekaan, mereka begitu benci dengan Tugu Nasional di Kuala Lumpur yang menonjolkan pengganas komunis dipijak-pijak. Kebencian ini disuarakan oleh Rashid Maidin yang menegaskan bahawa tugu tersebut merupakan satu penghinaan kepada mereka. Ekoran itu, dia tidak berhasrat untuk pergi ke Kuala Lumpur apabila pulang ke Malaysia nanti. Kebencian pengganas komunis ini  dibuktikan pada 27 Ogos 1975 apabila mereka telah mengebom tugu tersebut. Justeru, mereka mendesak supaya kerajaan memusnahkannya dan membina Tugu Kemerdekaan yang memapar penglibatan semua kaum termasuk PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Selain itu, mereka mahukan kerajaan menghentikan tayangan filem “Bukit Kepong”!

Kerosakan pada Tugu Nasional akibat dibom oleh petualang negara pada 27 Ogos 1975. Sumber: Didier Millet. (2007). Chronicle of Malaysia: 1957-2007. Kuala Lumpur: Didier Millet

Bagi mematahkan hujah wakil PKM mengenai Tugu Nasional, Dato’ Rahim Noor  memberitahu mereka jika kerajaan akur terhadap desakan mereka, ia membawa konotasi bahawa kerajaan mengiktiraf PKM. Ini sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat! Di samping itu, beliau menjelas pembinaan Tugu Nasional melalui Akta dan memusnahkannya memerlukan kelulusan kabinet.

Ketegasan Kerajaan Malaysia dalam isu pengiktirafan ini dipaparkan dalam draf cadangannya kepada PKM:

Item 1: PEMBUBARAN PARTI KOMUNIS MALAYA (PKM)

Adalah dipersetujui bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) dan semua organisasi  subsidiari termasuk Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner (PKMR) dan Suara Demokrasi Malaya (SDM) akan dibubarkan.

Sepertimana yang sudah dijangka, wakil Chin Peng tidak setuju dengan sebarang ayat yang menyatakan PKM dibubarkan. Bantahan ini disuarakan oleh Zainon sebagai jurucakap PKM. Kali ini secara ‘halus’. Dia menerangkan bahawa adalah agak sukar untuk mereka mengumumkan pembubaran PKM dan PKMR secara rasmi. Kerajaan sepatutnya tidak bertegas mahukan PKM dibubarkan kerana kesediaan mereka menyertai rundingan ini untuk  menamatkan peperangan dan meneruskan perjuangan secara aman melambangkan keikhlasan dan kejujuran mereka. Oleh yang demikian, tiada keperluan untuk mengisytihar pembubaran PKM secara rasmi.

Sementelah istilah PKM begitu fobia kepada kerajaan, mereka menyatakan bahawa mereka akan menjenamakan semula PKM kepada Parti Buruh Sosialis Malaysia (Socialist Labour Party of Malaysia) dan mengekalkan prinsip Marxisme. Rashid Maidin menjustifikasikan pengekalan prinsip ini kerana Marxisme tidak terdapat Perlembagaan Persekutuan. SAC Norian Mai menjelaskan kepada Rashid Maidin bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya mencatatkan apa yang rakyat boleh lakukan tetapi ‘diam’ apa yang tidak boleh dilakukan.

Dato’ Rahim Noor menegaskan bahawa Pendaftar Persatuan akan menolak penubuhan Parti Buruh Sosialis Malaysia jika ia mengekal prinsip Marxisme. Beliau menjelaskan Marxisme merupakan ideologi yang begitu asing kepada rakyat dan tidak boleh diterima oleh mereka. Rakyat beranggapan bahawa parti tersebut merupakan pelanjutan dari PKM. Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Pendaftar Persatuan tiada masalah untuk meluluskan parti yang berpaksikan kepada prinsip sosialis, sebagai contoh, PSRM, DAP dan SUPP.

Kerajaan Malaysia sebenarnya tidaklah menutup pintu rapat-rapat yang membabitkan PKM sebagai parti politik. Dato’ Rahim Noor  menjelaskan bahawa mereka boleh menubuhkan parti politik selepas sembilan bulan termeterainya Perjanjian Damai. Beliau menerangkan bahawa rakyat boleh menubuhkan parti politik selagi ia selari dengan undang-undang negara. Permohonan perlu melalui proses yang sedia ada. Justeru, anggota PKM boleh menubuhkan parti baharu bagi menggantikan PKM selagi tidak berprinsipkan komunisme/ Marxisme.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa kerajaan menawarkan dua pilihan:

  1. Menubuhkan sebuah parti politik baharu dengan mengekalkan PKM selepas sembilan bulan termeterainya Perjanjian Damai dan seterus PKM dibubarkan mulai tarikh Perjanjian Damai.
  2. Membubarkan PKM dan selepas sembilan bulan termeterainya Perjanjian Damai dan menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Setelah mendengar hujah Dato’ Rahim Noor, akhirnya wakil PKM bersetuju untuk menggugurkan isu prinsip Marxisme dalam perlembagaan parti yang mereka akan tubuhkan. Oleh kerana isu ini begitu sensitif, isu pembubaran PKM ‘didiamkan’ dan dikecualikan dalam Perjanjian Damai dan Peraturan Pentadbiran.

Dengar berakhirnya mesyuarat kelima, majlis menandatangani Perjanjian Damai dilaksanakan di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Malaysia diwakili oleh Dato’ Wan Sidek bin Wan Abdul Rahman (KSU KDN), Jen Tan Sri  Hashim bin Mohd Ali (PAT) dan Tan Sri Mohd Haniff bin Omar (KPN). PKM diwakili oleh Ong Boon Hua@Chin Peng (Setiausaha Agung), Abdullah C.D. (Pengerusi) dan Rashid Maidin (Ahli Jawatankuasa Pusat). Dokumen Peraturan Pentadbiran antara Malaysia dan PKM ditandatangani oleh Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Noor (Timbalan KPN) dan Dato’ Zulkifli bin Abdul Rahman (Pengarah Cawangan Khas, PDRM). PKM pula diwakili oleh Chin Peng dan Rashid Maidin.

Mengimbau kembali aktiviti-aktiviti yang dibincangkan, PKM secara tersurat akur supaya tidak menjadikan  Marxisme sebagai prinsip sekiranya mereka mahu menubuhkan parti baharu. Itu yang tersurat. Bagaimana yang tersirat? Dalam ucapannya di Hat Yai, Chin Peng antara lain menyatakan “…Kami akan bubarkan unit-unit ketenteraan kami dan memusnahkan semua senjata kami sebagai keikhlasan kami menamatkan perjuangan bersenjata.” Memang mereka memusnahkan senjata yang disaksikan oleh pegawai-pegawai Malaysia dan Thailand. Namun, dia sama sekali tidak menyatakan akan menghentikan perjuangan menuju ke arah objektif utama PKM. Kali ini politik sebagai platform untuk mencapai objektif mereka. Sehingga kini, 2020, tidak terdengar kewujudan Parti Buruh Sosialis Malaysia yang mereka suarakan sebagai pengganti PKM. Bersandarkan kepada persetujuan penubuhan parti bagi menggantikan PKM, pada pemerhatian saya hingga kini (2020) masih tidak wujud Parti Buruh Sosialis Malaysia atau apa jua nama parti yang diberikan yang ditubuhkan oleh mereka. Justeru, selagi tiada penubuhan parti seperti yang dirancang oleh mereka, bolehlah dirumuskan bahawa PKM tidak dibubarkan dan masih wujud. Oleh yang demikian, sekiranya ‘bekas ahli PKM’ yang hadir di majlis di Kajang tersebut adalah hasil dari Perjanjian Damai, adakah mereka memenuhi takrif bekas? Wallahualam.

Fokus coretan ini hanya tertumpu kepada isu pengiktirafan PKM. Banyak lagi isu yang dibangkitkan oleh PKM seperti desakan memansuhkan ISA, kerakyatan, pampasan, pemusnahan jerangkap samar, dan lain-lain. Perjalanan lima mesyuarat tersebut boleh dibaca dalam buku Jen Dato’ Kitti Ratanachaya, The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand. (1996). Bangkok: Duangkaew Publishing House. Beliau telah memuatkan dalam bukunya kesemua minit-minit mesyuarat bersama dengan kembarannya sekali.

 

Mesyuarat di Phuket yang dipengerusikan oleh Mej Jen Kitti Ratachaya pada 1989. Sumber: Jen Dato’ Kitti Ratanachaya, The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand
Wakil Thailand. Mej Jen Kitti Ratanachaya (tengah). Sumber: Jen Dato’ Kitti Ratanachaya, The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand
Antara wakil delegasi Malaysia. Sumber: Jen Dato’ Kitti Ratanachaya, The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand

Rujukan:

  1. Gregory Kong Min Kyn, New Straits Times, Unsung Aussie rebuilt bombed Tugu Negara, 25 September 2019. Lihat https://www.nst.com.my/opinion/letters/2019/09/524599/ unsung-aussie-rebuilt-bombed-tugu-negara.
  2. General Dato’ Kitti Ratanachaya, The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand. (1996). Bangkok: Duangkaew Publishing House.
  3. Editions Didier Millet. (2007). Chronicle of Malaysia: 1957-2007. Kuala Lumpur: Didier Millet.

*Dr Nor Ibrahim ialah bekas juruterbang helikopter Nuri.

-BebasNews

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian bebasnews.y
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here