BWF, Denmark tunda lagi Piala Thomas, Uber 2020 ke Oktober

0
505
PIALA Thomas (kanan) dan Uber yang masing-masing mula dipertandingkan pada 1949 dan 1956. - Foto bwfbadminton.com

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) dan Badminton Denmark (DB) mengesahkan bahawa pusingan akhir Piala Thomas Ke-31 dan Piala Uber Ke-28, 2020 di Arena Ceres, Aarhus, Denmark ditunda buat kali kedua iaitu ke 3 hingga 11 Oktober ini.

Sebelum ini, BWF menetapkan 15 hingga 23 Ogos sebagai tarikh baharu pusingan akhir kejohanan berpasukan lelaki dan wanita berprestij dunia itu selepas meminda jadual asalnya, 16 hingga 24 Mei ini akibat kebimbangan terhadap penularan pandemik Covid-19.
Keputusan itu diumumkan dalam siaran media yang dipetik daripada laman sesawang rasmi, bwfbadminton.com semalam.

“Ekoran keputusan kerajaan Denmark pada 6 April untuk melanjutkan larangan terhadap ‘perhimpunan lebih besar’ di Denmark sehingga Ogos ini, kedua-dua parti (BWF dan DB) bersetuju bahawa tidak lagi sesuai untuk melangsungkan kejohanan itu yang dijadualkan semula pada 15 hingga 23 Ogos ini.

“BWF dalam rundingan dan muafakat dengan DB, penganjur kejohanan, Sport Event Denmark dan pihak kerajaan tempatan Aarhus bahawa pindaan ke Oktober merupakan penyelesaian terbaik,” kata Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund dalam siaran berkenaan.

Katanya, “keutamaan kami ialah kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet-atlet, kakitangan-kakitangan, sukarelawan-sukarelawan, hakim-hakim dan seluruh masyarakat badminton.

“Kami telah mendengar nasihat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pelbagai pakar kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Denmark dan jelas bahawa menganjurkan sebuah acara besar seperti pusingan akhir Piala Thomas dan Uber BWF sebelum September akan sukar.

“Kami yakin bahawa kami mampu melangsungkan sebuah kejohanan yang selamat dan berjaya pada tarikh baharu, 3 hingga 11 Oktober sambil sentiasa memantau keadaan dengan rapat sekiranya ada perubahan lagi.”

Ujar Ketua Pegawai Eksekutif DB, Bo Jensen, “menyedihkan kami untuk mengubah tarikh itu semula. Walau bagaimanapun, keprihatinan segera kami ialah keselamatan semua yang terlibat dalam masa yang amat tidak menentu ini.

“Masih satu pencapaian bagi kami kerana menjadi negara pertama di luar Asia sebagai tuan rumah pusingan akhir Piala Thomas dan Uber.

“Jadi kami mengalu-alukan kehadiran peminat-peminat, pemain-pemain, sukarelawan-sukarelawan, pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan dalam cara yang terselamat mungkin.

“Penyelesaian bagi Mesyuarat Agung Tahunan BWF 2020 dan Forum Ahli-ahli Gabungan turut dipertimbang memandangkan kedua-duanya juga merupakan antara tumpuan utama kalendar badan induk itu yang dijangka berlangsung di Aarhus sepanjang minggu Piala Thomas dan Uber.

“Fikiran kami sentiasa bersama setiap orang yang terjejas akibat pandemik dunia ini dan kami mengalakkan orang ramai untuk duduk di rumah dan kekal selamat,” katanya.

Denmark mencatat sejarah apabila menjulang Piala Thomas sulungnya dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Pusat Sukan Kunshan, China pada 22 Mei 2016.

Malaysia pula sudah memenanginya sebanyak lima kali, 1949 di Preston (England), Singapura 1952 dan 1955, Jakarta 1967 dan Kuala Lumpur 1992.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here