Sarimah, primadona yang eksklusif!

0
1542
DATUK Dr. Hajjah Sarimah (berdiri barisan kedua dan nombor enam dari kiri) bersama anak-anak dan menantu serta sebahagian daripada 35 cucu dan 19 cicit ketika diraikan dalam satu majlis sempena Hari Lahirnya yang ke-77 pada 28 April 2019.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

APABILA menyebut nama Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad, pasti terbayang di mata anda seraut wajah ‘Primadona’ popular dari Studio Jalan Ampas, Singapura, yang mula mencuri hati para peminat filem Melayu dengan filem pertama lakonannya “Ali Baba Bujang Lapok” sebagai Marjina pada tahun 1961.

Popularitinya melonjak naik apabila diberi watak utama dalam filem “Ibu Mertuaku.”

Filem terbitan Shaw Brothers pada tahun 1962 itu menampilkan beliau sebagai Sabariah yang ‘gilakan’ penyanyi Kassim Selamat lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang juga pengarah filem berkenaan.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia filem, beliau telah berlakon lebih daripada 40 filem dengan 10 daripadanya terbitan Sarimah Filem Production antaranya Dia Ibuku, Detik 12 Malam dan Sepi Itu Indah.

Itulah Sarimah, seniwati yang popular sejak di zaman Studio Jalan Ampas sehinggalah hari ini, meskipun beliau telah lama meletakkan noktah dalam dunia seninya.

SARIMAH bersama Shahray, Peguam Syarie yang kini menetap di Brunei.

Pada 28 April lalu (Selasa) genaplah usianya 78 tahun, Sarimah ibu kepada enam orang anak, nenek kepada 35 orang cucu dan TokNyang kepada 20 orang cicit ini, masih tetap cantik tanpa botox ataupun suntikan mencantikkan wajah.

Memilikki kecantikan semulajadi, Sarimah merasa bahagia melayari usia yang melebihi tujuh dekad dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan disamping keluarga.

“Dalam hidup Kak Mah hari ini, tiada apa yang Kak Mah cari selain daripada keredaan Allah SWT.

“Biarlah Kak Mah miskin di dunia tetapi Kak Mah tidak mahu menjadi seorang yang muflis di akhirat.

“Sebab itu sejak akhir 1980-an sehingga hari ini, Kak Mah mahu menjalani kehidupan dengan menjalankan kewajipan yang dituntut agama dan bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang melihat kebahagiaan anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit,” kata Seniwaiti Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad ketika berbual dengannya melalui telefon pada 8.20 pagi Selasa selama 30 minit selepas mengucapkan Selamat Hari Lahirnya yang ke-78.

Sarimah yang mesra saya panggil Kak Mah mula saya kenali sejak tahun 1980 apabila saya ditugaskan sebagai Wartawan di Meja Hiburan Mingguan Malaysia.

Selama 40 tahun mengenalinya, bagi saya Sarimah adalah seorang primadona yang mempunyai kelasnya yang tersendiri dan tersangat eksklusif!

Bagi anda yang tidak mengenalinya tentu menganggap beliau seorang yang sombong dan sukar didekati. Namun hakikatnya, itulah Sarimah primadona yang tidak mahu publisiti yang akan memakan diri.

SARIMAH bersama cicitnya yang ke 20, Nur Aaira Qaleesha yang lahir pada 15 Februari lalu adalah anak Dr. Nur Sakinah.
Dr. Nur Sakinah adalah anak kepada Farah Waheeda.

Jika beliau tidak mengenali anda, jangan mimpi dengan mudah anda boleh menelefon dan berbual apalagi menemuramah beliau kerana begitulah pendiriannya kerana pengalaman mengajarnya untuk lebih berhati-hati.

Masih saya ingat lagi, sejak di Meja Hiburan Mingguan Malaysia pada tahun 1980 dan sebagai wartawan hiburan di Meja Hiburan Utusan Malaysia 1983-1988, saya sering ke banglo beliau di No:7, Jalan Tinggi, Petaling Jaya untuk mendapatkan cerita eksklusif daripadanya.

Waktu itu saya mendapat layanan mesra 100 peratus daripada Kak Mah dan suaminya, Pak Yusof Majid.

Sebabnya, setiap kali mengunjungi banglonya, selalunya waktu minum petang dan hidangan istimewa Kak Mah yang paling saya suka dan ingat hingga hari ini adalah bubur jagung air tangannya yang sedap sangat!

Ketika itu, Kak Mah bukan sahaja terkenal sebagai Produser yang telah menerbitkan filem hebat, Dia Ibuku yang telah memenangi sembilan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-2 pada 1991 antaranya Seniwati Terbaik (Sarimah) dan Filem Terbaik, malah telah mengeluarkan produk kecantikannya sendiri!

Sebenarnya saya sangat kagum dan menghormati Pak Yusof, yang bukan sahaja sebagai tulang belakang diatas kejayaan Kak Mah dengan memberi sokongan kepada SFP.

Malah pada waktu yang sama telah mengeluarkan produk kecantikan iaitu gincu yang mana apabila anda sapu di bibir tidak berwarna tetapi dalam beberapa saat akan menerbitkan warna yang cantik pada bibir sipemakai mengikut jenis darah mereka!

Bukan itu sahaja, malah dalam diam, Pak Yusof dan Kak Mah telah terbang ke Paris dan mereka dalam perancangan mengeluarkan minyak wangi jenama Sarimah.

M. Jamil bersama anaknya dan anak-anak Shahray.

Namun hasrat Pak Yusof tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia kerana serangan jantung pada 5 Disember 1988. (Al-fatehah buat Pak Yusof semoga Allahyarham ditempatkan bersama para solihin, aamiin).

Menyingkap impian sempena hari lahirnya, jika diizinkan-Nya, beliau mahu melihat kelahiran cicitnya yang ke-21 dan ke-22 tidak lama lagi.

“Melihat kejayaan cucu-cucu yang mana tiga orang menjadi doktor iaitu seorang di Ireland (anak Jamil dari perkahwinan pertamanya), peguam, penerbit TV itu sudah cukup membuatkan Kak Mah bersyukur.

“Malah apabila melihat cerita Madu Tiga yang kesemua pelakon utamanya telah meninggal dunia dan Tiga Abdul pelakon utamanya yang masih ada Kak Mah dan seniwati Dayang Sofia, Kak Mah merasakan ada hikmah di sebalik anugerah ini,” kata Sarimah dalam nada sayu.

Sebenarnya, saya dan Kak Mah ‘berharap dan berjanji’ untuk berjumpa sempena hari lahirnya hari ini, namun takdir menentukan segalanya.

Sebabnya, kali terakhir saya menemuramah Kak Mah dan artikel Eksklusif itu disiarkan sebagai Cover Hits pada 4 April 2011 dan menjadi blurb muka depan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Itulah kali terakhir Utusan Malaysia menyiarkan cerita Sarimah kerana selepas saya bersara pada 29 Mac 2013 tidak pernah ada artikel mengenai Sarimah.

Cuma seingat saya pada April atau Mei 2013, saya menerima panggilan daripada Sarimah yang kecewa apabila berita yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan berlainan daripada apa yang ditemuramah oleh wartawan/penulis berkenaan.

“Sebab tu, Kak Mah dah beritahu Lin bila Lin dah bersara Kak Mah tak nak ditemuramah sebab tak mahu begini jadinya,” kata Sarimah penuh kecewa.

Semoga Kak Mah bahagia disamping cucu-cucu, cicit-cicit dan enam orang anaknya – empat daripada perkahwinan pertama dengan Allahyarham Zulkifli Ahmad – Norhayati,61, Farah Waheeda,59, Mohd. Jamil,56 dan Mohd. Shahray, 51, (Peguam Syarie di Brunei Darussalam) dan anak bersama Allahyarham Yusof Majid – Yusarimah Puteri,49, dan Mohd. Yusari Ameer,47 tahun.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here