Masyarakat Indonesia Kg Baru bantu pekerja asing berdepan Covid-19

0
557
fotoBERNAMA

Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

SELEPAS pasar di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur diarahkan tutup pada 28 April, ramai pekerja asing yang mencari rezeki di situ terperangkap dengan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Jika pun mereka mampu cari jalan untuk bekerja, namun pendapatan harian yang diperoleh amat sedikit berbanding sebelum ini, kata seorang pekerja asing berketurunan Aceh kepada akhbar Malay Mail.

Beliau berkata dengan PKP, pasar hanya dibuka untuk beberapa jam dan hanya pada hari-hari tertentu dalam seminggu.

Pasar Chow Kit/Jalan Raja Bot yang ditutup/ fotoBERNAMA.

Bagi sesetengah pemilik gerai pula mereka terpaksa memberhentikan perniagaan sepanjang PKP kerana berdepan dengan masalah pengangkutan barangan ke pasar.

Sejak PKP dikuatkuasakan pekerja asing yang terkesan hanya bergantung sesama sendiri untuk mendapatkan makanan.

Ada dalam kalangan mereka yang masih mampu berbelanja membantu membeli barangan asas seperti beras dan lain-lain untuk rakan-rakan yang kurang bernasib baik.

Pasar di sepanjang Jalan Raja Bot di kawasan Chow Kit diarahkan tutup dua minggu oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan, sanitasi dan saringan ke atas semua peniaga, pekerja, anggota keluarga dan pengunjung ke pasar tersebut sebelum diarahkan tutup.

Sebelum ini, pasar Jalan Raja Bot pernah ditutup daripada 21 April hingga 23 April untuk tujuan yang sama.

Turut terjejas termasuk peniaga Zainuddin Abdul Rahman yang merupakan seorang penduduk tetap.

Beliau berkata bahawa beliau sedang memikirkan bagaimana untuk membayar gaji semua pekerja asingnya sepanjang 14 hari pasar ditutup.

Menurut beliau peniaga mampu mengharungi tempoh tersebut, tetapi yang membimbangkan ialah nasib pekerja-pekerja mereka.

Bagi Izzah yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai alat solek, keadaan sekarang amat mencabar kerana kedai tempat beliau bekerja terpaksa ditutup.

PETUGAS Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawa penduduk di sekitar Pasar Chow Kit yang dipercayai mempunyai simptom demam di sekitar Pasar Chow Kit /fotoBERNAMA.

Beliau yang telah bekerja di Malaysia sejak 18 tahun lalu sedih memikirkan bagaimana untuk hidup sekarang dan menyara kehidupan keluarganya di Surabaya, Indonesia.

Ditanya bagaimana keadaan beliau sewaktu PKP tanpa sumber pendapatan, Izzah berkata beliau pernah menerima bantuan daripada pihak kedutaan Indonesia sebelum PKP dikuatkuasakan.

Beliau bernasib baik kerana mempunyai saudara mara di Kuala Lumpur dan mereka saling bantu-membantu.

Selain untuk hidup Izzah juga bimbang kerana tanpa pendapatan beliau tidak akan mampu mengumpul duit untuk memperbaharui visa sebanyak RM3,500 setahun.

Pasar Jalan Raja Bot adalah yang kelima diarahkan tutup, selain Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Harian Selayang, Pasar Taman Megah dan Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here