JPN lapor polis laman sesawang jual MyKad palsu

0
592

JABATAN Pendaftaran Negara membuat laporan polis pada 1 Mei berhubung laman sesawang yang mengiklankan dan menjual kad pengenalan palsu dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata kementerian maklum terdapat banyak terbitan di media sosial membabitkan kad palsu, dan semua kenyataan dan gambar yang dimuat naik sudah diteliti JPN.

Beliau menjelaskan, gambar MyKad yang tular di media sosial pada ketika ini merupakan gambar lama yang dimuat naik semula, dan mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan kad pengenalan di Pulau Pinang pada 2019.

“Tiada gambar dan maklumat pemalsuan Mykad yang baru dapat dikenal pasti. Polis sudah menangkap individu yang terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjawab desakan beberapa pertubuhan dan individu menggesa MyKad sedia ada ditukar kepada kad pengenalan baru bagi menangani masalah pemalsuan, Hamzah berkata JPN sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan Mykad, khususnya dari aspek ciri keselamatan.

“JPN juga sudah menambahbaik SOP sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem JPN,” katanya.

Jelasnya, kerajaan memandang serius kes melibatkan pemalsuan MyKad yang dilakukan kakitangan JPN sendiri atau sindiket tertentu, dan polis dan JPN akan terus bekerjasama melalui Ops Biru.

“Satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad serta memburu dalang yang terlibat,” katanya.

Hamzah juga memohon orang ramai untuk menghentikan penyebaran mesej bersifat berita palsu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, orang ramai boleh terus melaporkan maklumat tersebut kepada KDN, polis atau JPN secara langsung,” katanya.

https://bit.ly/2zHZTEL

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here