Rahsia di sebalik lagu ‘Duniaku’

"Sebenarnya Duniaku bukan sebuah khayalan saya tetapi ia lahir daripada peristiwa di depan mata saya yang masih segar dalam ingatan sehingga hari ini.

0
1284

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

TATKALA irama pop yeh yeh menjadi kegilaan ramai sekitar tahun 1965, kehadiran lagu “Duniaku” sedikit sebanyak telah mewarnai dunia seni tempatan ketika itu.

Duniaku berirama ‘slow pop’ yang dirakamkan dalam bentuk LP nyanyian S.Ahmad dengan iringan The Rythmn Boys diterbitkan oleh Olympic Records pada tahun 1968.

Kelunakan suara S. Ahmad (Allahyarham) ketika menyanyikan lagu tersebut dan melodinya yang indah dengan bait-bait lirik yang penuh syahdu membuatkan mereka yang mendengarnya larut dalam impian seorang insan yang dilahirkan buta.

Disebabkan lagu itulah ianya telah meletakkan nama S.Ahmad sebaris dengan penyanyi pop yeh yeh yang popular ketika itu antaranya A.Ramlie, A. Rahman Onn dan Jeffrydeen.

Bersyukur kita dilahirkan sempurna sifatnya namun bagi mereka yang menghayati lagu ini dengan sepenuh jiwa dapat memahami gelodak jiwa mereka yang buta.

Meskipun lagu itu sudah berusia 52 tahun, mungkin tidak ramai yang tahu siapakah pencipta lagu yang mampu membuai perasaan pendengar dalam memahami jiwa mereka yang dilahirkan buta.

Setelah sekian lama saya meminati dan menghayati lagu itu, saya memberanikan diri menghubungi komposer dan penulis lirik lagu berkenaan iaitu Profesor Datuk Dr. Johari Salleh.

Tidak dinafikan lagu dan lirik Johari Salleh yang ketika itu bertugas sebagai pemuzik tetap di RTM sejak tahun 1961 mampu ‘melahirkan’ seorang bintang yang memiliki suara tersendiri.

DUNIAKU

Rasa cinta ajaib nikmatnya
Hanya nasib menentukan hidup
Nampak riang tetapi derita
Duniaku

Aku tahu indah alam maya
Merah hijau meliputi bumi
Langit biru tempat ku berlindung
Duniaku

Di manakah dosa hamba betapa begini
Gekap gelita jadinya alam maya
Ku hidup tidak berteman mungkin selamanya
Keindahan itu bukan milik daku

Tiap malam duduk berdoa
Maha Esa mencurah kurnia
Hilang lenyap gelap yang menutup
Duniaku
………………..
Lagu & senikata (1968) : Johari Salleh
Artis : S. Ahmad
Label : Olympic Records.

Mungkin ada yang beranggapan lagu itu hanya ciptaan dan khayalan penciptanya sahaja tetapi sebenarnya ia mempunyai cerita dan rahsianya yang tersendiri.

Johari Salleh yang kini bertugas sebagai Profesor Ikhtisas Pusat Kebudayan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Pengarah Muzik RTM (1976-1983) ketika ditanya tentang lagu syahdu ciptaannya itu memberitahu;

“Sebenarnya Duniaku bukan sebuah khayalan saya tetapi ia lahir daripada peristiwa di depan mata saya yang masih segar dalam ingatan sehingga hari ini.

“Ianya bermula pada satu pagi Ahad bulan Februari 1968 di sebuah kedai kopi di Brickfields.

“Saya memang bercadang nak sarapan dan minum kopi di situ. Tetapi semua meja penuh. Ada satu meja sahaja kosong yang diduduki oleh seorang pemuda. Saya minta izin untuk duduk di situ dan beliau mengizinkan.”

Menurut Johari, belumpun lama duduk tiba-tiba pemuda itu bertanya betul ke dia diberitahu dunia ini indah dan cantik?

“Saya hanya menjawab ya…betullah itu.” kata Johari Salleh.

Menurut beliau, tidak sampai seminit pemuda itu bertanya lagi macamana warna merah, biru dan hijau.

“Apabila mendengar soalan itu, hati saya tiba-tiba sebak. Saya sedih dan saya sedar pemuda itu memang dilahirkan cacat. Saya tak sanggup lagi duduk di situ lalu minta izin dan meninggalkan pemuda itu tanpa menjamah roti canai dan air kopi yang dah sampai di atas meja,” cerita Johari Salleh.

Perasaan sayu dan sedih yang mencengkam jiwanya dizahirkan dalam lagu ciptaannya yang mengambil masa dalam dua jam dan dalam tempuh empat jam lirik My Dark World dan Duniaku dapat disiapkan.

“Saya ambil masa yang lama untuk menulis lirik lagu ini kerana ia bukan sebuah cerita yang diada-adakan tetapi ia menceritakan suara hati seorang insan buta.

“Saya dapat rasakan bagaimana hasrat insan buta yang ingin melihat keindahan alam dan saya mahu mereka yang celik apabila mendengar lagu ini memahami hasrat hati insan buta yang ingin melihat keindahan dan warna-warni dunia ini,” kata Johari Salleh.

MY DARK WORLD

To think of life is a wonderful thing
To think of life and the fate it can bring
All in my life I’ve been in loneliness
My dark world

And I was told it’s beautiful around
With trees and flowers colouring the ground
What good is there with all these things to me
My dark world

Please tell me why
Oh tell me why I am this way
What have I done
What have I done to deserve such fate
My life’s a loneliness
Forever it may be
However beautiful
It’s not for me to see

Each night I sit to say a little prayer
For miracle that might be passing near
All in my life I’ve been in loneliness
My dark world
……………..
Lagu & Senikata (1968): Johari Salleh
Artis : Frankie Cheah
Label : EMI Music (M) 1972.

Menurut beliau, tidak lama selepas itu, S.Ahmad yang datang ke Radio Malaysia ketika itu terletak di tingkat enam, Bangunan Persekutuan, Kuala Lumpur berjumpa beliau dan meminta jika ada lagu baru ciptaannya untuk albumnya.

Dalam perjumpaan itu beliau menyerahkan lagu “Duniaku” kepada S. Ahmad yang dalam proses untuk merakamkan album dalam bentuk LP.

“Empat bulan selepas itu, saya mendapat tahu lagu itu telah dirakamkan oleh S. Ahmad,” kata Johari Salleh.

Menurut beliau walaupun telah mencipta hampir 200 lagu namun “Duniaku” memberi kesan yang mendalam di hatinya.

“Sampai hari ini …saya masih terbayang wajah pemuda itu. Semoga pemuda itu menemui kebahagiaan dalam hidupnya,” kata Johari Salleh.

Menyentuh mengenai lagu ‘evergreen’ ciptaannya itu, Johari cuma terkejut sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada segelintir peminat yang menemui beliau bertanya mengapa lagu “Duniaku” diubah tajuk dan liriknya kepada “Seniman Menangis.”

PROFESOR Datuk Dr. Johari Salleh.

Bukan itu sahaja, malah sejak akhir-akhirnya ada pula yang berjumpa beliau dan bertanya mengapa menciplak lagu “Seniman Menangis.”

“Saya bukan dan minta apa-apa kerana saya pun tidak pernah mendaftarkan lagu itu dibawah MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) cuma saya ingin membetulkan fakta.

“Lagu Seniman Menangis adalah saduran daripada lagu Duniaku yang telah dirakam pertama kali oleh S. Ahmad pada tahun 1968. Sementara pada tahun 1972, Frankie Cheah datang berjumpa saya di Angkasapuri dan minta kebenaran merakamkan lagu berkenaan dalam Bahasa Inggeris ciptaan dan lirik saya, My Dark World,” kata Johari Salleh.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here