Hilangkah prestij Piala Malaysia 2020?

0
535
WAJARKAH JDT, juara Piala Malaysia 2019 ke Liga Juara Asia 2021 jika semua pertandingan tidak dibenarkan disambung September ini?

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

TIADA lagi saingan peringkat kumpulan malah format kalah singkir ala Piala FA yang diterapkan kepada Piala Malaysia 2020, cuma akan dijalankan satu perlawanan tanpa timbal balik.

Gara-gara pandemik maut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan, itulah nasib kejohanan tertua negara yang cuba ‘dipanjanghayatkan’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Bergantung kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jun ini, Piala Malaysia akan menyusuli Liga Super dan Perdana (1 hingga 27 September) untuk dimainkan dari 17 Oktober hingga 7 November ini.

Sebelas teratas Super dan lima terbaik Perdana akan berentap demi Piala Malaysia yang menggantikan Piala HMS Malaya mulai 1967 tanpa Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Perak 2 dan Selangor 2 – seperti syarat pertandingan.

Memandangkan Piala FA, satu-satunya kejohanan kalah singkir kebangsaan edisi ke-31 yang memasuki pusingan kedua dan dijadualkan 17 Mac ini sudah pun dibatalkan FAM dan MFL, slot Piala AFC 2021 kini menanti juara Piala Malaysia 2020.

Hilangkah prestij dan dramatiknya apabila Piala Malaysia kali ini ‘diPialaFAkan’?

“Buat masa sekarang, memang tepat dan terbaik tindakan FAM dan MFL itu. Lebih baik sambung balik daripada batalkan terus kerana tidak rugi sangat dan tiada mana-mana pihak perlu terlibat dengan pembatalan kontrak yang jauh lebih merugikan,” kata ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan kepada BebasNews.

RIZAL Hashim (kiri) dan Amran Hamid, pencetus format liga Piala Malaysia yang kembali ke rahmatullah 4 April lalu. – Foto Rizal Hashim

Jurulatih pemenang Piala Malaysia 2010 dengan Kelantan ini merujuk ‘Pelan C’ lakaran FAM dan MFL sekiranya MKN masih enggan membenarkan Liga M 2020 (Liga Super, Perdana dan Piala Malaysia) disambung September ini walaupun tanpa penonton di stadium.

“Jika semua pertandingan kelolaan FAM dan MFL tidak dapat diteruskan September sekali gus dibatalkan, juara Liga Super 2019 (Johor Darul Ta’zim) akan layak mewakili Malaysia ke Liga Juara Asia 2021.

“Naib juaranya, Pahang dan juara Piala FA 2019, Kedah bakal menyertai Piala AFC (dua pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia),” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.

Mengikut sejarah, format Liga Super dan Perdana (disambung dari perlawanan kelima hingga ke-11 iaitu separuh liga atau juga tanpa timbal balik) mahupun Piala Malaysia 2020 yang diubah suai ini mirip atau mengimbas balik perjalanan Piala Malaysia selepas 1982.

Ketika itu, format kalah singkir suku akhir hanya diperkenalkan pada tahun tersebut manakala tahun-tahun sebelumnya menyaksikan jawatankuasa FAM yang menentukan pasukan mana sebagai tuan rumah perlawanan sepusingan.

Dua juara terbanyak, Selangor (33 kali) dan Singapura (24) boleh dikatakan bertarung di zon penyingkiran yang berlainan pada setiap musim Piala Malaysia silam iaitu Utara, Selatan dan Pantai Timur mulai 1967.

Menurut catatan bekas wartawan akhbar harian, Rizal Hashim dalam blognya, ‘Malaysian Sports Loose Cannon’ pada 5 April lalu, saingan Piala Malaysia mulai 1973 dibahagikan kepada dua zon sahaja – Utara (Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Angkatan Tentera.

“Zon Selatan pula ditandingi Melaka, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Selangor dan Singapura yang dilabel pasukan pilihan, dipisahkan berpandukan mesyuarat jawatankuasa FAM setiap tahun,” kata Rizal, merujuk perbualannya dengan Allahyarham Amran Hamid.

Bekas Ketua Unit Sukan TV RTM itu katanya, merupakan pencetus idea perubahan format Piala Malaysia ini kepada bekas Naib Presiden FAM, Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud selepas muncul pengulas pertama siaran langsung Piala Dunia di Argentina 1978 dalam bahasa Melayu.

“Pulau Pinang merupakan juara sulung liga Piala Malaysia pada 1982. Sabah, juara Piala Borneo 1977 sebagai zon ketiga kelayakan, mulai menyertai Piala Malaysia tahun berikutnya. Sarawak dan Brunei menyusuli tanggal 1979.

“Liga sepusingan Piala Malaysia lebih menarik minat ramai penonton kerana setiap negeri dari seluruh pelosok negara terlibat sedangkan sebelum itu selama bertahun-tahun pasukan seperti Perlis, Kedah dan Johor tidak dapat bertemu,” tulis Rizal, merujuk pendedahan oleh tonggak ‘Siaran Langsung Piala Dunia Espana ‘82 ini ditaja oleh Rakyat Malaysia’ itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here