PRK Semenyih: 63 Peratus Keluar Mengundi Setakat Pukul 3 Petang

0
248
Gambar atas: engundi Sarinam Katni (tiga, kanan) menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesapan Kelubi hari ini. Turut bersama anaknya dari kiri Rosezaini Rahmat, Noor’ Ain Rahmat, Shuliyana Rahmat, Sulaiman Lee, Hasnol Faizal (kanan). PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. –fotoBERNAMA 

 

SEMENYIH —  Sebanyak 63 peratus daripada 53,411 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Semenyih telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi 70 peratus pada PRK kali ini.

Proses pengundian di semua 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun turut meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi sejak pagi tadi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Sekolah Rendah Agama Batu Tiga dan SMK Bandar Rinching.

Namun terdapat beberapa perkara yang mencemari proses pengundian termasuk adanya aktiviti meraih undi dan barung atau pondok panas di beberapa pusat pengundian. Bagaimanapun, SPR telah mengarahkan semua aktiviti tersebut dihentikan serta-merta.

Azhar turut mengingatkan calon untuk tidak sesekali mengeluarkan kenyataan ‘undi saya’ kepada mana-mana individu, meskipun kepada pihak media sehingga pusat mengundi ditutup hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati jumlah pengundi ramai di pusat-pusat mengundi pada waktu pagi namun semakin berkurangan pada waktu tengah hari.

Hal ini berkemungkinan para pengundi bimbang akan cuaca terlalu panas pada waktu tengah hari dan hujan di sebelah petang seperti yang berlaku sejak dua atau tiga lepas.

Tinjauan Bernama setakat pukul 3 petang juga mendapati aliran trafik di jalan-jalan utama di pekan Semenyih sedikit sesak.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul  (PSM).

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya yang mewakili Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

— BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here