Barisan Nasional tawan semula DUN Semenyih

0
262
(GAMBAR ATAS) ZAKARIA HANAFI (dua dari kanan) meraikan kemenangannya pada PRK DUN Semenyih bersama-sama pemimpin kanan BN malam tadi.

Kemenangan itu juga menunjukkan kerjasama antara UMNO dan PAS yang diperkukuh sejak di PRK Cameron Highlands lalu mempengaruhi corak dan keputusan pengundian dalam PRK kali ini.

 
BARISAN Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Zakaria, yang berasal dari Kampung Sesapan Kelubi, Beranang di sini menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Namun, BN memperoleh kemenangan pada PRK kali ini, dengan majoriti undi lebih sedikit iaitu 1,914 undi berbanding diperoleh penyandang terdahulu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, dengan 8,964 undi yang mewakili PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Dengan kemenangan dicapai itu, menyaksikan kesungguhan jentera BN sejak hari pertama berkempen untuk menawan semula kerusi itu dari PH akhirnya berhasil, sekali gus mengembalikan status kawasan ini sebagai kubu kuat mereka.

Kemenangan itu juga menunjukkan kerjasama antara UMNO dan PAS yang diperkukuh sejak di PRK Cameron Highlands lalu begitu mempengaruhi corak dan keputusan pengundian dalam PRK kali ini.

Keputusan rasmi PRK DUN Semenyih itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK, Datuk Mohd Sayuthi Bakar di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kajang malam ini (2 Mac).

Turut sama hadir bagi mengiringi kemenangan Zakaria adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga menjalankan tugas Presiden UMNO; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin utama UMNO dan BN yang lain.

Menariknya juga, PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 73.24 peratus, berbanding tiga PRK sebelumnya di Selangor iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

— BERITA HARIAN

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/03/536745/bn-tawan-semula-dun-semenyih

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here