Selesai segera masalah, kemudian lancar program ke Tokyo 2020

0
306

 

Oleh MAZLAN AHMAD

 

Untuk memenangi pingat emas di Tokyo adalah sukar kerana belum ada lagi atlet yang luar biasa

SUDAH banyak pengkritik menyuarakan pendapat mereka supaya kerajaan menumpukan tugas dan tanggungjawab untuk terus membangunkan negara ini setelah memenangi PRU-14. Ada yang berpendapat penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini sebagai tanda bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan prestasi anggota kabinetnya. Apa pun, Perdana Menteri menafikannya.

Rakyat seakan-akan menuntut keajaiban daripada kerajaan yang baharu mungkin kerana kekecewaan mereka terhadap kerajaan yang lama.

Kemelut yang dihadapi oleh kerajaan baharu seakan-akan berjangkit ke bidang sukan dalam usahanya untuk terus memajukan sukan negara.

Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 sudah pun berakhir. Namun sindrom untuk mengatasi kekecewaan Program Podium masih dilihat belum selesai.

Program Podium merupakan satu percubaan yang dikira gagal memenuhi matlamatnya. Kontinjen kita gagal meletakkan diri ke tempat ke-10 teratas dalam kalangan negara peserta pada Sukan Komanwel di Gold Coast dan Sukan Asia  di Jakarta-Palembang.

Kita gagal dalam percubaan apabila meletakkan tugas melaksanakan program bawah Institut Sukan Negara (ISN). Oleh kerana ISN tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program atlet berprestasi tinggi maka diambil pegawai kontrak dari luar negara yang sudah tentu perlu dibayar lebih tinggi jika dibandingkan dengan pegawai tempatan.

Atlet yang berjaya menyertai program ini dibayar dengan lumayan sekali. Saya dimaklumkan ada atlet yang menerima elaun RM7,500 sebulan. Satu jumlah yang cukup tinggi kalau dibandingkan elaun dibayar semasa saya mengendalikan program yang serupa. hatta masih lagi tinggi kalau dibandingkan dengan jumlah elaun yang dibayar sebelum Program Podium dilaksanakan.

Kepercayaan duit boleh memberi rangsangan luar biasa kepada atlet untuk mencapai kejayaan dalam sukan hanyalah angan-angan. Ternyata barisan atlet dalam Program Podium ini gagal membawa hasil yang dihajatkan.

Hadiah wang tunai RM1 juta kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik telah diluluskan sebelum Sukan Olimpik 2008 di Beijing. Sehingga sekarang hadiah tersebut masih lagi belum dimenangi oleh mana-mana atlet negara kita. Duit yang banyak tidak semestinya boleh menjelmakan kejayaan yang dikehendaki.

Program Podium juga menyasarkan pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam meneruskan usaha mencari pingat keramat itu.

Jumlah kumpulan atlet teramai di negara ini menerusi kelompok Sukan SEA sahaja. Ada sedikit atlet yang boleh digolongkan dalam kumpulan Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Manakala jumlah atlet dalam Sukan Olimpik dalam lingkungan belasan orang sahaja. Kumpulan atau kelompok ini saya maksudkan ialah mereka yang mempunyai potensi memenangi pingat dan bukan atlet yang hanya mampu melayakkan diri ke temasya sukan berkenaan.

Apa yang mendukacitakan ialah kerenah sebilangan kecil kumpulan atlet Sukan SEA seolah-olah mereka meminta dilayan sebagai atlet yang mampu memenangi pingat Sukan Olimpik.

Yang menghairankan ada pula pihak yang memberi sokongan kepada atlet-atlet yang berperangai sedemikian  sehingga tujuan yang lebih besar, iaitu untuk menyediakan sekumpulan atlet berkebolehan dari semua segi bagi mencapai kejayaan lebih tinggi daripada Sukan SEA seolah-olah tidak dipandang penting.

Sebenarnya Sukan SEA yang diadakan setiap dua tahun sekali banyak menimbulkan kesan negatif daripada positif. Minda kita dibelenggu oleh sukan ini kerana ia lebih kerap diadakan, iaitu setiap dua tahun sekali.

Tumpuan yang lebih diberikan apabila negara kita menjadi tuan rumah. Sudah menjadi kelaziman setiap tuan rumah berhasrat memperbaiki pungutan pingat emas masing-masing, sama ada menjadi juara keseluruhan atau memperbaiki kedudukan pencapaian mereka jika dibandingkan apabila temasya tersebut diadakan di negara lain.

Kita juga sudah terjebak dengan sindrom tersebut sebagaimana yang ditunjukkan pada 2017 apabila kita menjadi tuan rumah. Selagi ada sukan kuat yang boleh memberi kemenangan pingat emas cuba dipertandingkan.

Demikian juga keadaannya dengan Sukan SEA tahun ini yang akan diadakan di Filipina. Ada acara yang dipertandingkan oleh hanya dua atau tiga orang atlet yang mewakili dua negara. Itulah contoh standard Sukan SEA yang ada.

Mungkin disebabkan atlet kita kurang berjaya dalam temasya sukan yang lebih tinggi maka kita lebih selesa dengan persekitaran Sukan SEA sahaja. Ini perlulah dibetulkan.

Tindakan pengurusan sukan kita mengendalikan satu kes yang melibatkan seorang atlet baru-baru ini amatlah mendukacitakan. Saya harap perkara ini tidak akan berulang lagi. Persatuan sukan kebangsaan ada peranannya dalam mengawal atlet masing-masing. Cubaan hendak mengetepikan peranan mereka akan mengucar-ngacirkan pentadbiran sukan di negara ini. Persatuan juga perlu memainkan peranannya sekiranya hendak dihormati sebagai pengawal sukan masing-masing di negara kita.

Adakah buruk sangat layanan yang diberikan kepada atlet-atlet kita? Ada kawan memberi gambaran tentang layanan kita terhadap atlet negara yang bermula daripada garis mula hinggalah ke garisan penamat. Maknanya atlet kita ditanggung hampir-hampir dalam semua aspek bermula daripada peringkat latihan dan kemudiannya peringkat pertandingan dan apabila memenangi pingat habuan wang tunai disediakan untuk mereka. Pemenang pingat Sukan Olimpik mendapat pencen bulanan.

Adalah amat menarik kalau MSN dapat memberi jumlah bantuan kepada setiap atlet dalam bentuk elaun latihan bulanan, makan minum, tempat penginapan, pengangkutan, perubatan, tiket kapal terbang, latihan di luar negara yang kadangkala mengambil masa berbulan-bulan serta pertandingan yang disertai setiap tahun.

Besar manakah jumlah yang dibelanjakan bagi seorang atlet yang menyertai program bagi setiap tahun? Data ini mungkin penting dalam menunjukkan perbelanjaan yang dikeluarkan kepada setiap atlet supaya mereka sedar.

Kadangkala mereka tidak peka perkara ini sehingga tanggung jawab mereka boleh dipersoalkan. Tidak ramai bilangan yang berperangai sedemikian, tetapi masih lagi mendukacitakan.

Ada eloknya kalau MSN memanggil setiap atlet yang menyertai program di penghujung musim dan membentangkan kos dan hasil yang dibelanjakan. Dengan ini tindakan yang akan diambil oleh MSN kepada atlet ini pada musim berikut lebih mudah diterima oleh atlet berkenaan.

Tidak salah kalau menteri melayan atau mendengar keluhan atlet yang dipilih mengikuti satu-satu program. Sekurang-kurangnya mungkin ada kelemahan di pihak pengurusan atlet di MSN atau di ISN dapat dibetulkan.

Kelemahan-kelemahan seperti mengambil terlalu ramai kakitangan secara kontrak yang terpaksa ditamatkan perkhidmatan mereka mulai tahun ini adalah satu contoh yang perlu diberi perhatian supaya tidak berlaku lagi.

Memberhentikan kakitangan yang telah bekerja dalam waktu yang lama dan telah mempunyai tanggungan amatlah menyedihkan. Kakitangan di MSN dan di ISN perlulah keluar dari kepercayaan bahawa mereka hanya dipertanggungjawabkan melakukan satu-satu jenis tugas sahaja.  Mereka perlu menerima hakikat ada tugas yang sifatnya berkala dan kesibukannya juga berkala. Masa yang terluang perlulah digunakan untuk tugas-tugas lain. Dengan demikian jumlah kakitangan dapat dikurangkan. Jangan cuba membina empire.

Kebanyakan atlet dalam program ditempatkan di Bukit Jalil di mana asrama telah dan sedang dibina untuk mereka. Dewan makan, kemudahan perubatan serta sains sukan dan kebanyakannya tempat berlatih adalah berdekatan.

Oleh itu kepercayaan atlet tidak dilayan sehingga mereka perlu berjumpa pihak yang lain mungkin satu tanggapan yang kurang kuat. Ketidakpuasan terhadap potongan elaun satu lumrah yang membabitkan semua manusia. Mereka tidak pula rasa kecewa kalau gagal mencapai apa yang telah ditetapkan untuk mereka. Mereka lupa bahawa wang rakyat membiayai dan menyara hidup mereka sebagai atlet yang berada dalam satu-satu program jauh lebih baik daripada pendapatan sebilangan rakyat negara ini.

Maklumat-maklumat yang diperoleh daripada jurulatih atau saintis sukan terhadap mana-mana atlet yang mempunyai dan menghadapi masalah sepatutnya disalurkan melalui mekanisme yang ada untuk diselesaikan. Mereka tidak sepatutnya memilih untuk meluahkan masalah mereka pada pihak lain. Adakah mekanisme ini tidak lagi berfungsi?

Sebenarnya negara kita mula mempunyai harapan memenangi pingat termasuk pingat emas dalam Sukan Olimpik sejak tahun 1992 apabila acara sukan badminton dipertandingkan di Barcelona.

Arwah Tan Sri Elyas Omar Presiden BAM telah melakar satu program yang dinamakan TUO iaitu Thomas Cup, Uber Cup dan Olimpik. Negara kita berjaya memenangi Piala Thomas yang merupakan kali terakhir piala tersebut dimenangi negara. Pada Sukan Olimpik kita memenangi  pingat gangsa melalui gandingan Razif-Jalani Sidek. Itulah pingat pertama Sukan Olimpik bagi negara kita.

Kedudukan pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik sejak tahun 1992 telah berubah di mana buat masa sekarang peserta sukan terjun dan lumba basikal trek berjaya memenangi pingat walaupun bukan emas.

Untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada pandangan saya  adalah sukar kerana belum ada lagi atlet yang menonjol dengan prestasi luar biasa  di kalangan saingan masing-masing.

Atlet badminton, terjun dan lumba basikal masih lagi menjadi taruhan pada 2020. Jumlah mereka yang boleh dikategorikan mampu bersaing untuk memenangi pingat adalah dalam lingkungan sepuluh orang sahaja.

Pada pandangan saya program untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 mestilah dilancarkan segera. Program ini hanya meliputi atlet yang mampu memenangi pingat. Atlet yang mencari tempat untuk bertanding di Tokyo atau yang sudah layak tetapi mempunyai peluang yang hampir tiada untuk memenangi pingat apatah lagi pingat emas sewajarnya tidak dimasukkan dalam program ini. Sediakan program untuk tahun ini dulu dengan kerjasama persatuan sukan masing- masing dan diikuti dengan program tahun hadapan pada penghujung tahun ini setelah meneliti prestasi atlet-atlet berkenaan. Negara-negara jiran kita telah memenangi pingat emas. Hanya negara kita yang masih belum.

Tinggalkan Podium dengan memulakan Program Sukan Olimpik Tokyo. Sekarang sudah dua bulan melangkah ke tahun 2019. Selesaikan masalah sambil melaksanakan program untuk Sukan Olimpik dan Sukan SEA tahun ini. Untuk mengulangi pencapaian Sukan Olimpik Rio 2016 juga sangat mencabar tetapi apa yang lebih penting untuk mengelakkan pulang tanpa pingat dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang. Inilah senario yang amat menakutkan iaitu pulang dari Tokyo dengan tangan kosong.

Lepaskan MSN melaksanakannya dengan dibantu oleh ISN dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing yang dinaungi oleh Majlis Olimpik Malaysia.

–BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here