Sulaiman Md. Ali memakaikan jubah kepada Ab. Rauf Jusoh selepas dilantikn sebagain Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu.

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Pertikaman lidah antara bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dilantik semasa era pentadbiran

Pakatan Harapan (PH), Datuk Omar Jaafar menyebabkan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri hari ini (11 Mei) kecoh selama hampir setengah jam.

Bukan itu sahaja, Idris turut membaling buku garis panduan ke arah Speaker. Kekecohan itu berlaku berikutan kemarahan ADUN Sungai Udang itu apabila Omar menolak usul dibawa oleh Ketua Menteri, Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) untuk menyingkirnya daripada menjadi speaker dewan, atas alasan berlaku kepentingan peribadi.

Belum pun sempat doa dibaca oleh Omar ketika memulakan Persidangan Pertama Penggal Ketiga DUN, Idris terus bangun mencabar Speaker yang tidak sepatutnya duduk di kerusi
tersebut memandangkan PH tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Melaka pada 2 Mac lalu.

Ini menyebabkan berlakunya adegan cabar mencabar antara Idris Haron dengan beberapa wakil pembangkang diketuai bekas Ketua Menteri, Adly Zahari (PH-Bukit Baru) termasuk rakan dalam pembangkang yang meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu dihalau keluar dari Sidang DUN.

Situasi yang ditimbulkan oleh Idris sebenarnya membawa rahmat apabila ADUN pembangkang mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sidang berkenaan ketika ditangguhkan oleh Omar kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, sidang DUN yang disambung semula itu dipengerusikan sementara Datuk Ghazale Mohamad (BN-Rim) sekali gus memberi laluan mudah kepada Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO negeri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh, 59, dilantik sebagai Speaker DUN yang baharu menggantikan Omar.

Usul melantik bekas Setiausaha Kerja UMNO Malaysia itu dibawa oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali dan telah mendapat sokongan majoriti 16 daripada 17 ADUN Perikatan Nasional (PN).

Dalam usul tersebut juga, Sulaiman turut mencadangkan nama Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 56, sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri Melaka.

Kedua-dua usul itu mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ADUN PN.

Sementara itu dalam satu sidang akhbar selepas itu, Sulaiman berkata, pelantikan Ab Rauf sebagai Speaker DUN ke-14 adalah sah daripada segi perundangan dan mengikut peraturan dan prosedur.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan penasihat undang-undang telah berunding sebelum PN memanggil semula persidangan DUN setelah Omar menangguhkannya ke tarikh yang baharu.

“Pelantikan Ab. Rauf sebagai Speaker yang baharu adalah mematuhi semua syarat memandangkan Pakatan Harapan tidak lagi mempunyai majoriti dalam DUN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adly ketika ditemui di Lobi Seri Negeri memberitahu, beliau dan rakan sekutu dalam PH akan memfailkan kes di mahkamah berhubung persidangan DUN sesi kedua disambung semula adalah tidak sah daripada segi undang-undang.

Ini kerana kata ADUN Bukit Baru itu, Omar telah membuat penangguhan persidangan DUN selepas berlaku kekecohan yang ditimbulkan oleh Idris Haron.

“Tidak sah untuk mengadakan persidangan tanpa notis terlebih dahulu dan dengan tidak adanya anggota pembangkang dalam sidang DUN yang disambung semula selepas itu,” katanya lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here