Lima persatuan ‘tak pandang’ Dana Covid MOM

0
812
ABDUL Azim Mohd. Zabidi (baju putih).-Foto MOM

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

TIGA persatuan sukan kebangsaan yang dianggap antara ‘terkaya’ dan dua lagi yang sering popular dengan kontroversi, didapati tidak memohon Dana Khas Covid-19 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bernilai RM300,000.

Mereka ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain Persektuan Olahraga Malaysia (POM) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Pada Jumaat lalu, sejumlah 30 daripada 56 persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang bernaung di bawah MOM, diumumkan sebagai penerima bantuan kewangan iaitu RM10,000 buat yang bertaraf ahli biasa manakala RM5,000 bagi ahli bersekutu.

“Hanya 30 NSA yang memohon. Jumlah yang disumbangkan itu tertakluk sama ada mereka ahli penuh (biasa) atau ahli bersekutu MOM.

“Bantuan kewangan sebanyak RM10,000 untuk ahli penuh dan ahli bersekutu dapat RM5,000,” kata Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi kepada BebasNews.

Mengenai ketiadaan FAM, BAM dan PSM dalam senarai itu katanya, “mereka tidak memohon. Saya beranggapan yang mereka pun tahu yang peruntukan ini adalah untuk NSA yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kuat.”

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga menerajui BAM.

Pemberian dana berjumlah RM265,000 kepada 30 NSA itu diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Amanah MOM secara atas talian yang dipengerusikan Azim di Wisma MOM, Kuala Lumpur.

Dua puluh tiga NSA ahli biasa MOM yang mendapatnya ialah Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM), Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Persatuan Renang Malaysia (ASUM), Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Taekwondo Malaysia (TM-WTF) dan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (dua dari kiri) manakala kanan, Mohamad Norza Zakaria, Presiden BAM dan MOM.-Foto MOM

Lain-lain termasuk Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM), Persekutuan Wusyu Malaysia (MWF), Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Persatuan Golf Malaysia (MGA), Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Persatuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Turut berolehnya ialah Persatuan Tenis Lawn Malaysia (LTAM), Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF), Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Tujuh daripada 21 ahli bersekutu MOM yang turut dibantu dana ini ialah Persatuan Floorball Malaysia (MFA), Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga), Malaysia Dance Sport Berhad, Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM), Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) dan Persekutuan Luncur Malaysia (MySkate).

Dana ini bertujuan membantu persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang perbelanjaan pentadbiran dan aliran pendapatan mereka terjejas dek pembatalan atau tidak dapat menganjurkan acara-acara sukan mereka (sepanjang Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan – PKP).

Lembaga Eksekutif MOM juga pada 17 April lalu bersetuju untuk memberikan potongan sebanyak 50 peratus kadar sewa bulanan Wisma MOM kepada persatuan-persatuan terlibat bagi bulan April dan Mei 2020.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here