Bantuan khas Aidilfitri ringankan beban perbelanjaan – penjawat awam, pesara

    0
    1063

    KUALA LUMPUR — Pemberian Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 sebanyak RM500 kepada penjawat awam persekutuan dan RM250 kepada pesara kerajaan berpencen disifatkan sebagai tepat pada masanya dalam meringankan beban perbelanjaan terutama dalam situasi penularan wabak COVID-19.

    Kalangan penjawat awam dan pesara yang dihubungi menzahirkan rasa bersyukur dengan pemberian itu dan sudah merancang menggunakan bantuan itu sebaik-baiknya.

    Di KUANTAN, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53, berkata beliau akan menggunakan wang itu untuk membeli bekalan makanan keperluan ahli keluarganya.

    “Pemberian bantuan itu pastinya membantu persiapan Aidilfitri saya enam sekeluarga …saya percaya Aidilfitri kami akan meriah walaupun disambut sederhana kerana kami masih berhati-hati dengan penularan wabak COVID-19,” kata penjawat awam itu kepada Bernama.

    Abd Razak Hassan, 57, yang merupakan pesara berkata bantuan sebanyak RM250 yang diterimanya akan digunakan untuk persiapan sambutan Aidilfitri, terutamanya bagi membeli bahan makanan dan juadah Hari Raya.

    “Saya empat sekeluarga akan berhari raya di Peramu,Kuantan dan dengan bantuan ini, dapatlah mengurangkan beban isteri dan seorang anak saya yang banyak membantu menampung perbelanjaan kami,” katanya.

    Fairuz Saidi, 34, penjawat awam di Kota Kinabalu, Sabah pula berkata bantuan khas itu akan digunakan untuk membayar bil elektrik kerana beliau tidak melihat keperluan untuk berbelanja besar bersempena Aidilfitri pada tahun ini.

    “Bil elektrik meningkat berikutan kerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur ketika dihubungi Bernama.

    Seorang lagi penjawat awam Zuraidah Ahmad, 40, berkata bantuan khas itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban dalam membuat persiapan Hari Raya, meskipun kemeriahan Syawal pada tahun ini akan berbeza berbanding sebelumnya.

    “Bagaimanapun, sambutan Hari Raya untuk keluarga mesti dibuat kerana saya mempunyai keluarga besar. Justeru, bantuan ini sangat membantu,” katanya, dan menambah, bantuan khas itu juga antara lain akan digunakan bagi membeli sepasang baju untuk setiap anak saudaranya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sabah Foo Ngee Kee berharap para penjawat awam yang menerima bantuan khas itu membelanjakannya dengan membeli barangan usahawan tempatan bagi membantu memulihkan perniagaan mereka yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2020 berkata kakitangan Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah dan pesara kerajaan berpencen akan menerima bantuan itu yang akan dibayar pada 20 Mei.

    BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here