Corat-coret politik Malaysia: Siapakah tok dalangnya?

3
13089

SAYA mula menyertai dunia kewartawanan pada 1989. Itu bermakna sudah 31 tahun saya dalam bidang ini.

Sejak itu saya terbabit dengan ramai orang politik. Di Malaysia ini celik saja mata adalah politik, politik dan politik — sehingga ke saat ini cakap politik belum reda.

Sudah tentu semasa saya mula berkhidmat dengan Utusan Melayu, Perdana Menteri ketika itu ialah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun).

Sebaik sahaja selesai PRU 1990, saya diarahkan oleh Ketua Pengarang Utusan ketika itu Zainudin Maidin (Tan Sri) untuk bertugas di biro Kelantan di Kota Bharu.

Pas baharu sahaja merampas negeri itu daripada BN, setelah memerintah selama 18 tahun. BN gagal mempertahankan Kelantan.

Ia adalah satu hakikat yang cukup perit diterima oleh Kuala Lumpur. Mahathir terlalu kecewa kerana UMNO gagal mempertahankan negeri majoriti Melayu itu daripada jatuh ke tangan parti Islam.

Pada masa itu UMNO dan Pas adalah musuh ketat. Tugas saya sudah tentulah mengenai liputan politik; dan Nik Aziz Nik Mat. Nik Aziz selaku spiritual leader atau murdyidul am Pas dilantik sebagai Menteri Besar. Ketaksuban orang Kelantan terhadap Nik Aziz cukup kuat. Beliau bagaikan “a political cult” atau tok guru yang ditaksubi, mengatasi pengaruh seorang MB.

Pengaruh Mahathir di Kelantan hanya 3/10 sahaja.

Siang malam, pagi petang adalah politik. UMNO ketika itu pecah dua dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menerajui Parti Semangat 46, serpihan UMNO.

Parti haluan Melayu ketika itu berpecah kepada UMNO, Semangat 46 dan Pas. Parti Melayu lain ialah Berjasa, iaitu serpihan Pas, tetapi tidak begitu dominan.

Tugas wartawan media arus perdana pada ketika itu ialah untuk membawa suara dari Kuala Lumpur dan melaporkan suasana politik Kelantan, yang masih bercelaru.

Akhbar Utusan ketika itu adalah akhbar paling laris di Kelantan. Edarannya adalah dalam purata 60,000 naskah sehari.

Oleh kerana Pas baharu memerintah maka pelbagai sudut dilaporkan oleh para pemberita. Banyak angle yang dilaporkan ialah mengenai kelemahan pemerintahan. Tugas kami ialah mengejar berita, menghidu berita dan berada di lokasi berita pada masa dan waktu yang betul.

Biro-biro akhbar yang ada di Kelantan — termasuk BH, NST, The Star, Sin Chew, Nanyang — bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan berita bagi mengatasi yang lain. Namun, walaupun media arus perdana berpengaruh juga di Kelantan pada waktu itu, ia gagal menarik sokongan dan kepercayaan orang-orang Kelantan. Akhirnya, pengaruh akhbar-akhbar itu semakin menjunam. Utusan daripada 60,000 naskah sehari, tinggal hanya sekitar 6,000 sebelum hayatnya berakhir.

Selepas 30 tahun, Pas masih memerintah Kelantan.

**

Masa itu pada 1990 tiada media sosial. Tiada handfon. Surat khabar adalah medium utama berita selain radio dan tv.

Orang-orang politik amat memerlukan orang surat khabar untuk menyampaikan suara mereka. Antara tokoh-tokoh yang aktif waktu itu — sehingga ke hari ini di Kelantan, yang masih saya ingat ialah Annuar Musa, Ibrahim Ali, Mustapa Mohamad, Ku Li.

Sementara tokoh-tokoh politik pusat yang masih aktif ketika itu-sehingga kini ialah Mahathir, Kit Siang, Tengku Adnan (Ku Nan), Tajudin Rahman, Najib Razak, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein, Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim. (Sekadar nama-nama besar)

Muka-muka itu sudah melebihi 30 dan 40 tahun berkecimpung dalam politik. Mereka kemudian menjadi menteri, berhenti dan menjadi menteri lagi. Ada juga yang masuk penjara, keluar dan masuk politik semula.

Mereka adalah ahli politik profesional. Adu-domba politik mereka hebat. Semasa saya berkhidmat di Kelantan, saya belum mendapat cahaya mata. Kini sudah mempunyai seorang cucu; muka-muka orang politik itu masih ada — dan aktif.

Mereka masih candukan kuasa. Terbaharu ada antara mereka menjadi menteri-menteri Kabinet semula.

Ada antaranya cukup bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan berkali-kali; dan ada yang mahu mencuba nasib. Jika sabut timbul, jika batu tenggelam.

Dinasor-dinasor inilah yang dikenali sebagai warlords politik, yang menjadikan politik sebagai hak mutlak. Ada yang mahu anak mereka mewarisi legasi mereka.

Tun Razak kepada Najib; Mahathir-Mukhriz; Hussein Onn-Hishamuddin; Kit Siang-Guan Eng; Nik Aziz-Nik Abduh; Anwar-Nurul Izzah; Pak Lah-menantunya KJ. (Sekadar nama-nama besar, walaupun ada lagi nama-nama lain)

**

Tun Razak, Hussein Onn, Nik Aziz sudah tiada dan anak-anak mereka mewarisi legasi mereka sekarang. Anak Mahathir, Mukhriz juga bergelumang dalam politik. Menjadi MB Kedah sebanyak dua kali. Mokhzani awalnya masuk politik, tetapi mengambil keputusan keluar dan terbabit dalam bisnis sepenuh masa.

Di saat ini Mukhriz sedang menghadapi suasana politik yang mencabar. Mungkin beliau akan kehilangan kerusi MB Kedah buat kali kedua (bila-bila masa sekarang).

Mahathir cuba seboleh mungkin untuk pastikan Mukhriz berada dalam arus perdana politik tanah air. Tapi Mukhriz sering disingkirkan. “Saya tak pandai politik,” kata beliau kepada saya beberapa tahun lalu, selepas kalah dalam pemilihan jawatan naib presiden UMNO 2013.

“Saya kena main…,” kata beliau. Mungkin beliau silap kem, atau ada pakatan yang sengaja mahu beliau kalah. Dikatakan Najib ada peranan terhadap kekalahan Mukhriz ketika itu. Apabila ditanya Mukhriz mengaku. Najib pula menepis-tepis.

Kasihan Mukhriz. Ada orang memberitahu saya “sejak kecil dia kena ikut cakap Pak dia saja sampai la ni…”

Mukhriz anak daddy mithali Dr Mahathir.

**

KUALA LUMPUR , 29/01/2019. Prime Minister, Tun Dr Mahathir Mohamad (centre) together with PPBM President, Tan Sri Muhyiddin Yassin (left) and PPBM Vice President, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (right) at the press conference after chairs the PPBM Supreme Council meeting at Yayasan Selangor Tower. Pix by Malay Mail / Hari Anggara.

Apabila Mukhriz dipermain-mainkan dan kalah dalam UMNO, itu adalah politik. Mahathir tentu marah, Mukhriz tentu terasa dan berdendam.

Saya masih ingat semasa membuat liputan Persidangan Apec di Bangkok sebelum Mahathir menyerahkan kuasa kepada Pak Lah, saya diberi satu tugasan.

Bertanyakan satu soalan dalam sidang akhbar dengan Mahathir. “Adakah Najib akan menjadi Timbalan kepada Pak Lah”

Mahathir berkata “itu yang sebaiknya”. Ia menjadi berita utama akhbar-akhbar Malaysia keesokan harinya. “Najib timbalan PM”.

Sekarang baharu saya tahu bahawa Mahathir mahukan Najib bagi mengenangkan jasa-jasa Tun Razak ke atasnya.

Namun ironisnya, Najib juga akhirnya tersungkur oleh Mahathir sendiri. Begitu juga “Mr Niceman” Pak Lah. Mahathir juga yang menjatuhkannya.

**

Politik cah keting, bentes kaki atau tikam belakang adalah antara kaedah untuk menaikkan dan menjatuhkan sesiapa yang dikehendaki. Ia bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di serata dunia atas nama politik. Di negara-negara lain orang politik mempunyai askar-askar upahan dan menyerang serta membunuh seteru-seteru mereka.

Di Malaysia, politik masih bertamadun. Ia dimainkan secara taktikal. Ada yang kata kotor; ada yang kata pintu belakang. Tapi itulah politik.

Di depan mata kita selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018 sebuah kerajaan bukan BN menang besar. Kemenangan itu dicapai hasil taktikal politik mengenai soal rasuah kerajaan pimpinan Najib. Rakyat naik marah. Siang-malam, pagi-petang isu 1MDB disembangkan. Setiap detik isu itu dimainkan, sehingga di saat-saat pengundi keluar mengundi.

Pada PRU-14 BN jatuh tertiarap. Orang macam kami sudah menjangkakan. Orang dalam kem Najib, tidak percaya mereka akan tersungkur. Mereka ingat mereka akan bertongkat langit.

Namun atas kehendak Allah Taala kerajaan Pakatan Harapan yang menang atas sentimen kemarahan rakyat, hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja.

Antara punca, orang Melayu terlalu marahkan DAP yang terlalu rakus semasa pemerintahan itu. Terlalu banyak matlamat menghalalkan cara berlaku dalam pemerintahan itu. Orang Melayu merasakan mereka menjadi mangsa “kerajaan DAP”.

Guan Eng terlalu gopoh; rakus dan bagaikan menunjukkan warna perkaumannya. Penutupan GLC itu dan ini mencabar maruah orang Melayu. Hanya GLC yang orang Melayu ada. Syarikat-syarikat korporat dan MNC bukan milik mereka.

Malah, Mahathir sendiri marah. Dalam diam-diam pemimpin Melayu, terutamanya parti yang mempunyai DNA UMNO iaitu Bersatu turut marah. Mereka mahu pengaruh DAP dilemahkan. Tokoh-tokoh dalam PKR pun marah.

Akhirnya pakatan itu hilang harapan dan diambil alih oleh satu gagasan yang dikuasai semula oleh orang Melayu-Islam.

Pas menjadi antara pencetus — berganding dengan UMNO dan kemudian bersetuju bersama-sama fraksi Bersatu dan PKR. Kini mereka menjadi kerajaan dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional.

**

Namun episod politik panas masih berlangsung. Pemain-pemain politik dinasor, warlords sedang memain lagi percaturan antara mereka. Mahathir membuat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Ramai yang tertanya-tanya apa sebabnya? Dendam masih membara di hati sanubari.

Beliau kata Muhyiddin mengkhianatinya; Mahathir juga menuduh Anwar pun mengkhianatinya. Politik negara kini menjadi kompleks lagi.

Tiada lagi penyudahan. Namun ikut angka setakat ini, Muhyiddin kini mempunyai 114 sokongan; dan PH ada 108.

Angka 114 jika benar, bukanlah satu angka yang besar. Terlalu nipis. Mahathir, Anwar dan Guan Eng bersatu semula untuk menentang kerajaan ini.

Seminggu lagi pada 18 Mei, Parlimen akan bersidang — sidang pertama selepas Perikatan Nasional memerintah kerajaan.

Adakah usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin akan dibahaskan; atau sekadar bertindan di bawah kertas-kertas usul? Adakah Speaker Dewan Rakyat yang masih “orang PH” akan memberi laluan usul itu dibahaskan?

Jika cubaan itu gagal, kerana persidangan Parlimen hanya satu hari dan satu agenda mengenai COVID-19 sahaja; adakah cubaan lain akan digunakan oleh PH.

Anwar kini ialah Ketua Pembangkang. Bukan calang-calang orang.

Adakah persidangan Parlimen sempena Bajet sekitar tiga bulan lagi, akan digunakan oleh Anwar dan Mahathir untuk mengganggu-gugat kerajaan Muhyiddin. Jika Muhyiddin mempunyai cukup suara (atau melebihi 114 sekarang), Bajet boleh diluluskan.

Jika tidak kerajaan boleh lumpuh. Dan jika Bajet tidak boleh diluluskan maka Pilihanraya Umum Ke-15 terpaksa diadakan.

**

Politik negara masih belum stabil. Kerajaan Muhyiddin cuba sedaya upaya untuk mengapungkan kerajaan ini. Orang Melayu-Islam nampaknya boleh terima kerajaan ini, setelah menghadapi tekanan di bawah kerajaan proksi DAP.

Muhyiddin nampaknya diselamatkan oleh COVID-19. Orang kata ia ada campur tangan langit — “divine intervention” atau pertolongan Allah apabila wabak ini menyerang semasa mereka ambil alih kerajaan Malaysia. Semua orang kena berkurung. Satu dunia kena berkurung. Urusan kerajaan — termasuk pelantikan itu dan ini sudah dan sedang dibuat. Kerajaan Muhyiddin dilihat berjaya menangani krisis wabak ini. Rakyat suka. Mereka terima habuan. Rating Muhyiddin meningkat mendadak.

Percaturan-percaturan strategik politik juga sedang berlangsung. Masalah politik di negeri-negeri juga perlu diselesaikan. Johor sedang berkecamuk dengan perebutan kuasa. Kedah juga. Melaka berjaya dialih. Mungkin selepas ini Sabah?

Rakyat sedang memerhati percaturan politik ini dengan berhati-hati. DAP pula, nampaknya cukup senyap. Apa rancangan sulitnya?

**

Ternyata politik Malaysia telah melalui proses kematangannya. Mungkin selepas ini akan ada hanya dua parti komponen yang akan menerajui sesuatu pilihan raya. Di negara-negara maju ia sama ada Republikan atau Demokrat; Konservatif atau Buruh. Mungkin juga sukar dilaksanakan di Malaysia kerana politik kita lebih berdasarkan race-based dan terlalu komunal.

Mungkin juga tempoh PM selepas ini hanya untuk dua penggal sahaja; dan bukan berulang-ulang.

Jika sudah habis tempoh sebagai Perdana Menteri, jangan campur lagi urusan politik secara langsung. Lakukan kerja-kerja sebagai seorang “negarawan”. Ia harus diaktakan. Buat macam resam presiden Amerika mahupun Indonesia.

Bagi Tun Mahathir, beliau harus berkompromi dengan kerajaan Muhyiddin. Banyak lagi agenda beliau untuk ummah yang belum selesai. Agenda Melayu beliau belum selesai.

Jangan calarkan imej beliau.

Beliau harus menyelamatkan anaknya Mukhriz; pengaruh anak Hussein Onn dan menantu Pak Lah pun tidak boleh ditolak tepi.

Teringat kata-kata Tun Mahathir apabila saya dan beberapa rakan menemuinya selepas beliau bukan lagi menjadi Perdana Menteri (semula). Ia kira-kira dua bulan lalu di Yayasan Perdana:

“Ada perkara yang saya tidak boleh bagitau…”

Saya boleh baca. Saya akur. Kita juga kena melihat perkara yang tersirat, tersorok dan terselindung dengan maksud kata-kata beliau itu. Dalam diam beliau berjaya melemahkan DAP dalam kerajaannya sendiri. Beliau hadir ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam. Kerajaannya akhirnya tumbang.

Kini beliau bersama lagi dengan mereka. Dengan DAP dan Anwar(!)

Adakah Mahathir masih boleh dipercayai? Atau Guan Eng dan Anwar sudah tiada pilihan, selain “masih perlu” berpaut di bahu Mahathir. Siapa yang akan tunggang siapa?

Cukup unik politik kita. Di usia hampir 95 tahun, Mahathir adalah maestro atau tok dalang politik negara. Tiada siapa nafi.

Siapa bijak menangani beliau. Mereka akan berjaya.

Semoga Allah membantu kita semua.

— BebasNews

Please follow and like us:

3 COMMENTS

  1. Satu pandangan yang kurang cermat kerana hanya melihat dari sudut pandang politik berhaluan kanan Melayu semata-mata. Tidak disebut tentang kegagalan pemimpin politik Melayu dalam mentadbir secara telus & bersih dari salah guna kuasa, penyelewengan & rasuah. Kerugian besar Felda, TH, MAS, 1MDB & sebagainya berpunca dari pemimpin Melayu UMNO yang sudah menjadi kelaziman bergelumang dengan rasuah. Apakah tidak punya rasa malu kepada Allah, bangsa & negara? Mungkin sudah terbiasa makan duit haram.

  2. Saya hormati tuan maseh berbisa terus kan penulisan boleh bagi Mohharpelajaran dan panduan politik negara tapi berlaku adil sebab penipuan allah tau kita boleh menipu manusia tapi allah tak boleh contuh utusan jatuh kerana banyak kluar cerita bohong tk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here