Elak wujudkan generasi anak-anak ‘mental terbantut’

0
541
FOTO: Malay Mail.

KUALA LUMPUR — Kerajaan diminta supaya melakukan perubahan apabila membangunkan projek perumahan kos rendah (PKR) seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Malaysia dengan mengambil kira normal baharu yang timbul daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata seorang pakar Universiti Putra Malaysia.

“Spesifikasi yang diguna pakai untuk keluasan ruang iaitu Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa tidak lagi boleh diaplikasikan,” kata Profesor Madya Jabatan Seni bina Landskap, Fakulti Reka bentuk dan Seni bina, UPM, Dr. Shureen Faris Abd. Shukor dalam artikelnya.

Beliau yang menukilkan pendapat tentang reka bentuk rumah PPR pengaruhi tekanan mental semasa PKP merupakan pakar dalam reka bentuk kawasan luaran hijau berciri Restoratif, Reka bentuk Landskap Golongan Khas, Landskap Institusi Kesihatan.

Shureen menyarankan kawasan hijau di persekitaran PPR diberi penekanan oleh pihak berkuasa yang terbabit. Bahkan, reka bentuk landskap luaran hijau harus mengambil kira bagaimana ia boleh dinikmati bukan sahaja secara fizikal, malah juga secara visual.

Realiti-disebabkan kepadatan ruang, tingkap yang ada tidak dapat dimaksimumkan untuk pandangan ke luar

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan, hampir kesemua yang ditemu bual mengatakan mereka bersetuju bahawa salah satu cara untuk mengurangkan tekanan mental jika berlaku lagi penguatkuasaan PKP adalah peluang untuk melemparkan pandangan ke luar secara terus seperti di balkoni.

Namun, situasi yang ada pada waktu ini di flat PPR dan perumahan awam tiada dibina balkoni untuk penghuninya berasa sedikit lega menikmati pandangan luar. Keadaan seolah-olah terperangkap oleh empat buah dinding semakin menambah kepada tekanan mental penghuni, jelas beliau.

Shureen menambah, anak-anak (di PPR) tidak dapat berkembang daripada segi mental dan ini menambah kepada masalah sosial kerana mereka perlu keluar dari ruang yang menyesakkan minda dan fizikal.

“Seorang penghuni mengatakan anak-anak beliau akan menggunakan koridor laluan di depan rumah apabila membuat kerja sekolah yang diberikan secara dalam talian semasa musim PKP. Laluan yang sama juga diguna pakai sebagai ruang untuk menjemur pakaian yang telah dibasuh,” kata beliau.

Kajian ini dijalankan dari 25 April sehingga 29 April 2020 melibatkan seorang wakil penduduk dari enam buah kediaman PPR dan satu perumahan awam iaitu PPR Batu Muda, Sentul, PPR Keramat, PPR Hiliran Ampang, PPR Sungai Bunus, Setapak, PPR Seri Semarak, PPR Kampung Air Panas dan Perumahan Awam Desa Rejang.

Untuk kajian di PPR ini, lima dari lapan orang wakil yang ditemu bual membuat perbandingan dengan kediaman kos rendah sebelum dipindahkan ke PPR. Mereka mengatakan mereka berasa kurang tekanan apabila dapat melemparkan pandangan semasa berada di balkoni semasa tinggal di flat yang terdahulu seperti di Flat Pekeliling dan Flat Seri Terengganu.

PANDANGAN yang sering dilihat dari tingkap di PPR

Shureen berkata, peluang untuk menikmati pandangan luar perlu diambil kira di samping aktiviti isi rumah yang lain. Aktiviti berkebun, pembelajaran anak di rumah dan aktiviti sosial lain boleh dilakukan di balkoni yang bertindak sebagai ruang pelbagai guna.

Jelasnya, tingkap yang lebih besar juga boleh disarankan untuk memaksimumkan visual ke luar. Contoh perumahan yang boleh dilihat adalah di Sao Paulo, Brazil iaitu bangunan kediaman yang terbesar di Amerika Latin yang dinamakan ‘The Copan’.

Saranan berkenaan merupakan antara yang terpenting kerana terdapat teori mengatakan pandangan luar dari tingkap dapat mengurangkan tekanan dengan satu kajian yang dijalankan hampir 31 tahun yang lalu di hospital di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang sering menjadi tanda aras untuk sebilangan besar penyelidik yang membuat kajian tentang kesan pandangan hijau.

Pada bulan April lalu, satu kajian di akhbar mengenai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia melaporkan 25% sehingga 32% daripada kumpulan yang menghadapi tekanan mental merupakan mereka yang tinggal di perumahan kos rendah seperti di PPR dan golongan ini menunjukkan mereka lebih terkesan dengan isu kesihatan mental seperti depresi, keresahan dan kerisauan melampau.

Antara sebab yang menyumbang kepada tekanan mental adalah kesesakan ruang rumah yang terpaksa dikongsi dengan isi keluarga yang ramai. Keluasan di antara 650 sehingga 700 kaki persegi sudah tidak dapat menampung isi rumah yang ada kalanya mencapai tiga buah generasi sejak perpindahan ke PPR.

Dr. Shureen Faris Abd. Shukor adalah Profesor Madya di Jabatan Seni Bina Landskap, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, UPM.

 

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here